Sunday, April 17, 2011

Kuseru Nur Kasih~Bab 10

MALAM menjengah tabir kegelapan ketika putaran jam semakin cepat berlalu. Tatkala langkahnya memasuki kawasan perumahan itu hatinya sering dirundung kegelisahan. Sunyi dan gelap. Langkahnya isemakin cepat. Timbul kelegaan mendengar deruman enjin kereta yang melalui kawasan itu. Sesekali dia menoleh ke belakang agar lebih berwaspada. 

Sampai di satu selekoh tiba-tiba dia disergah dengan satu kelibat lelaki yang dia tidak pasti. Beg tangannya diragut dengan kasar. Dengan kudrat yang ada dia berusaha melawan agar niat jahat lelaki itu tidak kesampaian. Dalam waktu yang sama dia mendengar deruman enjin motosikal mendekati mereka. Mulutnya tidak henti-henti berteriak meminta tolong. Peragut itu terus bergelut merampas beg tangannya. Namun kudrat perempuan sepertinya apakan daya terlawan. Lelaki yang sedang memboceng di atas motosikal itu tiba-tiba memberikan dua penumbuk di matanya. Bagaikan angin menghembuskan segala daya kekuatannya dia jatuh terjelupuk di atas jalan raya. Kaca matanya terjatuh dari atas hidungnya. Kepalanya sakit dan dan pandangannya menjadi berpinar-pinar di dalam kegelapan.

Akhirnya peragut itu berjaya membawa lari beg tangannya. Yasmin tidak mampu bergerak kerana kepalanya sakit sekali. Air matanya bercucuran keluar dengan derasnya. Dari kejauhan dia dapat melihat ada kenderaaan yang bakal lalu di jalan itu. Dia melambai-lambai tangan meminta tolong. Melihat keadaan Yasmin yang masih terduduk di tepi jalan membuatkan pemandu itu berhenti.

“Ya Allah, apa terjadi ni,” soal Aidil lalu dibantu oleh tunangnya Farina. Yasmin dipapah masuk ke dalam kereta. Kaca matanya dipegang dengan erat walaupun sudah kelihatan ada rekahan pecah. Matanya sudah kelihatan kemerahan dan mengalir sedikit darah dari lubang hidungnya. Yasmin masih tercungap-cungap menangis.

“Saya telah diragut, beg tangan saya dibawa lari,” beritahu Yasmin semakin kuat esak tangisnya. Dia masih terkejut dengan peristiwa yang menimpa dirinya. Malang tidak berbau.

“Awak mesti dapatkan rawatan ni. Mata awak kena tumbuk ni, takut nanti ada kecederaan yang lebih serius,” kata Farina yang begitu rawan melihat esak tangis Yasmin. Yasmin hanya mengangguk-angguk kepalanya.

“Lebih baik kita pergi ke balai polis dulu, biar mereka buat laporan dan lihat keadaan awak dulu,” usul Aidil. Yasmin hanya mengiyakan saja cadangan Aidil. Hampir sejam Aidil dan Farina menemani Yasmin membuat laporan polis berhubung dengan kes ragut ke atas dirinya. Farina berusaha menenangkan Yasmin yang masih trauma. Dia hanya mampu tunduk dan meramas-ramas mata dan pipinya yang terasa bahang dan mula membengkak.

“Tak apalah saya tidak ingin menyusahkan awak berdua. Tolong hantarkan saya ke rumah saja,” kata Yasmin dengan sedu sedannya. Farina mengeluh.

“Kami boleh hantarkan awak ke klinik. Bukan jauh pun klinik yang berdekatan kawasan ni. Mata awak tu dah kelihatan merah. Nanti tambah bengkak dan lebam. Hidung awak asyik mengalir darah je. Takut ada kecederaan di dalam yang serius. Awak kena periksa doktor ni,” pujuk Farina lagi.

“Betul kata tunang saya ni. Pasal pembayaran biar saya jelaskan dulu. Saya ikhlas nak tolong awak ni, janganlah fikir yang bukan-bukan. Lagipun awak perlu dapat surat cuti juga. Takkan esok awak nak bekerja dalam keadaan begini. Majikan awak mesti suruh awak balik juga lihat keadaan awak ni,” ujar Aidil cuba berkompromi dengannya. Yasmin menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia langsung tidak mengendahkan kata-kata pasangan itu. Linangan air matanya dibiarkan membasahi pipinya. Farina menarik nafas lalu memandang kepada Aidil yang sedang memandu. Mereka tiada pilihan melainkan mengikut kehendak empunya badan itu.

