Sunday, April 17, 2011

Kuseru Nur Kasih ~ Bab 7

PELUH di dahinya merenek-renek mengalir dengan deras membasahi mukanya. Badannya melekit-lekit berpeluh dan terasa bahang panas dari dalam dirinya. Sudah dua jam dia dan Aidil bermain di gelanggang tenis itu. Raket di tangannya digenggam dengan erat dan kemas. Ketika bola tenis menyerangnya kakinya bergerak pantas ke belakang bersedia membalas pihak lawannya. Dia menghayunkan raketnya dengan sedikit lompatan menghalang bola tenis jatuh di gelanggangnya. Serangan balas tadi berjaya dielakkan telah mengakhiri permainan mereka pada hari itu. Seperti biasa Yusri Erdhan memenangi perlawanan keseluruhannya.

Aidil menggelengkan kepalanya dan kecewa melihat kekalahannya untuk ke sekian kali kepada teman baiknya itu. Yusri Erdhan mengambil botol mineral water 1 liter diteguknya sehingga separuh dan kemudian dituang ke atas rambutnya membasahi sebahagian mukanya. Hal yang sama juga dilakukan oleh Aidil. Rambutnya dikibar-kibarkan sendiri agar sisa air yang disiram tadi berkurangan. Aidil dan Yusri Erdhan duduk di kerusi simen yang berdekatan dengan gelanggang itu. Ada sepasang kekasih juga bermain di gelanggang satu lagi. Mereka memerhatikan permainan sepasang kekasih itu sambil merehatkan otot badan mereka. Denyutan nadi dan nafas mulai bergerak normal.

“Jadi memang betullah kau tetap nak putus tunang dengan Amy,” tanya Aidil yang menyambung kembali topik perbicaraan mereka sebelum memulakan permainan tenis tadi. Yusri Erdhan mengelap peluh di mukanya dengan tuala kecil.

“Kenapa? You ingat I bergurau ke,” balas Yusri.Erdhan

“Tapi orang tua kau tau tak dengan keputusan kau ni? Kau sendiri sedia maklumkan pertunangan kau ni pun atas pilihan mama kau,” kata Aidil sambil membuat senaman ringan untuk mengendurkan otot-otot badannya. Yusri Erdhan hanya duduk bersila di atas kerusi simen itu. Pandangannya lebih dihalakan kepada pasangan kekasih yang leka bermain di gelanggang tenis itu. 

“I dah tak peduli apa mereka nak kata. Anggap saja kami tiada jodoh dan I juga tidak akan kembali kepada dia lagi. Keputusan I adalah muktamad,” luah Yusri Erdhan dengan nada agak tinggi sedikit.

“Tapi kalau aku jadi macam kau pun memang aku buat hal yang sama. Perbuatan tunang macam tu tak boleh dimaafkan. Entah esok lusa kalau dah kahwin apa lagi yang dia sanggup buat.”

Aidil yang telah lama mengenali temannya itu faham dengan sikap Yusri Erdhan. Kalau hitam katanya maka hitamlah jadinya begitulah sebaliknya. Keputusan muktamad yang dibuatnya tidak akan berubah lagi.

“I ingat telah bertemu dengan intan rupanya tembaga lapuk yang tak guna. Kalau dari dulu I tau perangai dia begitu pandang muka pun I tak sudi,” kata Yusri Erdhan dengan kasarnya.

Aidil menepuk bahu temannya untuk menenangkan gelora di hati Yusri Erdhan yang agak tidak tenteram pada masa itu. Dia faham kemelut rasa yang dilalui oleh Yusri Erdhan. Sekali lagi Yusri Erdhan mengelap peluh di dahinya sambil meneguk lagi air dari botol yang baru dibukanya. Aidil hanya memerhatikan gelagat temannya. Lama mereka membisu. Telefon bimbit Yusri Erdhan memecahkan keheningan petang itu. Pantas anak mata Yusri Erdhan memeriksa skrin telefon nokianya. Dia mendesah dengan kasar. Aidil segera mencapai telefon bimbit Yusri Erdhan dengan tujuan yang sama.

“Kau tak nak jawab ke?” soal Aidil. Yusri Erdhan membiarkan telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Putus dan berdering kembali dan itu adalah untuk ke beberapa puluh kali dalam sehari. 

