Sunday, April 17, 2011

Novel Kuseru Nur Kasih ~ Bab 2


Zaman Pengajian Tinggi -Universiti Islam Antarabangsa.


VALENTINES Day atau lebih tepatnya dikenali dengan hari kekasih yang dipopularkan oleh masyarakat barat kini menjadi ikutan oleh masyarakat timur khususnya oleh pasangan kekasih. Namun ia bukanlah budaya umat islam khasnya di negara Islam seperti Malaysia. Sejak tahun 1980an lagi budaya asing ini semakin mendapat tempat di media cetak dan elektronik.

Malah industri-industri swasta seperti perhotelan juga sering menyediakan pakej menarik untuk sepasang kekasih bagi merayakan perayaan itu. Namun di dalam islam ia bukanlah satu budaya yang harus dibanggakan atau dirayakan. Kerana sebahagian besar pasangan menyalahgunakan definisi hari kasih sayang ini dengan melakukan sesuatu yang menyimpang jauh daripada norma-norma atau batasan yang melebihi daripada hukum agama itu.

Semakin banyak topik ini diperdebatkan semakin ghairah perayaan ini disambut dengan jambangan bunga, kad-kad ucapan malahan makan malam yang ekslusif. Realitinya siapa yang tidak ingin mendapat semua itu. Hati sang kekasih mana yang tidak kembang kecup mendapat penghormatan dan layanan istimewa.

Fenomena begini tidak terkecuali dengan pelajar-pelajar kampus itu. Masing-masing sibuk bercerita mengenai kehebatan kekasih yang telah menjanjikan kejutan demi kejutan. Sesekali kicauan burung yang sudah lama bermastautin di halaman kampus itu menenggelamkan suara beberapa pelajar yang riuh dengan kedatangan teman mereka. Melihat jambangan bunga ros dipeluk ke dada sengaja menunjukkan kepada sekumpulan pelajar itu. Dari satu tangan ke satu tangan masing-masing membelek jambangan bunga yang digubah dengan kreatif.

“Mia kau tak takut kena tegur Profesor nanti. Kita beragama islam mana boleh menyambut perayaan ni? Tersilap langkah boleh tersasar dari landasan agama,” tegur Nurain. Mahasiswa sengkatan dengan Mia yang berada di situ juga mengangguk setuju.

“Aku tak sambutlah. Kekasih aku yang beri aku terimalah. Bukan nak merayakannya. Dah rezeki depan mata siapa yang tak nak.” Dia mengeluarkan kotak baldu hitam menunjukkan depan mata teman-temannya. Masing-masing berebut ingin melihat isinya. Nurain terlebih dahulu menyambar kotak tersebut. Matanya terbuntang melihat seutas gelang tangan emas berkilau.

“Seronoknya kau Mia.” Nurain menyerahkan kepada Sairah pula.

“Betul kata kau. Ini rezeki siapa tak nak terima. Tapi ingat Mia jangan sampai terpesong akidah. Merayakan perayaan hari kekasih bererti kita mempercayainya. Boleh murtad kalau terpesong akidah. Nauzubillahminzalik. Aku sekadar nak mengingatkan saja,” tutur Sairah.

“Betul tu Mia. Dalam hadis ada menyatakan bahawa sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka ia turut termasuk bersama golongan tersebut,” jelas Nurain lagi.

“Kau kena ingat Mia perbuatan meraikan hari berkenaan juga akan menjadi lebih bercanggah kerana ajaran Islam kerana ia dikaitkan sebagai usaha untuk memperingati kematian seorang paderi yang dibunuh seperti mengikut sejarah purba Rom. Kita sebagai umat Islam tidak seharusnya menjunjung budaya atau amalan seperti ini. Jelas sangat bertentangan dengan agama kita,” jelas Nurain lagi.

Merah wajah Mia mendengarnya. Tudung dikepalanya dikemaskan beberapa kali. Sakit telinganya mendengar ceramah tak henti-henti dari dua mahasiswa itu. 

Mengikut sejarah mitos, sambutan berkenaan diasaskan oleh masyarakat Rom yang beragama Kristian sebagai memperingati peristiwa seorang paderi yang dihukum bunuh oleh pemerintah Rom, Claudius.