“Baiklah kami akan hantar awak pulang,” tutur Aidil mengalah. Yasmin segera memberitahu alamat rumahnya.
Dalam perjalanan Yasmin asyik meringis kesakitan sambil diramas-ramas matanya. Dia tidak ingin menyusahkan kedua insan yang sudah berbudi dengannya. Sedih hatinya mengenangkan kejadian yang selalu ditakuti akhirnya terjadi juga. Hilanglah sudah gambar kenangan mereka bertiga ketika menghantar Jamaliah ke lapangan terbang beberapa tahun dahulu. Gambar itu diselitkan di dalam dompet duitnya. Seingat-ingatnya ada wang tunai RM70.00 dan sen yang dia tidak pasti di dalam dompet itu. Namun dokumen penting seperti kad pengenalan, pas pekerja dan kad bank yang dirisaukan. Dia harus melaporkan tentang kecurian kad banknya kerana di dalam akaun ada tersimpan sejumlah wang yang disimpan sejak dia bekerja. Rawan hatinya dengan nasib yang menimpanya. Matanya dikepal-kepal dengan telapak tangan perlahan-lahan. Terasa sakit yang amat sangat. Bayangkan penumbuk seorang lelaki yang dalam keadaan terdesak. Pastilah dia jatuh tersungkur dan tidak terdaya melawannya. Farina menoleh ke belakang memerhatikannya. 

“Awak janganlah sedih. Saya pasti kejadian ini akan mendapat perhatian pihak polis juga. Walaupun barang yang hilang tak akan dapat dikembalikan. Dokumen penting yang hilang awak mesti buat laporan esok. Nanti sampai rumah ambil semangkuk air hangat campur dengan sedikit garam dan rendam dengan tuala kecil. Perah dan kepalkan ke mata awak tu,” tutur dan nasihat Farina perlahan-lahan. 

Yasmin diam membisu. Hatinya menjadi rawan dengan perhatian insan yang baru dikenalinya. Tangisannya sudah tidak dapat dibendung lagi. Tiba-tiba esak tangisnya memecah keheningan dalam kereta waja Aidil. Yasmin tidak dapat menahan emosi. Tangisannya ibarat anak kecil kehilangan ibu. Farina menjadi serba salah melihat situasi itu. Dia berusaha menenangkan Yasmin. Semakin deras air mata yang mengalir. Aidil mengintip aksi Yasmin dari cermin pandang sehala ke belakang. Dalam simpati melihat nasib Yasmin ada rasa lucu menggeletek hatinya. Ditahan-tahanya perasaan itu agar tidak terluah.

YUSRI ERDHAN mendengus kasar. Geram hatinya bila nombor yang didailnya asyik menerima pesanan suara. Sejak dua jam yang lalu di gagal mengesan keberadaan Aidil. Telefon ke rumah Aidil tiada yang menjawabnya. Melihat jam di tangan fikirannya melayang jauh kepada wajah mamanya yang sedang marah-marah. Pasti sekarang ini keluarganya sedang melayan karenah keluarga Tan Sri Azman. Kasihan mamanya pasti sedang berusaha memberikan alasan yang terbaik untuk menutup kesangsian dan anggapan buruk. Tan Sri Azman pastilah tidak berkira sangat tentang ketiadaannya. Namun Puan Sri Nora dan Amy bagai burung belatuk yang terus mencari tahu. Kalaulah mama tahu betapa niatnya itu memang serius dan muktamad pastilah mengamuk besar orang tua itu. 

Keinginan mamanya yang ingin bermenantukan Amy amatlah besar sekali. Apa yang istimewa sangat dengan Amy dia pun kurang periksa. Melihat dengan kesempurnaan fizikal Amy miliki dia tidak membantah apabila niat mamanya untuk menjodohkannya. Pertunangan mereka berjalan dengan lancar sehinggalah dia sendiri menangkap Amy di dalam kereta mewah milik seseorang yang dia tidak kenal. Mengingatkan kembali kejadian itu hanya akan menambah luka yang sudah berdarah. Jari jemarinya menggenggam meluahkan perasaan marah. Dia tidak ingin perasaan marahnya menguasai dirinya kembali.