“Malaslah I nak layan.”

“Tapi sampai bila kau nak begini. Apapun keputusan kau kena berhadapan dengan dia juga. Jelaskan segala-galanya biar sampai ke titik akhir jangan biarkan jadi tanda tanya,” nasihat Aidil yang ada benarnya juga.
Telefon bimbit itu di letakkan kembali ke beg kecil Yusri Erdhan. Namun telefon Sony Ericson W705 berdering pada kali ini. Aidil menepuk dahinya dengan keluhan yang berat. Ternyata masalah temannya mengheret dia sekali. Yusri Erdhan memandang raut wajahnya dan memahami maksud wajah itu. Dia memberikan isyarat tidak kepada Aidil. 

“Apa aku nak jawab ni?” soal Aidil kepada Yusri Erdhan.

Yusri Erdhan tidak mengendahkan kata-kata temannya itu. Dia melakukan senaman berlari setempat seolah-olah tidak mendengar apa yang dikatakan Aidil. Serba salah Aidil dengan situasi itu lalu menekan butang telefonnya. Suara halus dan manja milik seorang perempuan kedengaran.

“I dah berpuluh kali call Yusri tapi dia langsung tak jawap pun. You tau dia ada kat mana? Atau dia ada dengan you.” Suara halus itu sekadar menduga. Amy sudah bertunangan dengan Yusri Erdhan sejak lima bulan yang lalu. 

“Yusri? Yusri ada kat mana?” tutur Aidil yang menyoal soalan itu kepada Yusri Erdhan yang berada di hadapannya. Tangannnya memberikan isyarat kepada Yusri Erdhan untuk membantunya mencari idea menjawab kembali pertanyaan Amy. Namun Yusri Erdhan tidak memberikan sebarang jawapan. Membiarkan Aidil terkial-kial sendirian. Melihat lagak Yusri Erdhan, Aidil menjadi geram.

“Yusri ada dengan I sekarang ni kat kelab tenis, baru je selesai bermain ni sebab tu dia tak dengar panggilan you agaknya.” Segera Aidil menghulurkan telefon bimbitnya kepadanya. Yusri Erdhan menjengil anak matanya kepada Aidil tidak pandai menyimpan rahsia keberadaannya. Dia mengambil masa beberapa detik sebelum menekap telefon ke telinganya. Nafasnya turun naik memberikan ruang kepada dirinya agar denyutan jantungnya berdenyut dengan normal. 

You nak apa lagi?” Kasar suara Yusri Erdhan menjawab panggilan telefon dari Amy.

“Yang... kenapa you tak jawab telefon I. I tau I bersalah tapi takkan you tak boleh maafkan kesalahan I dan lupakan dengan apa yang telah terjadi. I sangat-sangat menyesal. Please berilah I peluang sekali lagi,” rayu Amy dengan suara manjanya. 

“Dengar sini baik-baik Amy, hubungan kita dah berakhir dan pertunangan kita juga putus. Nanti I akan maklumkan kepada orang tua kita tentang hal ini. Selepas ini I tak ada urusan peribadi lagi dengan you.” Tinggi suara Yusri Erdhan dan kasar. Talian dimatikan tanpa mendengar kata-kata terakhir dari Amy. Seperti kata Aidil harus ada titik muktamad yang jelas lagi terang. Mukanya semakin tegang dan dahinya juga semakin berkerut. Aidil hanya tersenyum memandang Yusri Erdhan.

“Amy.. Amy..” Nama itu keluar dari mulut Yusri Erdhan. Aidil tidak ingin memberikan sebarang komen. Biarlah Yusri Erdhan dengan masalahnya, tahulah teman baiknya itu menyelesaikannya. 

“Amy yang menghiburkan, Amy yang menyusahkan, Amy yang menjadi madu dan racun,“ luah Yusri Erdhan lagi. Kali ini Aidil ketawa mendengar luahan rasa temannya itu. Memang betul kata-kata Yusri Erdhan. Amy tu punya banyak perisa, bak resipi orang cina ada 4 rasa manis, pahit, pedas dan masin.

