Tuesday, April 19, 2011

Jangan Sebut Namaku~Bab 4

4
Hari Ketiga


MENDENGAR bunyi alarm dari jam tangannya yang sengaja ditetapkan demikian Luqman terjaga dari tidurnya. Dia segera duduk dari perbaringannya sambil menggosok-gosok sepasang matanya. Hanya duduk diam tanpa sepatah kata diluahkan. Angin dingin terasa mengembun sekujur tubuhnya hanya memeluk diri kesejukan. Kemudian dia berkalih ke arah Joseph yang masih tidur berdengkur dengan selimut membungkus tubuh. Dia melihat jam tangannya sudah masuk waktu subuh. Segera dia membuka zip khemahnya lalu membongkok keluar masih kelam dan disergap gelap subuh. Hanya angin dingin subuh menyusup ke celah-sela-ceruk tubuhnya tidak beralah dengan dugaan. Kelihatan Profesor Ansari juga baru keluar dari perut khemah itu.

“Baru bangun Luqman?” soal Profesor Ansari meregangkan otot-otot badannya seketika.

“Baru sahaja Profesor,” balasnya masih tidak puas menggeliat.

“Saya belum solat lagi ni. Jom kita ke tepi sungai sana ambil air wuduk.” Luqman mengangguk kepala dan berjalan beriringan dengan Profesor Ansari. 
 
Setelah itu mereka solat berjemaah dengan pelajar yang lain. Ada yang masih dibungkus dengan kain selimut kalah dengan bisikan syaitan. Bertambah lagi dengan keadaan yang masih lagi gelap dan dingin. Kelihatan asap kabus menerawang kawasan itu. Menggigil mulut Luqman menahan kedinginan waktu itu. Mengalahkan alat penghawa dingin. Apa yang pasti udara yang dihirup sangat segar dan mulai terlukis nuansa kabus dan hutan rimba saling bersahabat.

Sambil menunggu rakan-rakan yang lain bangun Luqman membantu Profesor Ansari menyediakan sarapan. Mr Allen baru sahaja bangun menggeliat. Terasa sekujur badannya rasa sengal dan sakit-sakit. Belum pernah dia merasakan hal sedemikian. Mungkin juga sudah lama dia tidak melakukan aktiviti lasak itu. 
 
Sebenarnya pagi itu adalah tugas Isabella dan Engku Aleeyah menyediakan sarapan pagi. Namun melihat kedua-dua gadis itu belum lagi bangun dari tidur Profesor Ansari sedikit mengalah pagi itu. Dia mengajak Luqman menyediakan sarapan pagi. Kamarul dan Aizat mencari kayu api untuk membuat unggun api dan memasak. Keadaan yang masih buram suram dan dingin boleh membantu menurunkan suhu badan yang kedinginan dengan unggun api itu. 
 
Pagi itu mereka hanya merebus beberapa biji telur dan membakar sosej sebagai sarapan pagi. Botol mayonis, lada putih, sos cili sudah tersedia. Terpulang kepada selera masing-masing. Ada dua bungkus roti putih juga dihidangkan lengkap dengan air nescafe. Bau aroma minuman itu sudah cukup mengecur air liur yang menghidunya. Cukup menyelerakan untuk santapan di tengah hutan rimba.

Ambang subuh mengendur berlalu, menjemput kerdipan suria ingin menebar pesona surianya. Pelajar-pelajar mulai bangun dari tidur dan sibuk untuk membersihkan diri. Namun sesaat kemudian kedengaran jeritan pelajar perempuan dari satu sudut. Perasaan tenang disergap kejutan yang maha luar biasa. Indera terkawal terhantuk dek bunyi bingitan. Semua terkejut dan berlarian mendapatkan Miranda yang tercegat di belakang khemahnya. 
 
“Kenapa Miranda?” Profesor Ansari bertanya. Namun setelah diamati punca tatapan gadis itu tidak berkalih, mereka semua jelas tampak terkejut melihat bangkai binatang ada di belakang khemah itu. 
 
Masing-masing menutup mulut tidak tahan menghirup bau busuk itu. Tiba-tiba sahaja bau hanyir menerawang kasar menyapa deria hidu mereka. Langau dan burung-burung hutan mulai menghurung bangkai kambing hitam itu. Isi perutnya terkeluar bagai sengaja disayat demikian. Sungguh kejam perbuatan itu. Kepalanya dipenggal dan terpisah dari jasadnya. Tanduk kambing hitam itu sepanjang tangan.