Sudah hampir dua minggu dia menginap di hotel itu. Padahal Aidil berkali-kali memaksanya tinggal di rumah sewanya. Bukan dia tidak mahu tapi dia ingin bersendirian untuk menilik, meneliti dan memikirkan arah hubungannya dengan Amy. Dia juga menyatakan hasratnya untuk mencari rumah sewa agar dia dapat hidup berdikari tidak terkongkong di dalam banglo mewah Datuk Yaseer Ikhram dan Datin Ifa. Aidil juga mendesaknya tinggal bersamanya. Namun dia inginkan privasi sendiri. Padahal dia sudah memiliki tiga buah rumah mewah miliknya sendiri. Namun pastilah mamanya dapat menjejaki tempat tinggalnya. Dia meminta Aidil mencarikan rumah yang sederhana tetapi lengkap kemudahannya. 

Penghawa dingin dari celah siling muka pintu hotel masuk itu menghalangnya untuk maju ke luar hotel. Tubuhnya kedinginan. Perutnya memberi isyarat minta disikan. Langkahnya membelok ke kafe. Namun langkahnya terhenti tatkala telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Melihat tiada nombor yang tertera hanya perkataan 'private' yang keluar. Tanpa berfikir panjang Yusri Erdhan menjawabnya dengan ragu-ragu. Suara seorang perempuan berada di talian.

“Sayangg.... you kat mana?” rengekan suara manja Amy menusuk telinganya. Yusri Erdhan menarik nafas panjang, matanya memerhatikan serombongan pelancong yang baru memasuki kafe di depannya. Belum ada jawapan yang keluar dari mulutnya.

“Yangg.. kenapa you ni, I kat banglo family you ni, kenapa you tak datang sini,” tutur Amy dengan lembut.

“I ada kat luar. Ada apa?” Nada suara Yusri Erdhan mendatar.

You masih marah I ke? Takkanlah you tak nak bagi I peluang langsung. Sekarang ni pun parents kita sedang membincangkan persiapan perkahwinan kita,” tutur Amy dengan yakin.

“Dengar sini Amy, kan I dah kata pertunangan kita akan diputuskan dan I akan maklumkan hal ini dengan parents kita secepatnya nanti. I nak you tolong beri kerjasama dalam hal ini. Anggap saja kita tidak ada jodoh. Lagipun takkan kejadian tempoh hari yang you lakukan dengan hati yang terpaksa. Bersemangat dan romantik sekali I tengok you malam tu. Ciuman demi ciuman dengan pelukan yang seakan you tak nak lepaskan dari dakapan lelaki cina tu. I harap you bersikap jujur dengan lelaki itu. Tapi antara kita I minta maaf kerana I tidak ingin memberikan peluang kali kedua untuk perempuan seperti you,” khutbah Yusri Erdhan kepada Amy.

“Yusry!” jerit Amy.

“Betul nama saya memang Yusri,” balasnya seakan berlawak jenaka.

You memang tak patut, takkan itu pun awak nak cemburu. Lelaki itu hanya kawan I saja.. I sebenarnya terlebih minum malam tu,” jelas Amy dengan nada yang terdesak.

“Huh! Cemburu? Ini bukan pasal kes cemburu. Tapi kepercayaan terhadap seorang tunang yang seharusnya tau menjaga maruah diri. Seorang tunang yang seharusnya tau menjaga norma-norma budaya timur dan batas agama kita. Bukannya pasal cemburu yang I rasakan tetapi satu pengkhianatan dan malu dengan sikap murahan you. Pengkhianat macam you tak patut dimaafkan. I tak nak menjadi seorang lelaki yang tiada harga diri dan dayus. Sanggup pula you meneguk air syaitan tu pula.. Masya'Allah,” selar Yusri Erdhan tak habis-habis.

“Sayang.. maafkanlah I. Memang I bodoh kerana I terlalu mengikut hati muda I. Bukan bermaksud I mengkhianati cinta you.. I benar-benar sayangkan you.. please sayang..” rayu Amy tidak ingin mengalah.Amy tidak ingin kehilangan Yusri Erdhan. Barulah dia tahu bukan senang nak meraih cinta dari Yusri Erdhan kembali. Memang salahnya menerima pelawaan Jimmy. Dia mengenali Jimmy dulu sebelum menjadi tunangan Yusri Erdhan. Perkenalan mereka bermula dari sebuah kelab. Namun dia lebih menyayangi lelaki cina itu sebagai seorang teman. Dalam erti kata lain tempat persinggahan untuk menghilangkan kebosanan dan kesepiannya. Tetapi dia tidak inginkan hubungan yang ada komitmen sepertimana hubungan yang terjalin antara dia dengan Yusri Erdhan. 