“Perempuan Yusri, mereka boleh menjadi penawar atau bisa kepada kaum Adam. No women no cry,” tukas Aidil. Termeterai ukiran senyuman di bibir Yusri Erdhan lalu berderai tawa kecil yang juga disambut oleh Aidil. Kali ini telefon bimbit Yusri Erdhan berbunyi lagi. Lelaki itu menekan butang matikan telefon bimbitnya lalu menyanyi sendiri menghiburkan hatinya yang agak kecewa. Aidil hanya senyum sendiri melihat gelagat Yusri Erdhan.

MAK CIK LIJAH menjengah ke luar jendela melihat cuaca di langit kalau-kalau ada tanda hujan pada petang itu. Ada tompokan awan hitam tetapi masih belum ada tanda-tanda hari akan hujan. Namun di hatinya masih terasa bahang panas akibat kata-kata halilintar Mak Becok mempersoalkan keperibadian anaknya, Yasmin. Baginya Mak Becok tiada hak untuk mengatakan keburukan anaknya. Semua manusia ada kelebihan dan kekurangannya. Segala kekecewaan di hatinya diluahkan kepada adiknya Amiza. Anak lelakinya Jamal juga turut mendengar keluhan hati seorang ibu yang tersinggung dengan ucapan Mak Becok.

Amiza yang duduk di ruang tamu itu juga tidak tahan mendengar kutukan Mak Becok terhadap anak saudaranya Yasmin. Walaupun dia belum berkahwin lagi namun anak saudaranya itu sudah dianggap seperti anak kandungnya sendiri. Sedikit rasa marah membentak hatinya namun apa yang dapat dilakukan selain memujuk hati kakaknya itu agar perasaan itu tidak berpanjangan dan dendam yang tersimpan. 

“Sabarlah kak, semua orang kampung faham benar dengan perangai Mak Becok tu,” pujuk Amiza.
Jamal yang duduk di anak tangga depan rumah menggeliat sendiri merasa agak keletihan. Ketika mulutnya menguap luas disanggahnya dengan telapak tangan. Sebenarnya di dalam agama Islam ada garis petunjuk yang perlu kita ambil tahu mengenai adab menguap. Rasulullah SAW pernah memberitahukan kita bahawa ia adalah dari syaitan. Maka, apabila kita menguap atau terasa hendak menguap, maka hendaklah kita menahannya atau jika tidak mampu menahannya, hendaklah kita menutupnya dengan tangan. Bukan sahaja sekadar menutup dan menahan diri dari menguap dengan sedaya upaya, tetapi hendaklah juga kita mengelak dari mengeluarkan bunyi ketika menguap. Kerana apabila seseorang itu menguap sambil mengeluarkan bunyi, maka syaitan akan ketawa. 
 
“Mak janganlah fikirkan sangat tentang ucapan Mak Becok tu. Bukannya mak baru kenal dia dalam sehari dua. Kitakan dah duduk sekampung dengan dia dah berpuluh-puluh tahun. Orang kampung kenal sangat siapa Mak Becok tu. Apa pun yang dikatakannya bukannya boleh masuk dalam majalah gosip pun. Paling tidak masuk telinga kanan keluar telinga kiri,” pujuk Jamal kepada ibunya.

“Betul kata Jamal tu kak. Mak Becok tu suka cari kelemahan sesiapa saja untuk dijadikan topik. Dia tak senang ada orang kampung yang lebih dan senang dari dia. Akak janganlah simpan dalam hati pula,” sokong adiknya juga.

Mak Cik Lijah menarik nafas panjang, dihembus perlahan. “Aku bukan apa sedih juga rasanya bila orang mengata anak dara kita,” keluh Mak Cik Lijah, meluahkan perasaannya yang sedang berbaur kecewa.

“Apa susah-susah, mak carikan saja jodoh untuk Yasmin tu. Taklah orang mengata lagi dan risau biarkan anak dara mak kerja di KL tu.” Mak Cik Lijah menjeling memandang anak lelakinya itu. Jamal tesengih-sengih.

“Amboi..amboi.. sedapnya mulut dia cakap pasal jodoh adik dia tu yang engkau sendiri tu bila lagi nak fikir tentang nak berumah tangga. Ini asyik fikirkan ladang dia je. Mak dan ayah juga teringin sambut menantu apalagi menimang cucu. Kami ni makin hari makin tua entah esok lusa dah sampai ajal tak kesampaian juga hajat kami ni,” tutur Mak Cik Lijah tepat masanya mengambil peluang itu bercakap soal jodoh anaknya Jamal pula. 

