Tuesday, April 19, 2011

Jangan Sebut Namaku ~Bab 1

1
Hari pertama

LANGIT mencakar indah, menebarkan kenyamanan alami menerusi angin sepoi-sepoinya. Kerdip mentari tersenyum lengkung menyapa seisi penghuni menerusi surianya. Lantas para pencinta seperti mereka hanya bisa bersyukur, menggalas likuan hidup yang jelas ditentukan oleh-Nya. Ah! Bukankah hidup ini amat nikmat andai disandar dengan penuh kesyukuran dan limpahan-Nya yang maha besar zat tanpa berkeluh-kesah.

“Luqman tolong periksa semua barang-barang keperluan kita untuk seminggu ni. Saya tak nak sampai sana nanti ada pula barang-barang yang terlupa bawa lagi. Nak berpatah balik bukannya dekat,” jelas Profesor Ansari. Lelaki yang bertubuh tinggi 5 kaki 5 inci itu lebih rendah berbanding dengan anak didiknya berada di depan mata saat ini. Mengenakan kameja hijau pucuk muda dengan seluar sukan trek berwarna hitam. Amat tegas di dalam kuliah tutorialnya tetapi sangat peramah dan humor apabila diluar lingkungan kelas.

Lalu Profesor Ansari menyerahkan senarai barang-barang yang wajib dibawa kepadanya sebelum mereka bertolak ke hutan berhampiran dengan Banjaran Crocker. Luqman adalah Ketua Kelab Pencinta Alam di kampus itu berasal dari Kuala Lumpur sudah hampir empat tahun belajar di Universiti Malaysia Sabah. Merupakan anak didik yang cukup disegani dan terkenal kerana mempunyai latar pengajian yang cemerlang dan aktif dalam kokurikulum. Mempunyai ketinggian 5 kaki 8 inci tetapi paras lelaki Melayu yang biasa-biasa saja. Mungkin karisma Luqman yang membuat beberapa hati anak didik Hawa di kampus itu sering tergoda dengan dirinya.

“Baik Profesor.” Dia memeriksa setiap senarai di dalam kertas itu dengan teliti sebaik saja pensyarah itu meninggalkannya. Sejenak dia mendongak ke dada langit bereaksi tidak menentu. Kadang mendung bergayut kelam, awan kelabu berteduh dibalik mentari. Memperdaya naluri insan hanya dalam sedetik saja suria membentang pancaran ke seluruh alam. Lalu sepasang matanya menangkap kedatangan Kamarul dan Aizat bersama dengan beg galas yang agak padat dengan muatannya.

“Boleh tahan juga yang ikut serta. Semua dah ada ke?” soal Aizat. Pelajar kampus berambut keriting pendek, berkulit hitam manis. Mengenakan pakaian yang lebih kurang dengannya hanya berbeza warna dan jenama.
“Dalam setengah jam lagi kita akan bertolak. Sebelum itu kamu berdua kena bantu aku periksa barang-barang ni. Profesor Ansari nak pastikan semua barang-barang bawaan kena ada,” jelas Luqman menempel kertas itu ke dada Aizat yang pantas menyambutnya. Sedangkan Kamarul sekadar tersengih melihat dia hanya sekilas memandang mereka berdua. 
 
Aizat membaca satu persatu senarai yang dicatat dan dia terus memeriksa dengan tekun. Mereka berdua saling memeriksa setiap barang-barang yang perlu dibawa berdasarkan senarai tersebut. Kini Kamarul sudahpun bergabung dengan teman-teman yang lain berada di dalam bas pelajar kampus itu.

Tumpuannya kepada tugas yang diamanahkan dikerjakan dengan penuh tekun. Saling berbagi tugas dengan Aizat agar arahan yang diberikan cepat selesai, tentunya akan memuaskan hati Profesor Ansari. Saat dia berdiri sama tinggi dengan Aizat sambil membicarakan tentang persoalan lain. Tak peduli pada bicara senda Aizat membuat dia sedikit terhibur, meskipun tetap mengerjakan tugasnya. Tak peduli pada angin pagi yang mulai menerawangkan kehangatan suria. Namun dia cukup peduli saat siulan nakal Aizat bagai memberitahu kehadiran seseorang menghala ke arah mereka. 
 