Semua pelajar yang berkerumun waktu itu hanya mampu mengeluh dan membuat andaian sendiri. Evelyne berlari ke satu sudut memuntahkan isi dalam perut. Kamala membantu rakannya dengan menggosok-gosok belakang badannya. Malah selera Susan dan Selvi yang begitu meluap-luap ingin menikmati sarapan terus tercantas. Sepasang matanya mengecam renek ketakutan jelas terzahir pada wajah teman-temannya. 
 
“Kamarul.. Aizat.. awak berdua tolong buang bangkai binatang ini jauh dari sini. Mungkin bangkai ini dibawa oleh binatang liar malam tadi. Tak ada apa-apa.. yang penting kita semua selamat.” Profesor Ansari meminta semua pelajar di situ bersurai dan bersiap sedia untuk aktiviti seterusnya.

This is very strange Profesor.” Ucapan Mr Allen membuat lelaki itu berpaling kembali. 
 
Luqman yang masih berada di situ jelas menangkap bunyi ucapan lelaki Inggeris itu dan wajah Profesor Ansari tergambar resah menangkap sesuatu yang tidak kena dengan tempat itu.

“Mr Allen tahu apa-apa tentang ini?” Profesor Ansari bertanya tanpa menyedari dia masih berada di situ. Bunyi kera-burung-alam saling bersahutan mulai saling berhubung bagaikan Kalawari berjiwa paranormal menyambut pagi itu. Lelaki bermata biru itu berdiri bercekak pinggang. Ada riak gelisah pada wajahnya.

“Saya percaya dan yakin di hutan ini memang ada binatang liar. Tetapi saya tidak fikir ada binatang liar di hutan ini yang bawa bangkai sampai ke sini tanpa mengganggu ketenteraman kita. Saya juga tidak fikir tumpukan batu-batu itu adalah kerja haiwan. Ini cukup aneh Profesor,” luah Mr Allen mengelus-ngelus dagunya sambil berfikir sejenak.

Engku Aleeyah baru saja keluar dari khemahnya sudah lengkap berpakaian kemas. Sementara Isabella baru sahaja masuk ke dalam khemah untuk bersiap sedia sudah melontarkan senyuman kepadanya. Melihat wajah putih gebu Isabella bagai subuh berlalu berpesan menyintai kepada insan yang berhak untuknya dicintai. Bahawa embun pagi menitis ke kulit tubuhnya bagai kasih yang semakin menumbuh-cambah-akar untuk gadis itu. Kenapa sahaja dia tidak memilih Engku Aleeyah yang jelas seagama dengannya. Namun mentari masih lagi tersipu malu perlahan-lahan menguap surianya ke seluruh alam. Dan dia hanya bisa berbicara tubuh semampu yang bisa sebelum mengakhiri pengajian di tahun terakhirnya.

“Maksud awak ada orang lain di dalam hutan?”

You tell me.” Mr Allen masih bersoal jawab dengan lelaki tempatan itu.

Profesor Ansari sekadar menjongket bahu. Perbualan kedua-dua lelaki itu ditangkap dengan jelas oleh Luqman dan Engku Aleeyah. Langkah kedua-dua pelajar itu menapak sedikit menghampiri mereka dan barulah Profesor Ansari menyedarinya.

“Ermm.. mungkin juga pemburu liar yang buat kerja ni dengan tujuan menakut-nakutkan kita. Mungkin mereka tidak ingin kita mengetahui tentang kegiatan haram mereka,” rumus Luqman. 
 
Mr Allen mengangguk-angguk pantas setuju dengan jawapannya. Ada kelogikannya yang boleh dimuat pakai..

“Boleh jadi begitu.” Slanga lelaki berkulit putih itu masih jelas kedengaran lagi. 
 
Lantas Engku Aleeyah merapati tubuh Luqman sambil memeluk diri kedinginan. Sedangkan dia sudah tidak melihat kelibat Isabella, mungkin juga sedang mencari teman baiknya Nadrah. 
 
“Tetapi Profesor macam mana kalau ini kerja puaka dalam hutan ini?” 
 