“Boleh tak korang diam sikit. Sakit telinga aku mendengarnya. Kalau cemburu terus-terang sajalah. Tak perlu bersyarah memanjang dengan aku.” Nurain merengus marah. Lantas dia beredar dari pandangan kedua mahasiswa itu.

Dari jauh ada sepasang mata yang asyik memerhatikan gelagat teman-teman sekampusnya. Satu keluhan berat terluah. Bagaimanakah rasanya diri ini dicintai dan mencintai seseorang. Betapa bahagianya mereka yang sedang dilamun cinta. Apalagi mendapat kekasih yang benar-benar memenuhi citarasa masing-masing. Dia membetulkan kaca matanya. Buku di depan matanya dibiarkan diselak oleh angin pagi.

Teman karibnya menyedari kebisuannya itu. Lalu menyikunya beberapa kali. Yasmin tersentak. “Kau menungkan apa tu?” soal Rohana. Yasmin tersipu-sipu malu. Dia mengemas kembali buku-buku rujukannya.

“Kau pun tengah tunggu pakwe kirimkan bunga ke macam Mia tu?” Rohana faham dengan kebisuan Yasmin. Sekadar mengusik. Yasmin berkerut dahi memandang Rohana sambil membetulkan kaca mata yang agak tebal kantanya.

“Mana ada. Siapalah yang sudi nak jadikan Min kekasih. Jadikan Min badut sarkas adalah,” jawabnya sambil ketawakan dirinya sendiri.

“Hisy! Apa cakap macam tu. Kau tu pun perempuan juga ada hati dan perasaan. Setiap manusia tu diberikan kelebihan masing-masing yang kita sendiri tak nampak.” Yasmin menyambut ucapan Rohana dengan sekelumit senyuman yang kelihatan tawar.

“Perempuan yang punya impian. Dahlah jom masuk kelas dah nak hampir jam 10.00 pagi ni.” Rohana mengiakan kata-kata Yasmin lalu meninggalkan tempat itu.

YASMIN menyandarkan tubuhnya pada dinding sambil melunjurkan kaki di atas katil. Dia memejamkan kelopak matanya untuk menghilangkan rasa keletihan. Jam di dinding bilik itu sudah menunjukkan angka 11.00 malam. Sekujur tubuhnya dilapah rasa letih setelah menyiapkan tugasan yang diberikan oleh Profesor Alias. Namun terasa nikmat dan lega setelah dapat menyelesaikannya.

Rohana adalah teman sebiliknya. Mereka sentiasa ditakdirkan bersama walaupun ke peringkat pengajian tinggi. Dari sekolah rendah sehinggalah ke peringkat ini. Mereka sentiasa berjalan seiring demi menggapai cita-cita. Hanya Jamaliah saja yang berjaya mendapat biasiswa penuh melanjutkan pelajaran ke luar negara. Namun hubungan mereka bertiga tidak pernah putus begitu saja. Walaupun teman mereka yang satu itu jauh di perantauan namun sentiasa dekat di hati. Surat dan emel adalah penghubung antara mereka.

Rohana yang berada di meja belajar baru selesai membaca surat yang baru diterima dari keluarga di kampungnya. Surat itu dimasukkan ke dalam sampulnya kembali. Satu keluhan dilepaskan dari mulutnya. Kemudian dia menoleh kepada Yasmin yang masih duduk memejamkan mata.

“Min aku ada hal nak cakap ni,” kata Rohana. Yasmin mengangkat kelopak matanya perlahan-lahan. Pandangannya terus menghala kepada Rohana yang sedang duduk di meja belajar mereka. Dia memandangnya dengan tanda tanya.

“Hal apa?” soal Yasmin. Kaca mata diletakkan atas hidung semula. Rohana mengeluh sendiri dan merenung kepada surat di dalam genggamannya. Yasmin masih menunggu jawapannya.

“Aku ada dapat surat dari keluarga di kampung ni,” beritahunya. Yasmin tertawa kecil.

“Eloklah tu. Tapi kenapa muka Ana monyok macam tu. Ada berita tak baik? Pak cik dan mak cik sihat?” soal Yasmin mula memberikan perhatian. Wajah Rohana menceritakan cermin hatinya saat itu.