Lalu dia bagai terantai dengan kehadiran haruman yang cukup biasa menyapa deria hidungnya. Perbualan segera terhenti lalu kepalanya perlahan berkalih ke belakang memandang satu-satunya gadis yang bisa menggetarkan hati lelakinya sedang berjalan beriringan dengan Nadrah. Sepasang mata runcing gadis itu menatap dengan sedikit menggoda memancing perhatiannya. Senyuman yang cukup menawan direnyah oleh sepasang deria matanya. Ah! Gadis ini benar-benar menggoyahkan imannya. Membalas ulas senyum itu tetapi tetap menjaga statusnya sebagai pemimpin kelab kampus itu. 
 
Langkah gontai Isabella sambil menggalas beg sandang belakang diturunkan dari bahu menghala ke bahagian bagasi bas pelajar kampus itu. Mengenakan seluar jeans dan baju kameja membiarkan rambut panjang hitam mengurai. Sempat Nadrah melemparkan ucapan selamat pagi kepada dia dan Aizat. Seiring mereka berdua menjawab serentak. Dia malah pantas membantu menyusun dengan kemas beg galas kedua gadis itu. Isabella tetap menebarkan pesona wajah eksotiknya. Ada senyuman berbalas antara mereka.

“Bella apa kabar?” Dia sekadar berbasa-basi. Berdiri-cekak-tatap dengan gadis berkulit putih melepak itu.

“Sihat. Abang pula?” Keceriaan memancar naik wajah si dara.

“Sihat juga tapi sibuk dengan kegiatan kampus. Macam ni lah.” 
 
“Abang tak tahu pula Bella ahli Kelab Pencinta Alam Sekitar kat kampus. Tak pernah pula abang nampak Bella hadir setiap kali ada mesyuarat ahli.” Gadis berketurunan Cina Kadazan tu sekadar memberikan senyuman. Meskipun bibir merah saga indah itu melengkung tipis membuat sekepal hati berdenyut tahan. Nadrah yang masih berdiri di sisinya Isabella hanya menyiku dan saling berkomunikasi menerusi gerak tubuh. Dan dia sekadar berbicara basa-basi cukup faham kalau Isabella sengaja menyertai ekspedisi perkhemahan di Hutan Kalawari, semata-mata kerana dia juga bergabung sekali.

Belum puas dia berbual-bual kosong dengan Isabella, cuping telinganya menangkap tawa dan gurau senda Engku Aleeyah, Sherry dan Miranda. Reaksi yang mendadak disuakan oleh Isabella dan Nadrah yang cukup tidak menyenangi dengan kehadiran tiga pelajar senior itu. Sudah membenci ditambah dengan perasaan meluat. Perangai mengada-ngada ketiga pelajar itu jelas menggambarkan riak wajah Isabella cukup banyak berkerut. Mencemik mulut merangkap pandangan yang cukup meloyakan. Apatah lagi pelajar yang bernama Engku Aleeyah itu pantang nampak Isabella di depan mata. Spontan Isabella memainkan peranannya sengaja membengkakkan lagi hati Engku Aleeyah. Sengaja menjolok ratu tebuan yang sudah diisytihar sebagai musuh.

“Biarlah Bella bantu abang.. bolehkan.” Nada suara Isabella manja dan cukup gemersik. Bahasa tubuh dibuat-buat gemalai menggoyahkan iman. 
 
Aizat yang melihat situasi itu menyembunyikan senyuman. Hanya Nadrah saja yang faham tentang lakonan itu menarik nafas.