“Hmmm...” Itu yang keluar dari mulutnya. Tidak tahu apa yang harus dijawabnya. Bukannya dia tidak pernah memikirkannya tetapi kesibukannya dengan ladang tanaman dan baru ini dia mengusahakan ladang ternakan membuat dia tidak mempunyai masa untuk berkenalan dengan mana-mana gadis. Lagipun menurutnya mana ada gadis sekarang yang ingin berteman atau bersuamikan seperti dirinya. 

Setiap hari badannya melekit-lekit dengan peluh dan bau ternakan kambing dan ikan air tawarnya. Petani yang berlumuran dengan tanah, keringat dan kotoran selalu dipandang rendah oleh gadis zaman sekarang. Mereka lebih mengimpikan lelaki yang berkemeja kemas, bertali leher dan duduk di pejabat penghawa dingin walaupun setakat budak pembantu pejabat. 

“Tadi kau kata nak ke ladang,” beritahu Mak Mizanya. Jamal segera meninjau cuaca di langit yang kelihatan panas kembali. Dia juga tidak arif menduga cuaca yang tidak menentu itu. 

“Nak pergilah ni, ermm.. mak.. Jamal jalan dulu ya.” Jamal segera memakai topi lebarnya yang diperbuat daripada daun mengkuang. 

“Hmm. Hati-hati di jalan,” balas Mak Cik Lijah. Mak Miza sengaja berkata demikian tadi melihatkan Jamal tidak ada idea untuk menjawab kembali ucapan kakaknya itu. Jamal segera menghidupkan enjin motosikalnya. Deruman enjin diintai oleh sepasang mata milik Mak Cik Lijah dan Mak Miza yang juga duduk di balkoni rumah tua itu.

SEPANJANG mesyuarat itu Yasmin berusaha menumpukan perhatiannya kepada isi perbincangan untuk majlis makan malam amal. Sekali lagi En Rahmat memberikan kepercayaaan kepada dia untuk mewakilinya. Pengurus Pentadbiran itu mempunyai agenda lain yang sama pentingnya. Satu kelegaan terungkap setelah hampir dua jam mesyuarat itu berlalu. Dia sanggup bertongkat mata di hadapan komputer berjam-jam lamanya daripada duduk walaupun hanya mendengar beberapa minit di dalam mesyuarat itu. 
 
“Yasmin!” Langkahnya terhenti sebaik saja dia berada di muka pintu. Puan Munirah memanggilnya. Dia berpaling kembali kemudian berjalan mendekati wanita itu yang berjawatan sebagai Pengurus Perhubungan Awam.

“Duduk, ada hal saya nak bincangkan dengan awak mengenai majlis pada malam itu,” beritahu Puan Munirah. Duduknya menjadi tidak senang apabila melihat wanita berusia 40an dan berpenampilan menarik memandangnya dengan tajam tanpa secalit senyuman di bibirnya. Timbul perasaan tidak yakin dengan wanita itu. Perasaan yang selalu menghentam semangatnya. 

“Sebenarnya saya benar-benar perlukan seseorang untuk menjadi pengiring tetamu terhormat pada malam itu. Kebanyakan staff yang ada sudah diberikan tugas masing-masing. Saya terpaksa meminta kerjasama daripada awak untuk melakukan tugas ini pada majlis itu nanti.” Puan Munirah memandangnya dengan pandangan yang kurang enak. Serta merta pandangan Yasmin menjadi kelam. Padahal dia sudah merancang sendiri untuk memberikan apa sahaja alasan agar tidak dapat hadir ke majlis itu. Sesak nafasnya melihat Puan Munirah terus memandangnya menanti jawapan dari dirinya sendiri. Seoalah-olah dia tidak mempunyai pilihan selain daripada menerimanya.