“Mak dan ayah sihat, mereka kirim salam kat kau juga.”

“Walaikumussalam, Habis tu ada masalah lain ke?” Yasmin mulai ragu dengan wajah muram teman baiknya.

“Entahlah Min nak kata berita buruk atau baik aku pun tak tau nak klasifikasikannya”. Rohana seolah-olah sedang bermain teka teki dengannya. Yasmin menjadi bingung tetapi berminat untuk mengambil tahu. Kakinya diangkat mencecah ke lantai lalu duduk di birai katil.

“Cakaplah ada apa?” soal Yasmin tidak sabar untuk mengetahui isi surat yang diterima Rohana.

“Keluarga aku nak tunangkan aku dengan anak kawan baik ayah aku. Namanya Faizal. Mereka nak jumpa aku secepatnya. Aku bingung juga nak kata apa. Sedangkan kami pernah bertemu sekali saja itu pun dua tahun lepas waktu mereka datang beraya di rumah kami,” jelas Rohana dengan panjang lebar. Yasmin tersenyum faham dengan kemelut masalah teman baiknya.

“Berita baiklah tu. Tinggal tunggu kata hati Ana saja. Nak atau tak nak,” tutur Yasmin. Rohana mengeluh panjang kali ini lalu duduk di sebelah Yasmin. Surat di tangannya masih digenggam erat.

“Tapi masalahnya aku belum kenal hati budi dia. Lagipun aku inginkan sebuah perkahwinan yang kekal hingga ke akhir hayat. Aku takut antara kami tiada keserasian atau persefahaman. Kadang-kadang pilihan orang tua ni tak semestinya cocok ini diri kita. Lainlah atas dasar suka sama suka. Aku takutlah nanti mahligai yang diimpikan tapi neraka pula yang dapat.” Hatinya mula berbelah bagi. Rohana melemparkan pandangan yang jauh di sudut bilik itu. Pandangan yang kosong dengan hati yang penuh dengan pelbagai soalan yang menerjah mindanya. Sedih Yasmin melihat wajah Rohana sedemikian. Pantang sekali dia melihat seseorang yang sedang dilema apalagi dalam kesusahan. Dia memahami apa yang sedang difikirkan dan dirasakan oleh Rohana. Yasmin menepuk lembut bahu Rohana yang mula hanyut dengan khayalan yang tidak bisa dia tebak.

“Beginilah apa kata Ana beritahu kepada keluarga di kampung supaya hubungan ini dimulakan dengan mengenali hati budi masing-masing. Kalau ada keserasian barulah Ana pertimbangkan hajat keluarga. Ana kenalah berusaha untuk meyakinkan pilihan keluarga itu tidak salah. Orang tua-tua kata selalunya pilihan keluarga itu yang kekal dan bahagia” usul Yasmin kepadanya. Rohana diam seketika memikirkan kata-kata Yasmin. Lama dia membisu kemudian memandang Yasmin dengan pandangan yang hambar sementara Yasmin sabar menunggu jawapannya.

“Insya'Allah Ana akan luahkan pendapat Min tu kepada ayah dan mak. Ana faham sangat dan percaya mereka juga tidak akan mendesak dalam hal begini. Kata-kata kau tu ada betulnya juga. Pilihan orang tua selalunya lebih kekal dan bahagia. Mungkin apa yang mereka nampak tidak terlihat oleh kita. Ayah dan mak dulu pun atas pilihan atuk aku juga.” Mereka berdua saling membalas senyuman.

“Lega hati Min dengar. Kalau tak susah hati juga tengok muka tu macam kena paksa nikah dengan duda anak sepuluh je,” usik Yasmin lalu membuat Rohana ketawa.

“Eh! Faizal tu handsome tak?” sakat Yasmin lagi. Rohana membeliak matanya lalu mereka ketawa bersama-sama.

