Alhamdulillah akhirnya wujud lagi sebuah novel kisah cinta islamik yang akan diterbitkan oleh PTS Litera. Terima kasih Pn Asma dan Faiizah yg telah memberikan peluang ini.
Novel ini bakal berada di pasaran selewatnya akhir bulan Jun'10. Doakan novel ini mendapat perhatian di hati pembaca.
Sinopsis:~
Kecelaruan panik atau 'panic disorders' adalah satu penyakit yang dikaitkan dengan masalah kejiwaan. Namun tidak bermaksud itu temasuk penyakit gila atau mental yang kronik. Pada masa tertentu rasa panik, gelisah dan cemas berlebihan sering menghambat rutin kehidupannya.
Dari sekolah rendah sehingga menjejak kaki ke menara gading dia menjadi kebanggaan keluarga dan sahabat handainya. Mempunyai kerjaya tetap di kota metropolitan, sahabat karib yang masih setia bersamanya dan keluarga penyayang dan prihatin.
Namun dia seorang gadis muslimah yang cukup pemalu, pendiam, rendah diri dan penampilannya sering mendapat kritikan. Apatah lagi kaca mata berbingkai tebal menyembunyikan sepasang mata redup yang sering merunduk. Yasmin adalah seorang gadis yang cukup bermasalah ketika berada di dunia sosial. Sering gagal menyesuaikan diri di dalam kelompok tertentu. Malah banyak kali memalukan dirinya. Rasa cemas dan gugup yang berlebihan tidak kena pada tempatnya.
Yasmin ingin sekali menjadi seperti kebanyakan gadis zaman ini. Cantik dan berkeyakinan. Bijak bergaul meskipun dengan batas tertentu. Namun dia sering memencilkan diri kerana semua sikap dan perasaan negatif itu sudah sebati di dalam dirinya. Lalu muncul anak Adam menjentik hati gadisnya. Seseorang yang sangat mustahil berada di sisinya. Seseorang yang sangat jauh darjat dirinya. Seseorang yang sangat popular di dunia perniagaan. Namun Tuhan itu lebih berkuasa menentukan jalan hidupnya apatah lagi jodoh pertemuan adalah milik-Nya.
Bagaimanakah Yasmin dapat merealisasikan impiannya itu? Novel ini akan memaparkan konflik percintaan, masyarakat dan erti sebuah persahabatan di samping mesej keagamaan dan kemanusiaan yang boleh dijadikan teladan.
Blurb kaver:~
Ya Rabbi. Benarkah cinta sesama insan itu mensyaratkan kesempurnaan fizikal. Kesempurnaan seorang Hawa. Kesempurnaan sifat mulia. Bagaikan Khadijah di mata Rasullullah. Ibarat kasih sayang Fatimah Az Zaara. Berikanlah aku petunjuk-Mu. Suburkanlah jua cintaku pada-Mu. Abadikanlah kasih-Mu dijiwaku.
Yasmin memejam kelopak matanya. Waktu malam jiwa sensitifnya bagai ditiup dengan kata-kata azimat untuk meluahkan segala rahsia terpendam. Bahasa puitis islamik yang kadang kala sukar difahami. Berat untuk ditafsirkan. Pengertian yang hanya menjadi milik empunya diri. Persoalan yang sesiapa pun tidak pasti. Tentang kemelut yang sedang dihadapinya.
Yasmin membaca ayat-ayat suci Al-Quran itu dengan mengalunkan suara yang merdu. Sayup-sayup suaranya menerpa terbang ke ruangan balkoni tingkat atas Yusri Erdhan. Lelaki itu terdiam sejenak ketika dia sedang duduk berbaring di kerusi rotan panjang. Cuping telinganya menangkap alunan suara merdu itu. Hatinya menjadi sejuk dan tenang mendengar bacaan ayat-ayat itu berkumandang.
No comments:
Post a Comment