Sedangkan dia mulai dijentik tidak selesa. Dirinya umpama mainan cemburu kedua-dua gadis itu. Dia cukup maklum cinta dua gadis itu terhadapnya sama berat sama tinggi. Malah sebahagian kampus cukup maklum dengan perebutan cinta dua gadis ingin memenuhi kekosongan hatinya. 

'Parah aku kali ini.' Hatinya berbisik sendiri. Dia menangkap senyuman mengusik Aizat tidak ingin masuk campur. Diraupnya rambut dengan tangan kiri masih bercekak pinggang.

“Tidak apalah Bella, dah nak selesai pun. Bella naiklah dalam bas tu. Sekejap lagi dah nak bertolak ni.” Dia berusaha mengelakkan sebarang percetusan dua gadis yang melibatkan dirinya. Ekor matanya mengintai sosok Engku Aleeyah sudah menghampiri mereka. 
 
“Alaa.. Bella ingatkan nak bantu abang. Abang duduk dekat dengan Bella nanti ye boleh kita sembang macam-macam,” tutur Isabella dengan lembut tetapi nada yang sengaja ditinggikan. Sambil Isabella menganyam bahasa dengannya, sambil memercik bahang kepada Engku Aleeyah. Kini konsep yang menyamai dengan sikap anjing dan kucing sudah berada di ruang yang sama. Berharap agar perkhemahan ini berjalan dengan mulusnya. 
 
Engku Aleeyah mengenakan kasut, kameja dan seluar trek sukan jenama FILA. Gadis yang berambut lurus paras bahu itu mengenakan headband. Berlagak berpura-pura tidak mendengar ucapan gadis itu. Sejujurnya dia ingin sekali melihat sikap ramah dan hormat antara kedua pelajar itu. Jelas benar Engku Aleeyah mencebik, begitu menyampah menyaksikan sikap berlebihan Isabella. Dia mulai merasakan bahang kemarahan Engku Aleeyah yang terus mencerun tajam menatap Isabella yang tidak ingin berganjak dari sisinya. 
 
“Hei perempuan kalau tak ada kerja tu naiklah dalam bas. Yang kau tergedik-gedik kat situ buat apa. Buat semak saja pandangan orang. Aku peliklah macam mana muka murah macam kau ni boleh tercangak awal pagi kat sini. Sejak bila kau tu ahli dalam kelab ini.” Engku Aleeya sudah meninggikan suaranya. Setajam tatapan mata gadis itu sudah merangkai ayat-ayat runcing membusur tepat ke dahi Isabella.

Aduh! Kenapa dia yang terasa dengan percikan api-api bicara kata itu. Dia berkalih kepada Nadrah menggunakan isyarat mata agar melakukan sesuatu sebelum tercetus satu pertengkaran lebih hebat. Seolah-olah ada kuasa telepati yang saling memahami dengan kehendaknya pantas Nadrah menarik lengan Isabella beredar dari situ. Namun Isabella tetap bersikap keras berhadapan dengan pelajar senior itu. 
 
Luqman menarik nafas kesal, membuang pandangan bosan. Dua gadis yang mempunyai keistimewaannya tersendiri tetapi sama-sama keras kepala. Sudahnya dia dijadikan sebagai trofi tidak berperasaan bakal menjadi rebutan dua gadis itu. Dia menggeleng kepala kepada kedua gadis itu agar tidak meneruskan perbalahan. Bercekak pinggang dan berdiri di antara mereka yang ingin bersemuka tidak mungkin menyerah kalah. 
 
Lalu Engku Aleeya berjalan menghampirinya dengan wajah datar tidak mempamerkan perasaan. Sengaja dia mengendurkan ketegangan wajah itu dengan mempamerkan senyuman untuk Engku Aleeyah. Garis-garis kemarahan pada wajah Engku Aleeyah dilepaskan dengan seadanya. 
 
Lantas gadis itu berjalan di hadapannya dan sengaja menyenggol bahu Isabella sehingga terdorong ke belakang sedikit. Ada senyuman sinis menapak di bibir Engku Aleeyah dan teman-temannya. Isabella tercabar dengan sikap gadis itu mula menapak kembali. Mahunya Engku Aleeyah berkeras ingin menyambut cabaran gadis itu.