“Astaghfirullahalazim. Kalau bercakap itu biar logik sikit Aleeyah,” tegur Profesor Ansari menggeleng kepala tidak berkenan.

“Saya tetap percaya ini bukan kerja manusia. Ini mesti kerja...” Engku Aleeyah mencebik bibir, hanya menggantungkan ayatnya. 
 
“Hantu.. iblis.. jembalang.” Profesor Ansari menyebut satu persatu membuat Engku Aleeyah menelan air liur ketakutan. 
 
Sedangkan Luqman sekadar tersenyum dengan arah perbualan itu semakin berkembang-rinci-panjang. Semakin dilayan topik itu membuat resah gelisah menghurung jiwa gadis itu. 
 
“Tapi I percaya ini kerja manusia. Manusia yang mengamalkan sihir kuno,” sampuk Isabella membuat mereka semua merenung gelisah memandang ke arahnya.

Nonsence!” balas Mr Allen menggeleng kepala lalu beredar dari situ. Lelaki itu tidak ingin mendengar rumusan demi rumusan yang semakin pelik pada fikirannya.

“Apa awak merepek ini Isabella.” Profesor Ansari tidak suka mendengar jawapan yang keluar dari mulut pelajar junior yang mengambil Sarjana Psikologi itu.

“Jangan-jangan dia ini yang sengaja buang bangkai itu kat sini dan reka cerita tentang sihir. Tak mustahil profesor,” tuduh Engku Aleeyah lagi. 
 
Paras riak Isabella tegang dan bergaris sebal seiring mengertap gigi geram mendengar tuduhan tidak berasas itu dari Engku Aleeyah. Melampau! Engku Aleeyah seenak hati menuduhnya hanya kerana membenci dirinya.

“Kalau memang aku ada kekuatan dan sihir boleh tangkap binatang ni. Orang pertama yang akan menjadi sasaran aku adalah kau.” Isabella menuding jari ke wajah Engku Aleeyah, memasang wajah bengang jelas nada suaranya tegas tidak menyukai tutur bicara Engku Aleeyah. 
 
Lantas Luqman berdehem sekali dua hanya mengail tumpuan kedua gadis itu dengan berbicara bisu bahawa Profesor Ansari masih berada di antara mereka. Engku Aleeyah mencemik wajah. Isabella mendengus marah. Lantas Engku Aleeyah berjalan merapati ke tubuh Luqman lalu memaut erat lengan lelaki itu. 
 
Sedangkan dia hanya menggeleng kepala sudah menarik nafas dalam sekali lagi menjadi mangsa di antara kedua gadis itu. Namun dia disergap tidak enak dengan tatapan Isabella mencerun tajam tetap menusuk pandang kepada Engku Aleeyah. Sejujurnya dia kurang suka dengan cara Engku Aleeyah saling bermain psikologi semata-mata ingin menyakitkan hati gadis itu.

Isabella berjalan menghampiri mereka lalu mulut gadis itu terkumat-kamit bagai membaca mantera. Jelaslah Engku Aleeyah semakin merapati ke tubuhnya resah dengan tindakan aneh Isabella. 
 
“Heh! Perempuan pelik apa awak nak buat?” tengking Engku Aleeyah.

“Expecto Patronum! Expelliarmus!” Isabella mengangkat tangannya bagai mengangkat tongkat sakti dihunus kepada tubuh Engku Aleeyah. Memasang wajah gadis sihir dengan mulut yang jelas masih terkumat-kamit lantas menyeringai sesaat lalu berjalan menghampiri gadis itu dengan sepasang mata mencerun seram.

Seiring dengan itu Engku Aleeyah dirusuh takut sudah percaya dia telah diperlakukan secara ilmu ghaib sudah menceceh yang bukan-bukan. Meminta Luqman agar gadis itu menarik kembali ucapannya. 
 
“Besok kau bangun dari tidur hanya bertemankan unggas-unggas dan kera hutan ini seorang diri. Jangan terkejut kalau aku dah pun jampi kau jadi puteri Kalawari menunggu putera kera datang melamar kau nanti,” gertak Isabella lalu berjalan sengaja menyenggol bahu Engku Aleeyah tidak terkata-kata.