HARI itu Yasmin merancang ke ibukota untuk mencari beberapa buku rujukan yang berkaitan dengan pengajiannya. Rohana tidak dapat mengikutinya kerana mempunyai agenda tertentu. Di toko buku Jalan Tuanku Abdul Rahman itu, Yasmin mula mencari buku yang ingin dibelinya. Dari satu rak buku ke rak yang lain dia khusyuk membaca judul buku yang dapat memancing minatnya. Satu demi satu buku diselaknya. Melihat orang ramai berpusu-pusu masuk ke dalam toko buku membuatnya semakin rimas dan ingin segera beredar dari situ.

Beberapa kali dia asyik terlanggar dengan pelanggan yang turut sibuk mencari buku di kedai itu. Melihat dari gaya dan cara pelanggan di situ kebanyakannya adalah pelajar sekolah dan universiti seperti dirinya. Selesai mendapat buku yang dicarinya dia terus mengatur langkahnya menuju ke kaunter pembayaran.

Namun pandangannya terjerat kepada satu buku yang memancing minatnya. 'Play With Beauty' berkali-kali dia membaca judul buku ini di dalam hati. Buku setebal 146 halaman yang dikarang oleh penulis Indonesia Anitya Rustami dan Ida Ayu Maruti. Entah kenapa dia begitu berminat untuk membaca isi buku itu. Matanya tertancap kepada sebaris ayat bahagian belakang buku itu. 'Tak ada perempuan yang tak ingin tampil cantik dan elegan dan ingin selalu sedap dipandang.'

Yasmin memandang orang-orang disekelilingnya. Malu rasanya kalau dia diperhatikan memegang buku itu. Dia mencuri baca lagi menyelak halaman buku itu secara rambang.

'Ada definisi tersendiri bagi setiap kecantikan perempuan. Cantik bisa saja muncul dari perasaan sendiri yang merasa nyaman, berada di tempat yang tepat, momen yang tepat, dan suasana yang tepat. Realitinya keinginan sedemikian alias berdandan bukan untuk diri sendiri menimbulkan kelelahan.'

Yasmin agak kurang mengerti dengan bahasa Indonesia itu walaupun faham sedikit sebanyaknya. Dia meneruskan lagi pembacaannya tanpa melihat pelanggan yang sibuk dengan hal masing-masing. Yasmin tersenyum membaca setiap huraian buku itu. Ternyata penullis buku itu berjaya menjerat dirinya agar terpancing untuk membeli buku itu. Tidak puas dia menelaah buku itu terasa ingin juga membelinya.

Tapi akal fikirannya mengatakan buku itu bukan sesuatu yang perlu untuknya buat masa ini. Jauh di sudut hatinya teringin sangat memilikinya. Seakan dirinya perlu untuk menimba ilmu daripada isi buku itu. Terbuai dengan keasyikannya tiba-tiba dia bagaikan dikejutkan dengan bunyi penggera terus melihat jam di tangannya. Dia ingin meletakkan kembali buku itu di raknya semula. Belum sempat dia berbuat demikian kepalanya terhantuk dengan salah seorang pelanggan menyebabkan buku di tangannya terjatuh serta merta.

Yasmin menggosok-gosok kepalanya berkeriut. Dilihat lelaki di sebelahnya juga sedang menggosok-gosok dahi menyeringai. Segera Yasmin meminta maaf. Cemas dan serba salah dengan tindakannya.

“Ermm... ma.. maafkan sa.. saya encik sa.. saya tak sengaja.” Gugup Yasmin mengucapkannya. Lelaki tersebut memandangnya dengan kelat kemudian terukir senyuman di bibirnya.

“Tak apa saya juga yang salah sebab tak perasan tadi,” tutur lelaki yang gayanya seperti seorang mahasiswa juga. Melihat buku yang terjatuh di lantai lelaki itu segera mengambilnya semula. Sempat dia membaca judul buku itu. Lelaki itu tersenyum memandangnya. Yasmin teragak-agak membalas senyumannya. Sengaja dia membetulkan kaca matanya. Dia menjadi tidak selesa. Orang ramai mulai bersesak-sesakan.

“Err... awak minat baca buku macam ni ke?” soal lelaki itu. Mukanya merona merah kerana malu dengan pertanyaan seperti begitu. Dia menjadi gelisah semacam. Jari jemarinya menjadi seram sejuk. Matanya dihalakan kepada pelanggan-pelanggan yang silih berganti. Dahinya merasa bahang kepanasan. Itulah yang selalu terjadi kepadanya setiap kali ada lelaki menegurnya.