Im sorry Amy, kita tak mungkin menjadi suami isteri tapi I bersedia menjadi teman you... itu saja,” ujar Yusri mendatar. Amy diam. Menimbang-nimbang kata-kata lelaki itu. Dia masih ingin Yusri Erdhan menerimanya kembali.

“Kalau nabi boleh maafkan umatnya takkan you sebagai manusia biasa tak boleh maafkan I, “umpan Amy lagi. Yusri Erdhan ketawa mendengarnya. Fikirannya terus dikerah membidas kembali ucapan Amy.

“Realitinya I bukan nabi, I adalah manusia biasa yang banyak kelemahannya Prinsip hidup setiap manusia itu berbeza-beza. I berpegang pada satu prinsip yang I telah pun jelaskan tadi. Sekali I mengatakannya itu adalah keputusan muktamad I.”

“Yangg.. jangan buat I macam ni, apa kata parents kita kalau you bertindak begini.”

“Telinga I dah cukup panas ni. I harap you dapat berfikir dengan fikiran yang jernih dan terbuka,” tutur Yusri Erdhan langsung mematikan taliannya. Yusri Erdhan tersenyum puas dapat meluahkan isi hatinya yang berbekam luka. Pasti sakit hati Amy sepertimana dia sakit hati melihat adegan panas Amy yang sudah terlanjur dicintainya.

SAMPAI di hadapan rumah teres dua tingkat itu, Yasmin berasa lega. Rumah gelap gelita itu dipandangnya dengan wajah yang kesakitan, kepalanya masih terasa sakit. Matanya berpinar-pinar. Farina memapah Yasmin keluar dari kereta itu. Sementara Aidil memerhatikan sikap perhatian tunangnya yang terus membantu gadis malang itu. Nasib baik ada kunci pendua yang sengaja ditanam di dalam pasu bunga jika ada antara mereka tertinggal atau kehilangan kunci pintu itu. 

Yasmin mengambil senduk penggali tanah lalu terus menggali sehingga kelihatan kunci pendua di dalam plastik. Sebungkus plastik jernih yang berisi kunci rumah itu diambilnya. Farina menjeling ke arah Aidil yang kelihatan tersenyum sendiri melihat aksi Yasmin. Farina menggeleng kepala kepada Aidil dan bibirnya memberikan isyarat diam. Ketika dia ingin berdiri kembali kepalanya terhantuk rak kasut di hadapannya.

“Aduh sakitnya!” jerit Yasmin mengadu kesakitan. Bersiut-siut mulutnya menahan kesakitan. Aidil dan Farina terkejut melihat Yasmin terjatuh terjelupuk di atas lantai. Segera Farina memapah Yasmin untuk berdiri kembali. Farina mengambil bungkusan plastik yang berisi kunci diserahkan kepada Aidil. Yasmin masih menahan kesakitan di mukanya. Pedihnya hanya dia yang merasainya. Farina memapahnya masuk ke dalam rumah. 

Aidil juga turut masuk ke dalam rumah. Matanya sempat melihat-lihat sekeliling ruang tamu itu. Hatinya berkata-kata takkan Yasmin tinggal seorang diri di rumah dua tingkat ini tiba-tiba saja dia teringatkan Yusri Erdhan. Cepat-cepat dia mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam poket seluar. Hampir dua jam yang lalu dia sengaja mematikan telefon bimbitnya ketika mereka berada di dalam balai polis. Setelah dihidupkan kembali mulutnya ternganga melihat ada 30 nombor Yusri Erdhan yang tidak dijawabnya dan 6 pesanan suara.

Shit! macam mana aku boleh lupa hal Yusri ni,” ucap Aidil memarahi dirinya sendiri. Pandangan dua orang perempuan itu berkalih kepada Aidil yang masih berdiri di muka pintu. Belum sempat dia mendail kembali nombor Yusri Erdhan telefon bimbitnya berdering. Pantas dia menjawabnya

“Yusri!”