Dan Luqman yang masih berada di sisi Engku Aleeyah hanya memerhati gadis itu sudah menggosok-gosok seluruh tubuhnya ketakutan. Lucu dia melihat Engku Aleeyah jelas mempercayai ucapan Isabella, apatah lagi mendengar mantera yang baru diucapkan.

“Sudahlah Al, Bella tu hanya bergurau. Kau nak takut begini kenapa?” Dia kembali berjalan ingin meninggalkan gadis itu.

“Habis tu dia jampi-jampi dengan bahasa pelik tu.. apa ke halnya. Awak tak dengar ke? Bella tu dah sihir saya. Matilah kalau betul-betul saya ditinggal dalam hutan berpuaka ni.” Resah-cemas-panik pada wajah Engku Aleeyah membuatnya semakin tersengih gelihati.

“Kau ni Al. Bodoh-bodoh lucu tahu tak. Expecto Patronum! Expelliarmus! Itu kan mantera yang digunakan dalam filem Harry Porter.” Dia tersenyum gelihati lalu berjalan meninggalkan gadis itu termangu sendiri.

“Huh! Harry Porter.”Engku Aleeyah menghentak kaki sebal dengan gurauan Isabella jelas sudah berjaya mengenakannya. 
 
'Siap awak Bella.' Bencinya semakin melimpah ruap dengan gadis bermata runcing itu.

Luqman mengeleng kepala lucu dengan reaksi Engku Aleeyah sebentar tadi lalu dia segera mendapatkan Isabella yang sedang berbual-bual dengan Nadrah.

“Abang hanya hendak Bella jangan lagi bercakap tentang hal yang bukan-bukan. Nanti kalau dengar dengan teman-teman lain kan tak elok. Daripada bersemangat menjadi lemah semangat pula. Lagipun abang minta janganlah dilayan sangat dengan sikap Al tu. Abang tahu kadang-kadang sikap Al tu geram juga tapi sebenarnya hati dia baik.” Dia sekadar ingin membuat gadis itu bersikap lebih menghormati pelajar yang lebih senior. Hurm.. penat juga melayan karenah keanak-anakan kedua gadis itu. 
 
“Bella.” Dia memberikan senyuman.

“Tapi Bella berkata yang benar bukan mereka-reka cerita.” Luqman berpeluk tubuh memandang serius wajah putih bersih gadis itu.

“Mana Bella tahu kalau semua tu kerja ahli sihir. Kenapa Bella begitu yakin?”

“Dari bukulah dan.. dan..” Ucapan Isabella tersekat di situ.

“Dan apa Bella?”Gadis itu mengeluh panjang

“Sebab ada ahli keluarga Bella juga ahli sihir. Pengamal ilmu sihir kuno.” Gadis itu menjelaskan dengan nada perlahan dan tergak-agak. Matanya berkelip-kelip bimbang ditertawakan. 
 
Luqman memandang wajah Isabella dengan tanda tanya. Segera lelaki itu melepaskan pelukan tangannya. Berfikir sejenak dan mengeluh kembali. Merenung kembali wajah itu dengan seulas senyuman yang membuat dia cukup tertawan. Ah! hati lelakinya cair seketika. Renungan mata itu yang membuat dia jatuh hati kepada gadis pemikir bebas itu.
**

SETELAH memastikan semua pelajar mengambil sarapan yang cukup baru Profesor Ansari memulakan perjalanan mereka. Dia tidak ingin ada pelajar yang akan jatuh pitam atau sakit kerana kekurangan tenaga. Semangat pagi itu haruslah setegar usung tombak tidak lelah menikam-redah-susur ke dada belantara. Seharusnya cekal menentang terik suria, menggurat jumlah jejak di rimba yang jelas bukan sedang beriadah ringan. Bukankah manfaatnya agar jiwa lebih menyintai alam hijau di sekitar dengan mengentalkan lagi semangat juang di dunia belantara penuh cabaran.