“Dah.. dah.. Al.. Bella tolong jangan buat hal waktu begini. Awak berdua tu perempuan malulah sikit dengan pelajar lain. Abang tak nak sampai Profesor Ansari tengok kamu berdua bertekak pulak.” Luqman menegur sikap kedua-dua gadis itu. Ini bukannya kali pertama atau kedua dia menghadapi situasi begini sampai naik jelak dibuatnya. 
 
Pernah sekali dia dan kedua-dua pelajar itu dipanggil oleh pihak kampus. Pertengkaran Engku Aleeyah dan Isabella mengundang kemarahan Profesor Mat Aruf selaku Pengurus Hal Ehwal Pelajar. Malunya bukan kepalang bila mengetahui cintanya menjadi perebutan dua pelajar itu. Sejak itu dia menjadi bahan gurauan dan jenaka tanpa mengira waktu dan masa.

**

PERJALANAN telah lama bermula dan masing-masing membuat hal sendiri demi menghilangkan rasa jemu untuk beberapa jam sebelum sampai ke destinasi. Profesor Ansari duduk di tempat paling hadapan sekali di sebelah pemandu bas itu. Bas yang mempunyai muatan empat puluh dua orang hanya diikuti oleh dua puluh pelajar. Selain menyediakan kemudahan penghawa dingin ada sebuah skrin televisyen agak besar sebagai tatapan penumpang. Ekspedisi perkhemahan itu tidak mendapat penyertaan yang begitu menggalakkan. Ramai pelajar balik kampung dan mempunyai aktiviti sendiri sejak cuti semester bermula.

Luqman duduk di tepi tingkap bersama dengan Haziq. Sengaja dia duduk di kerusi yang agak berjauhan dari kedua-dua gadis itu agar tidak ada sebarang masalah. Malas dia melayan bibit-bibit pertengkaran yang asyik menjurus kepada dirinya. Pandangannya dilemparkan ke luar tingkap menikmati panorama sepanjang perjalanan yang berbukit-bukau dan kehijauan alam yang sungguh mendamaikan. Dinding kalbu bagai disapa lembah subur meluap dengan kasih dan iman tidak terhingga. Ruang-ruang jiwa terkesan dengan perhatian insan sekeliling. 
 
Bas pelajar kampus itu terus menyusuri sepanjang jalan besar menuju ke Daerah Keningau. Terletak kira-kira 128 KM di Selatan Kota Kinabalu dan terpisah oleh Banjaran Crocker. Ianya disempadani oleh Daerah Tambunan di Bahagian Utara, Daerah Kinabatangan dan Nabawan di Bahagian Timur, Daerah Papar dan Daerah Beaufort di Bahagian Barat dan Daerah Tenom di Bahagian Selatan.

Keluasan tanah kira-kira 353,274 hektar atau 3532.74 KM per segi dan terbahagi kepada 14 mukim dan 245 buah kampung. Kaum yang terbesar di daerah ini ialah Kadazan Dusun dan Murut, Cina, Melayu dan lain-lain. Itu adalah pertama kali bagi dirinya menjejaki Daerah Keningau.

Keindahan alam dan penyimpanan khazanah bernilai itu cukup mengaguminya sesuai dengan nama gelaran negeri di bawah bayu itu. Sesetengah tempat masih tetap memelihara khazanah alam dan budaya etnik yang cukup banyak dengan berbilang kaum yang bukan sedikit. Malah hatinya cukup terpesona melihat gadis-gadis di negeri yang yang begitu lembut dan cantik. Apatah lagi gadis yang bernama Isabella. Memang dia tidak ragui kecantikan gadis itu memang mempersonakan. Lembut dan eksotik pada pandangannya. Sepasang mata runcing Isabella menawan hati lelakinya. 
 