“Baiklah Puan,” patuh Yasmin yang tidak ikhlas dengan jawapan itu. Dalam waktu yang sama wanita itu teragak-agak untuk memberikan tugasan itu kepadanya. Dia sering mendengar anak buah En Rahmat itu sering menggelabah melakukan satu tugas. Yasmin bisa menjejaskan imej syarikat jika itu benar-benar terjadi.
Melihat cara berpakaian Yasmin hari ini membuat semua mata melirik kepadanya beberapa kali. Kemeja lengan panjang yang dibutang sehingga ke leher dan skirt labuh panjang yang hampir menyapu lantai dengan tudung bawal berwarna hitam. Hanya secalit gincu yang kelihatan di bibir gadis itu. Padahal gadis ini ada daya tarikannya jika diasah dengan pakaian dan dandadan yang sesuai. 

“Lagi satu yang penting saya nak ingatkan.” Wajah Yasmin direnungnya dengan pandangan yang serius. 
 
“Malam itu saya nak awak berpenampilan menarik sedikit. Maksud saya cubalah berpakaian yang sesuai dengan majlis itu nanti memandangkan awak berinteraksi terus dengan tetamu terhormat kita. Berdandanlah dengan menarik sedikit kalau tak pandai minta bantuan rakan-rakan kat syarikat atau pergi ke salon-salon yang berdekatan. Kalau di pejabat awak bolehlah buat sesuka dengan penampilan yang awak suka tapi untuk majlis itu saya berharap sangat-sangat jaga imej syarikat kita. Saya bukan nak itik bertukar jadi angsa.” Hati Yasmin benar-benar tersayat mendengarnya. Sinis sekali kata-kata Puan Munirah walaupun bersahaja.
Ya Allah hina sangatkah hambamu ini. Ya Allah buruk sangatkah ciptaan-Mu ini. Dia faham kalau penampilan dirinya sedang diukur oleh Puan Munirah.

“Atau awak perlukan bantuan?” soal Puan Munirah lagi. Yasmin menggeleng-geleng kepalanya. 

“Baiklah saya harap majlis itu akan berjalan dengan lancar dan awak memberikan kerjasama dalam majlis itu nanti,” Puan Munirah menutup buku hariannya lalu meninggalkannya sendiri. 

Dengan lemah longlai dia mengatur langkahnya juga. Hatinya membungkam resah. Kenapa dia yang mesti menjadi pengiring pada malam itu. Bukankah ramai staff lain yang lebih sesuai berbanding dengan dirinya. Langkahnya menjadi sumbang apabila melihat kelibat Mimi dan Suzi bertembung dengannya di hadapan pintu lif. Yasmin menghadiahkan senyuman untuk mereka berdua tetapi tidak dibalas. Segera dia mematikan senyumannya. Mimi memuncung bibirnya ke depan dengan senyuman sinis. Tiba-tiba saja Mimi berpatah kembali dan menghalang Yasmin masuk ke dalam.

“Aku nak ucapkan tahniah kepada kau sebab jadi pengiring VIP. Sebenarnya aku yang mencadangkan Puan Munirah lantik kau jadi pengiring sebab malam tu kan kau akan pakai baju glamour tu mestilah vogue,” beritahu Mimi dengan deraian ketawa yang panjang. Suzi juga ketawa mendengarnya. Bertambah sedih Yasmin mendengarnya. Lif yang terbuka tadi tertutup kembali, dia hanya mampu melihat Mimi dan Suzi mentertawakannya. 
 
“Tak sabar aku nak tengok gaya gadis kampung terakhir tu malam amal tu nanti.” Makin seronok Mimi mengata Yasmin.

Ya Allah Yasmin amat terluka sekali. Ya Allah Yasmin perlukan satu kekuatan dalam diri ini. Ya Allah kenapa semua ini menjadi. 
 
Sungguh Setiap perbicaraan yang keluar daripada seseorang menunjukkan apa yang ada dalam fikirannya serta perangainya. Berbicara sesuatu yang perlu dan menghindari perbicaraan yang tidak berfaedah merupakan ibadah yang besar pahalanya. Orang yang tidak memperkatakan sesuatu yang tidak berfaedah baginya merupakan tanda kejayaan hidupnya sebagai seorang mukmin. Mengumpat itu adalah perbuatan mengeji atau mengutuk orang lain di luar pengetahuan orang tersebut adalah dilaknat Allah. Mereka yang bersikap demikian secara tidak disedari atau tidak mencela dan mengaibkan orang lain adalah hukumnya dosa besar. .

No comments:

Post a Comment