“Maaf.. perkenalkan nama saya Khairul. Awak?” tanya lelaki itu menghulurkan tangan untuk berkenalan dengannya.

Seluruh tubuhnya bagaikan kena sawan melihat sikap peramah lelaki itu. Mulutnya tergagap-gagap untuk mengeluarkan suaranya. Beginilah selalu akan terjadi setiap kali ada kaum 'Adam' yang menghulurkan perkenalan. Kerana itu juga dia selalu diejek oleh teman sekolah kerana sikap gagapnya yang mengundang kelucuan dan dijadikan bahan jenaka. Khairul terus berdiri di hadapannya masih setia menunggu tangannya disambut oleh Yasmin. Lucu. Ketika Khairul mula merapati dirinya serta merta Yasmin berlari meninggalkan tempat itu. Pelik lelaki itu melihat kelakuan Yasmin. Tergelak dia sendirian. Lelaki itu menggeleng-geleng kepala melihat buku yang ditinggalkan oleh Yasmin.

MACAM MANA engkau boleh tinggalkan buku-buku tu macam tu je” soal Rohana kehairanan.
Pelik dia melihat Yasmin pulang tanpa membeli apa-apa pun. Padahal dia sudah berkira-kira untuk meminjam dulu buku itu. Yasmin hanya membisu tidak ingin menceritakan hal sebenarnya. Yasmin mengambil sikap berdiam diri walaupun didesak Rohana. Jam tangan menunjukkan pukul 2.30 petang. Bunyi keroncong di perutnya sudah beberapa kali berbunyi minta diisikan. Tapi kali ini lebih jelas kedengaran sehinggakan Rohana tergelak mendengarnya. Yasmin tersengih ketika memandang Rohana menggeleng-geleng kepadanya.

“Aku ni tanya kau. Tak sangka pula aku suara kau dah bertukar fungsi kat perut,” usik Rohana. Yasmin tergelak mendengar gurauan gadis bertudung litup itu.

“Jomlah kita cari makan dulu,” ajak Rohana.

“Habis dari tadi Ana membebel sampai perut Min pun tak tahan dengar sebab itulah dia berkeroncong.” Yasmin membuat muka merajuk. Rohana tersenyum melihat wajah itu.

“Yelah sayang, aku tak membebel lagi.”

“Apa kata kita ke kedai Pak Mamat makan soto ayam. Dah lama kita tak ke sana.”
Rohana mengangguk kepala setuju. Mereka berdua berjalan seiring menuju ke gerai makan Pak Mamat. Sampai di kawasan letak kereta, Yasmin terpandang dengan seorang lelaki yang sedang menyandarkan diri di pintu kereta. Lelaki ini yang telah menyebabkan dia tidak jadi membeli buku-buku rujukannya. Entah tiba-tiba hatinya berbunga riang dengan pertemuan itu. Kali ini dia berharap lelaki itu akan menegurnya lagi dan tidak akan dia persia-siakan perkenalan ini.

'Aku mesti berani' jerit kata hatinya. Sengaja dia mengajak Rohana melalui jalan di hadapan lelaki itu. Berdebar-debar rasa hatinya. Tidak sampai beberapa langkah hatinya kembali menjadi berbelah bagi. Kegugupannya mengunci dirinya. Peluhnya mula merenik walaupun keadaan ketika itu tidak terik. Jari jemarinya kebas. Yasmin tiba-tiba berhenti. Rohana juga mengikut langkahnya. Pelik melihat sikap temannya itu.

“Kenapa Min?” soal Rohana.

“Ttt..tak ada apa.” Gugup Yasmin menjawabnya.

“Mesti ada apa-apa. Aku bukan tak kenal dengan kau Min. Apa dia cakaplah,” desak Rohana.

“Jomlah kita ikut jalan sebelah sana.” Yasmin menarik tangan Rohana menuju ke jalan lain.

“Laaaa kita dah nak dekat ni. Kan jalan sana lebih jauh dan ambil masa. Kau ni kenapa Min? Mesti ada apa-apa ni,” soalnya lalu matanya melihat-lihat sekeliling mencari penyebab Yasmin tukar fikiran.