Pandangannya berkalih kepada Profesor Ansari sebaik saja lelaki itu membuat satu pengumuman. Lelaki itu cukup ringkas dan santai di luar kegiatan kampus tetapi segak dan kemas ketika masuk ke dewan tutorial.

“Tolong ambil perhatian semua.”

Dipandangnya Profesor Ansari yang berusaha mengimbangi tubuhnya di atas bas yang sedang bergerak dengan had kelajuan yang selamat lalu memerhati setiap wajah-wajah pelajar di dalam bas. 
 
“Salah satu tujuan perkhemahan ini diadakan adalah untuk mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain. Memandangkan bilangan ahli pelajar perempuan dan lelaki adalah sama. Saya akan buat undian untuk anda semua siapa yang menjadi pasangan semasa perkhemahan itu nanti.” 
 
Pengumuman itu membuat pelajar perempuan mengeluh tidak puas hati. Namun tidak kepada pelajar lelaki kelihatan tidak mempunyai sebarang masalah dengan cadangan itu. Sesaat seorang pelajar mengangkat tangan. Dia menoleh ke belakang sebaik saja Profesor Ansari menuding jari kepada seseorang yang duduk di kerusi belakang.

“Ada apa Kamarul?” Profesor Ansari bertanya. Pelajar yang duduk di hadapan termasuk dirinya tertoleh-toleh melihat Kamarul berdiri dari tempat duduk belakang itu.

“Nak tanya sikit ni Prof.” Sengih Kamarul semacam di matanya.

“Tanya banyak pun tak apa. Kita masih banyak waktu lagi bersama dalam bas ni,” balas Profesor Ansari melandaskan tangannya kepada pemegang besi untuk berpaut.

“Kalau saya diundi berpasangan dengan pelajar perempuan kat sini. Maknanya kami kena duduk dan tidur dalam khemah yang samalah.” Senyum nakal Kamarul membuat pensyarah itu berbunyi berdecit-decit.
Soalan itu mengundang bingitan bising dari kumpulan pelajar-pelajar perempuan. Malah ada yang melempar kertas yang diremukkan kepadanya. Kamarul tersengih-sengih melihat reaksi para pelajar. Bahkan dia juga ikut tersenyum lucu dengan jalan fikiran Kamarul. Siapa yang tidak kenal dengan Kamarul suka sangat mengusik dan berkhayal yang bukan-bukan terutama tentang gadis-gadis sekampusnya.

Profesor Ansari menggeleng-geleng kepala. “Awak hendak sangat ke berpasangan dengan pelajar perempuan.” 
 
Ucapan itu mendapat siulan pula daripada para pelajar lelaki. Sedangkan dia hanya melahirkan senyuman memandang kenakalan teman-temannya. Apatah lagi bila sudah sekepala dengan Profesor Ansari yang begitu faham dengan jalan otak pelajar-pelajar itu. Setakat melayan gurau dan senda demikian boleh lagi dia terima. Tetapi kalau Pensyarah Chee, Puan Maznah atau Profesor Idris, jangan harap rakan-rakannya boleh bergurau demikian. 
 
“Nak sangat Prof kalaulah dapat green light. Tak juga sejuk malam-malam nanti.” Bunyi ketawa dan bingitan bising dari pelajar-pelajar di dalam bas itu bercampur aduk. Pemandu bas mula menjeling senyum terhibur dengan gurau senda dan kenakalan pelajar-pelajar itu. Dia pula tergelak sekali dengan karenah Kamarul. Lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur itu juga adalah sama dengan bidang kos pengajian dengannya.

“Kamu ni Kamarul tak habis-habis dengan otak tidak senonoh tu. Takkanlah saya nak buat undian begitu pula. Kalau dah tak tahan tu minta saja mak bapak kamu suntingkan calon yang sesuai. Habis belajar nanti cepat-cepatlah nikah tak juga kamu tidur kesejukan malam nanti.” Pergerakan bas kampus terhenjut-henjut saat melalui jalan yang agak berbatu-batu kelikir. 
 
