Sunday, June 26, 2011

Novel seram Jangan Sebut Namaku

Alhamdulillah akhirnya novel ini akan diterbit juga. Semoga sambutannya kali ini amat baik. Melihat illustrasi cover ini memang akan membuat setiap orang memikirkan tentu sarat dengan kisah hantu.

Sebenarnya apa yang ingin diceritakan di dalam novel ini?
Sebetulnya agak sukar juga saya mencari tajuk novel ini. Mulanya ingin mencari nama tajuk yang biasa sahaja tanpa kelihatan seramnya tetapi tidak juga kena sekiranya saya berbuat demikian. Lalu saya memilih Jangan Sebut Namaku.

Tentu ramai pelik nama siapa pula jangan disebut itu? 
Hehe.. Sekiranya mahu tahu lebih kenalah dapatkan novel ini. Tetapi percayalah saya tidak menulis kisah hantu semata-mata. Mungkin ada bahagian seramnya beberapa bab nanti. Tetapi akan ada penjelasan nanti pada akhir cerita ini.

Cerita ini terinspirasi setelah saya banyak membaca kisah Illuminati. Lalu saat suami saya memberi saya satu set dokumentari The Arrival. Memang menakjubkan dokumentari itu. Lalu saya berfikir kenapa tidak menyelitkan kisah illuminati yang berfahaman penyembah Lucifer itu di dalam sebuah cerita. Tetapi perlu ada garapan yang bersesuaian dalam budaya kita.

Inilah hasilnya dan saya membuat lagi sebuah slideshow bagi memberi gambaran kepada semua pembaca sebelum membelinya. Hanya saya berharap kepada pembaca tidak menyamakan karya JSN ini dengan sifu Abg RAM atau sehebat kisah hantu Zaifuzaman. Saya dengan gaya penulisan tersendiri dan seperti biasanya banyak mesej keagamaan yang selitkan. Ada juga beberapa potong hadis agar cerita ini tidak dilihat daripada segi tahyulnya.

Akhir sekali lagi, terimalah novel ini sebagai bentuk teladan kepada diri kita yang tidak terlalu dihamba-abdikan oleh budaya hendonisme dan dikaburkan dengan dunia Illuminati. Semoga ada ilmu yang boleh dicedok di dalamnya.