Mereka kembali meredah hutan itu pada hari kedua mereka berada di Hutan Kalawari. Jelas hutan itu mempunyai tarikan yang tersendiri dengan panorama mempesona. Melihat tumbuhan hijau menghiasi kawasan sekeliling memberikan penawar pada deria mata. Aktiviti lasak itu bukan sahaja sekadar menguji mental individu malah memberi pendedahan dan pengalaman realiti mengubah minda para pelajar agar lebih perspektif, prihatin dan berkeyakinan 
 
Isabella membisikkan sesuatu ke telinga Nadrah. Gadis itu mengeleng-geleng kepala mendengarnya seolah tidak berkenan dengan ucapan itu. Perilaku itu dilihat dengan sepasang matanya sebelum Isabella berpaling ke belakang dan sedang berjalan menghala ke arahnya. Dia menyambut senyuman gadis bertocang satu itu sedang berjalan menghampirinya. Seiring itu Joseph suda berjalan lebih laju seolah faham dengan kedatangan gadis itu yang ingin berjalan berduaan dengannya. 
 
Entah mengapa setiap kali Isabella menghampiri dirinya dia bagai peka dengan reaksi teman sekelilingnya. Jelas Ben dan Eric yang berada di barisan paling belakang hanya tersenyum-senyum dengan langkah sumbang Isabella hampir saja terkail dengan akar-akar pokok yang tumbuh meliar. Hanya dua langkah sahaja Isabella berada di sisinya, kaki Isabella sengaja disendeng oleh Shafiq. Isabella yang tidak dapat mengawal langkahnya itu hampir saja tersungkur namun sempat disambut oleh Luqman. 
 
Laju dia menyambut tubuh Isabella yang sudah didakapnya hampir tersungkur jatuh kalau tidak disambut. Sepasang mata runcing Isabella jelas terpana dengan tindakannnya hanya menjemput seulas senyum gadis itu malu-malu kucing. Isabella yang malu-malu dalam dakapan Luqman mengucapkan terima kasih kepada Luqman. Sebaik sahaja dia dan Isabella berdiri kemas, sesaaat Engku Aleeyah sudah di sisi mereka lalu menyentap tocang rambut Isabella dengan kasar. Raut paras Luqman tersentak dengan kejutan melihat tindakan biadap Engku Aleeyah. Isabella menjerit kesakitan.

“Eh! Al apa ni.” Luqman juga tidak berpuas hati dengan sikap Engku Aleeyah. Profesor Ansari dan Mr Allen sudah berpaling ke belakang. 
 
“Perempuan ni nak kena ajar biar tahu adab sopan sikit. Dia ingat dia tu tak ada agama suka-suka hati dia je nak berpelukan kat tengah-tengah hutan ni,” jerit Engku Aleeyah terus menunjal-nunjal badan Isabella 
sehingga tesungkur ke tanah. 
 
“Ada WWF kat tengah hutan ni bestnyer,” sampuk Shafiq menganggap pertengkaran itu satu gurauan. Semua pelajar lelaki mulai bersorak suka melihat adegan tidak berbayar itu.

“Cukup Al!” jerit Luqman lalu memapah Isabella bangkit dari tanah itu. Jelas bertambah sakit hati Engku Aleeyah melihat dia membela Isabella.

“Apa semua ni!” jerit Profesor Ansari marah sudah berjalan ke arah mereka. Mr Allen menggeleng-geleng kepala melihat sikap keanak-anakan yang sengaja dicetuskan oleh Engku Aleeyah. Kemarahan Profesor Ansari membuat semua pelajar terdiam. Lengan Engku Aleeyah ditarik dengan kasar oleh Profesor Ansari agar tidak berhadapan dengan Isabella.

“Ingat Aleeyah awak tu harus mencontohi sikap yang baik kepada pelajar junior. Kalau awak terus bersikap begini saya tidak akan teragak-agak tinggalkan awak di hutan ini. Biar bapa beruk yang datang selamatkan awak.. faham!” 
 
Deraian ketawa, siulan nakal dan bunyi beruk pelajar-pelajar kumpulan itu membuat Engku Aleeyah bertambah kesal dan kecewa. Sherry dan Miranda menguis lengan Engku Aleeyah agar menurut kata Profesor Ansari. Dan dia yang menjadi pemerhati Engku Aleeyah dan teman-temannya hanya menarik nafas dalam-dalam. Isabella yang masih berdiri di belakangnya menyembunyikan separuh badannya. Dilihatnya gadis itu sedang mengajuk Engku Aleeyah yang sudah berjalan ke hadapan. Ah! Dua kali lima sama sahaja. Dia mengeluh bosan.

No comments:

Post a Comment