Masing-masing ketawa mendengar ucapan Profesor Ansari. Semua pelajar memang menyenangi dengan sikap pensyarah yang berasal dari Lahad Datu itu. Lelaki yang sudah berusia akhir tiga puluhan itu mempunyai sepasang anak kembar. Dengarnya juga isteri kepada lelaki itu, adalah pensyarah di sebuah maktab perguruan negeri itu.

“Bolehlah prof sekali-sekala. Kami tak buat apa-apa pun. Usik pun tak. Tapi cium bau je la.” Makin menjadi pula permintaan Kamarul begitu berani tanpa ada segan-silu.

“Prof jangan layan mamat poyo tu. Pasangkan saja dengan kera kat hutan biar kena lenyek siang malam. Baru tahu buku dengan ruas,” sampuk Engku Aleeyah. 
 
Dia berkalih kepada pemilik suara itu dan tatapan mereka menyatu merangkap dengan senyuman gadis itu. Bersama canda dan tawa sekumpulan pelajar yang berbaur dengan usikan.

“Alaaa Al kau dengan aku pun best juga. Dijamin tak akan sentuh punya. Kita main lawan-lawan mata sajalah. Amacam nak tak?” Sepasang kening Kamarul terangkat-angkat menatap Engku Aleeyah yang mencemik muka.

“Tak kuasa aku hendak layan.” Engku Aleeyah menjelir lidah dengan tawa sinis menyebelahi gadis itu dari sekumpulan teman-temannya. 
 
Siulan bergema dalam satu ruang yang membawa mereka ke destinasi terpilih. Kepalanya berkalih ke belakang mengintai Isabella duduk di di tepi lorong pejalan kaki dalam bas kampus. Saat mata saling bertaut hanya senyuman ikhlas yang saling memberi dan balas dari empunya diri. Sejujurnya dia lebih menyenangi Isabella berbanding dengan Engku Aleeyah. Entah, mengapa hati lelakinya lebih terdorong ingin mengikat hati gadis itu sahaja.

Undian telah pun bermula sebaik saja Profesor Ansari meminta perhatian para pelajar. Lantas undian pertama terus diumumkan. Jelas masing-masing tidak sabar menanti keputusan yang bakal dilakukan. Angin buatan berhembus menerusi penghawa dingin yang dinyalakan. Menjelajahi semua asa yang ceria dan semarak dengan tali persahabatan sedia terjalin. 
 
“Haziq berpasangan dengan Ben.” Haziq dan Ben saling berpandangan yang kebetulan duduk di kerusi paling hadapan. Ben segera menghulurkan tangan membuat tamparan 'high five'. Dia sekadar memerhati pasangan pertama yang berpuas hati dengan undian itu.

“Kamarul berpasangan dengan Shafiq.” Ditoleh kepalanya ke belakang memandang Kamarul yang sedang meraup wajah suka dan senyum kepada pasangannya. Sempat lagi bergurau dan memujuk Profesor Ansari atas cadangan awalnya. Sudahnya pensyarah itu menjengil mata memberi amaran menjaga sikap dan batasan.

“Eric berpasangan dengan Razali.” Jeritan 'yes' kedengaran dari mulut Razali. Eric hanya menunjukkan sebaris giginya yang putih. Tidak ada sebarang masalah dengan keputusan itu. Dan dia terus menanti gilirannya bakal diundi. Siapa pun pasangannya dia tidak permasalahkan. 
 
Diperhatikan lagi Profesor Ansari terus membuat kocakan dalam balang yang hanya tinggal empat nama pelajar lelaki lagi. Dua lipatan kertas seterusnya diumumkan oleh Profesor Ansari.

“Steven berpasangan dengan Zahid.” Kedua pelajar itu menujahkan tangan ke atas seolah-olah sedang membalas tamparan angin masing-masing. Kini dia yakin pasangan seterusnya adalah seseorang yang satu kepala dan sikap sepertinya.