Hampir 10 minit mereka tidak berganjak dan adegan tarik menarik terus berlaku. Rohana tidak puas hati dengan sikap Yasmin, ada saja alasan yang tidak menasabah yang diberikan. Mau tidak mau Rohana mengikut saja permintaan Yasmin yang kadang kala membuatnya berasa sebal.

Akhirnya mereka berpaling mengikut jalan lain. Namun suara lelaki itu kedengaran sedang memanggilnya. Yasmin tersentak. Rohana berpaling ke belakang mencari pemilik suara itu. Seorang lelaki yang tidak dikenali mendekati mereka. Dalam masa yang sama Yasmin terus menarik-narik tangan Rohana agar mereka beredar dari situ. Rohana tidak mempedulikannya. Melihat sikap keras Rohana dia terpaksa beralah kali ini. Dia berpaling menghadap lelaki yang bernama Khairul itu. Tertunduk diam.

“Awak yang semalam di kedai buku tu kan?” Khairul tersenyum memandang mereka berdua. Yasmin mula gelabah. Rahsianya terbongkar jua. Rohana mula faham dengan sikap ketidakselesaan Yasmin. Dia memandang Rohana dengan wajah cemas.

“Kenapa awak tinggalkan buku-buku tu macam tu je? Atau awak memang tiada niat nak beli.” Yasmin hanya mengangguk-angguk kepala saja. Dia menjadi gemuruh tak tentu pasal.

“Saya bukannya ada niat jahat pun sekadar bertanyakan nama awak itu saja tak ada maksud yang lain pun,” terang Khairul kepadanya. Rohana hanya tersenyum memandang lelaki itu.

“Maafkanlah kawan saya ni.. dia ni pemalu sikit,” tutur Rohana bagi pihak Yasmin. Yasmin mencuit lengan Rohana. Malu dengan penjelasan Rohana.

“Ooo begitu. Siapa nama awak berdua? Belajar kat kampus ni ke?” Lelaki itu ingin tahu.

“Nama saya Rohana. Kawan saya ni Yasmin. Kami memang pelajar sini,” jawab Rohana. Khairul mengangguk-angguk kepala senyum. Baru saja Khairul menghulurkan tangannya kepada Yasmin, tiba-tiba ada satu suara perempuan memanggil nama lelaki itu.

Kemunculan Mia membuat Yasmin dan Rohana menjadi tidak selesa. Pandangan perempuan itu seolah-olah ingin menelan mereka berdua. Seakan-akan mereka tidak layak berdampingan dengan Khairul. Melihat dari gaya lelaki itu saja mereka dapat mengagak pastilah dari anak keluarga berada.

You buat apa kat sini. Mia lapar sangat ni atau you nak makan dengan mereka sekali ke? Sejak bila you.dah tukar selera,” sindir Mia selamba. Rohana faham dengan ucapan itu hanya mampu berdiam diri saja. Memang dari dulu mereka tidak pernah bertegur sapa dengannya. Itupun jika hanya ada urusan yang berkaitan dengan kegiatan kuliah saja.

“Janganlah macam ni, takde apa-apa pun,” bisik Khairul pula. Mia menarik muka masam. Khairul memberikan senyuman hambar kepada mereka. Seolah-olah menggambarkan kekesalan di hatinya atas sikap Mia pada ketika itu. Sempat meminta izin lalu menarik lengan Mia beredar dari situ. Pintu kereta otomatik berbunyi kedengaran. Kereta buatan luar negara itu menderum dengan kasar lalu hilang dari pandangan mereka dalam beberapa detik.

“Dah lah Min anggap saja kata-kata Mia itu sebagai satu gurauan. Janganlah dimasukkan ke dalam hati pula,” nasihat Rohana kepadanya. Yasmin hanya mampu mengangguk kepala dengan segaris senyuman. Jauh sudut di dalam hatinya dia berasa sedih sekali kerana sering berhadapan dengan situasi begitu. Dia sering dipandang rendah oleh kaum hawa sendiri. Orang selalu menilai dirinya daripada segi fizikal tapi tidak hati budinya.

No comments:

Post a Comment