“Mana kau ni hilang, punyalah lama aku cari kau, apasal kau off handphone? Kau pergi mana?” soal Yusri Erdhan ada nada kesal.

Sorry.. sorry ada hal emergency tadi nantilah aku ceritakan,” jawab Aidil

“Ha! macam mana dengan rumah tu apa agent tu kata? Kalau boleh aku nak pindah secepatnya. Bosan juga duduk dalam bilik hotel lama-lama ni,” tutur Yusri Erdhan.

“Aku minta maaflah Yusri agent tu dah dapat orang. Nanti esok aku akan jumpa lagi. Ada banyak lagi rumah sewa yang kosong tinggal pilih je,” balas Aidil. Yasmin berdehem beberapa kali mengejutkan Farina yang asyik mendengar perbualan Aidil. Dilihatnya kaca mata Yasmin retak walaupun pun kantanya belum jatuh berderai. Terbias warna merah di matanya. Yasmin masih memanggung kepala dengan tangannya 

“Besok awak kena pergi ke klinik, nanti tambah membengkak dan makin lebam dibuatnya. Bahaya tau kes mata awak ni. Takut ada kecederaan yang serius pula. Lagipun rehat je kat rumah untuk beberapa hari. Awak masih dalam keadaan terkejut lagi,” nasihat Farina seolah-olah dia seorang doktor yang tahu ilmu perubatan.

“Insya'Allah, esok saya akan ke klinik,” jawab Yasmin dengan perlahan-lahan.

“Cik Yasmin tinggal seorang diri di rumah ni?”soal Farina. Sementara Aidil masih dalam talian bercakap dengan Yusri Erdhan kemudian suara ketawa Aidil kedengaran diendahkannya.

“Ada 3 orang yang ikut sewa dalam rumah ni, tapi sekarang mereka masih sibuk dengan kerja agaknya. Kerja mereka tidak tentu masa,” beritahu Yasmin. Farina mengangguk kepala mendengarnya. Melihat Aidil sudah habis berbual dengan Yusri Erdhan di telefon bimbit. Farina segera bergerak dari tempat duduknya. Aidil segera mendekati tunangnya.

“Kalau tak ada apa-apa kami balik dulu,” kata Aidil kepada Yasmin. Farina juga mengiyakan kata-kata tunangnya. Baru kali ini Yasmin memberikan senyuman sejak dari tadi dia asyik sedih dan menangis. 

“Terima kasih banyak-banyak kerana sudi membantu saya tadi. Kalau tidak saya pun tak tahu nak kata apa akan jadi pada saya tadi,” tutur Yasmin dengan lemah.

“Sama-sama Yasmin. Itukan sudah lumrah kita sesama insan wajib saling membantu.” Yasmin tersenyum lagi kepada mereka.

“Hmm.. saya minta maaf sebab tadi saya ada terdengar perbualan awak di telefon yang awak sedang mencari rumah untuk disewa.” Aidil mengerut dahi memandang Yasmin. 

“Iya memang betul kawan saya yang sedang mencari rumah untuk disewa tetapi yang dah lengkap kemudahannya,” jelas Aidil.

“Sebenarnya rumah di sebelah juga pemiliknya sedang mencari orang untuk disewakan. Fully furnished juga. Kalau kawan awak tak keberatan saya boleh bagi nombor pemilik rumah tu,” beritahu Yasmin yang memang mengenali pemilik rumah jiran sebelah yang baru saja berpindah tiga bulan yang lalu ke Sabah. Aidil senang mendengarnya dan cepat-cepat mengangguk kepala. 

“Memang kawan saya terdesak sangat nak pindah rumah.”
 
“Kalau begitu saya akan berikan nombor pemilik rumah tu,” kata Yasmin segera mencatatkan nombor rumah.

[P/S: Mohon maaf sebanyak 10 bab ini sahaja yang saya boleh letak pada blog ini. Ingin mengetahui kisah selanjutnya, kenalah dapatkan novel Kuseru Nur Kasih ini yang sudah beredar di pasaran sejak Jun 2010. Novel ini agak laris di pasaran. Sering habis stok dan pengedar pula sering kali lambat reload. Adalah lebih mudah membeli di bookcafe.com.my kerana mudah ada diskaun.]

No comments:

Post a Comment