“Ini bermakna nama yang tak disebutkan saya ialah Luqman dan Joseph adalah pasangan terakhir yang tak perlu saya buat undian lagi.” Dia menyambut keputusan itu dengan senang hati. Joseph adalah sosok pelajar yang tidak suka membuat banyak masalah malah tidak suka banyak bercakap kepada sesuatu yang tak berfaedah. Dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan pasangannya. Tiba saatnya undian untuk pelajar perempuan yang dinanti-nantikan. Profesor Ansari tidak ingin melengah-lengahkan lagi tujuannya segera membuat undian itu. 
 
Sedangkan dia melihat renek-renek keresahan pada wajah Engku Aleeyah yang terus berbisik-bisik dengan Sherry di sebelahnya. Mudah untuknya meneka apa yang sedang tersirat di hati gadis itu. Deria matanya berkalih kepada Isabella yang sedang rancak berbual-bual dengan teman baiknya itu. Dua gadis yang sama cantik di matanya mempunyai keistimewaannya tersendiri. Sejujurnya dia lebih menyukai kedua-duanya tetapi hati lelakinya lebih tertarik kepada Isabella. Kadangkala hati lelaki ini terus bersimpang-siur dengan kehendak hati.

“Nadrah berpasangan dengan Adibah.” 
 
Sepasang matanya terus menangkap reaksi Nadrah dan Isabella terpaksa menyimpan keluhan itu kerana menginginkan mereka berpasangan nanti. Ada riak tidak puas hati yang terzahir pada wajah mereka. 
 
“Sherry berpasangan dengan Miranda.” Sorakan kedua-dua gadis itu membuat pelajar lain berpaling ke arah mereka. 
 
Sepasang matanya terjerat dengan tatapan Engku Aleeyah menyuakan senyuman tipis kepadanya. Jjelas riak paras itu dilanda risau sekiranya dia berpasangan dengan Isabella. 
 
“Kamala berpasangan dengan Evelyne.” Wajah ceria kedua gadis itu terpamer melalui senyuman mereka. Spontan Engku Aleeyah mendengus tidak berpuas hati.

“Ini undian yang terakhir saya. Maknanya nama yang tidak diumumkan akan menjadi pasangan yang berikutnya,” jelas Profesor Ansari pula. Isabella menggenggam erat tangan Nadrah tidak sanggup sekiranya dia dipasangkan dengan Engku Aleeyah.

“Susan berpasangan dengan Selvi.” Pasangan itu terus berpelukan antara satu sama lain yang sememangnya rakan karib. Sesaat Engku Aleeyah berdiri memprotes tidak puas hati dengan keputusan itu. Menegaskan perasaan gadis itu menerusi mimik wajah yang tegang dan garis-garis kerutan yang tidak suka dengan keputusan yang telah dibuat. 
 
“Profesor keputusan ini tak adil sama sekali.” Profesor Ansari cukup faham dengan hubungan tidak baik antara dua pelajar itu.

“Saya tidak nampak pun sebarang masalah semasa undian ini dibuat tadi. Awak seharusnya mula belajar erti persahabatan mulai saat ini. Ingat saya tidak ingin sebarang masalah di dalam perkhemahan itu nanti. Saya berharap semua pelajar tunjukkan kerjasama dan menjalinkan hubungan yang lebih baik sesama rakan anda.” Nada lelaki itu diluahkan perlahan tetapi cukup tegas.

Sebahagiaannya tersenyum-senyam dengan dengus kasar Engku Aleeyah. Dan Isabella hanya duduk serius tidak ingin membantah keputusan Profesor Ansari. Lantas dia berkalih kembali ke luar tingkat memerhati kehijauan alam yang ada sesetengahnya kering dan terbakar dek kemarau yang melanda kebelakangan itu. Seraya menggurat peta kenangan di rentang kemarau hingga tak perlu lagi hujan untuk menyusuri jejak kenangan.


No comments:

Post a Comment