Tuesday, April 19, 2011

Jangan Sebut Namaku~Bab 5

5
Masih hari ketiga


DADA langit yang menyimpan misteri alam hanya berpundakkan kelam dengan riba malam jelas buram lagi hening. Malam yang sekadar menjadi penjara untuk tetamu Hutan Kalawari hanya bisa berkomunikasi sesama mereka. Hanya unggun api yang membakar tinggi menjadi kekuatan hawa malam kian berkabut dingin. Hanya letusan kecil dek kayu-kayu ranting membakar lebih merah kuning menjadi lampu alam. Jiwa meledak persis bara unggun api membakar arang hanya menyeru kunang-kunang malam menjadi perhatian deria mata. 
 
Malam itu juga Isabella berkira-kira untuk berjumpa terus dengan Profesor Ansari mengenai hasratnya. Dia sudah tidak tahan sebumbung khemah dengan Engku Aleeyah semakin menguji kesabarannya. Hanya dengan mengenakan baju T dan seluar treak sukan, setelah selesai makan malam dia melihat Profesor Ansari mengajak pelajar yang lain menunaikan solat isyak. Niatnya terbejat merengkap masanya belum sesuai untuknya mengganggu lelaki berbangsa Melayu Brunei itu. Isabella terus duduk di hadapan unggun api sambil mengambil wap panas agar kedinginan yang dirasainya berkurangan.

Jengkel dia melihat kumpulan Engku Aleeyah di sebelah sana terus bergurau senda sambil ketawa terkekeh-kekeh dengan Aizat, Kamarul, Haziq dan Shafiq. Pelajar-pelajar lelaki itu juga sama dan sekepala dengan gadis angkuh itu. Sering membuat onar dengannya, hanya sebal menjadi tamu di hati.

“Gatal.” Getusnya dalam hati. Kemudian sepasang matanya berkalih di sebelah kumpulan junior lagi satu. Mereka sedang berbual-bual sesama sendiri. Mimik wajah mereka begitu serius seperti membincangkan sesuatu hal yang serius. 
 
'Gossip girl'. Malas dia ambil tahu apa masalah mereka.

Riak parasnya bertandan dahi kerut begitu sebal lagi kesal dengan sikap bongkak Engku Aleeyah. Perasaannya bagai dicucuh ranting kayu bersubahat menjadi bara unggun di tengah hutan. Kayu kering di tangannya dikuis-kuis di atas tanah dengan pandangan kosong namun membawa hati yang berat. Kalau bukan kerana Luqman dan lagenda Hutan Kalawari itu yang membawanya kemari sudah tentu dia tidak ingin mengikuti perkhemahan itu. 
 
'Persetan dengan kau Aleeyah. Kau ingat besar sangat ke diri kau itu. Andai sahaja aku mempunyai kuasa sihir sudah pasti kau yang akan menjadi mangsa aku paling malang.' Hatinya terus bermonolog meluah rasa sakit hati yang kian bernanah berat. 
 
Tiba-tiba bahunya disapa dengan lembut. Isabella menoleh ke kiri. Kelihatan wajah manis Nadrah mengenakan pakaian serupa dengannya sedang membawa dua mug berisi minuman panas. Isabella menyambutnya dengan satu senyuman sebaik sahaja mug yang satu lagi bertukar tangan.

Thanks Nad.”

“You are welcome.”

“Kau sedang fikir apa?” soal Nadrah kemudian menghirup minuman panas itu. Isabella menghidu bau aroma coklat panas itu. Air liurnya terangsang dengan aroma harum itu lalu perlahan-lahan dihirupnya. Nadrah tahu sahaja kalau dia penggemar cokelat nombor satu. Bukankah cinta ada senikmat kelazatan cokelat. Diratah-kunyah-telan rasa cokelat tidak pernah membuat indera bosan untuk terus memilikinya. 
 
“Aku ingat lepas ini henda jumpa Profesorlah,” beritahunya. 
 
Nadrah berkalih ke arahnya dengan tandan dahi berkerut inginkan penjelasan. Mug di tangan digenggam erat mencari kehangatan malam yang kian menerawang dinginnya. 
 
“Ada apa?” soal Nadrah tentu sahaja ingin tahu.

“Aku ingat minta tukar tempat ke khemah kau. Harap-harap profesor setuju. Kalau tidak dapat juga aku sendiri tak tahu macam mana hendak bertahan selama beberapa hari lagi dengan beruk betina tu.” Sepasang mata Isabella terus menatap tajam ke arah Engku Aleeyah yang terus ketawa terkekeh-kekeh dengan ahli kumpulannya. Nadrah juga turut sama memerhati meraka. Ada satu keluhan yang lahir dari mulutnya. 
 
“Tak boleh ke kau berdua tu berdamai, bermaafan dan berteman,” usul Nadrah. 
 
Dia merengus kasar menidakkan cadangan Nadrah. Baginya untuk bermaafan mungkin boleh lagi dipertimbangkan. Namun untuk berteman dengan gadis itu. Huh! Bagai mencari satu keajaiban di dunia ini yang mustahil untuk dilasanakan. Entah mengapa kebenciannya dengan gadis itu semakin melimpah ruah bagai air bah yang hanya akan membenam akal warasnya. 
 
“Aku sanggup mati daripada lakukan semua itu. Bukan aku yang cari pasal selama ini. Dia yang sengaja cari gara-gara dengan aku. Salahkah aku mendekati Luqman. Lagipun lelaki itu belum menjadi milik siapa-siapa, apalagi dengan beruk betina itu. Lainlah kalau memang mereka berdua tu pasangan kekasih. Tetapi naluri aku cukup yakin Luqman memang menaruh hati kat aku lebih dari dia.” Isabella begitu yakin dengan ucapannya. Sedangkan Nadrah hanya menggeleng-geleng kepala sejurus menghela nafas panjang yang bisa diraih sepasang telinganya.

“Bella.. aku tak mau kau kecewa nanti. Jangan terlalu yakin dengan naluri sendiri. Kelak memakan diri kau juga. Lagi satu aku tak suka dengar kau bercakap tentang sihir. Sudah-sudahlah tu Bella. Kau tak tahu dunia sihir tu macam apa. Walaupun kau tak ada pegangan agama tapi sekurang-kurangnya kau dapat menilai sendiri lebih keburukannya kalau terlalu percayakan amalan sihir,” tegur Nadrah. Wajah gadis itu jelas tidak suka dengan pandangannya terhadap dunia sihir. Nadrah mengalihkan pandangannya ke arah lain.

“Kenapa kau takut sihir akan memakan kau nanti?” Isabella menghadiahkan senyuman pahit. Bagai melihat ada renek ketakutan pada wajah teman baiknya. 
 
Sesaat kemudian dia melihat Profesor Ansari baru masuk ke dalam khemahnya. Mug di tangannya diserah kembali kepada Nadrah. Meski teman baiknya itu menyambutnya dengan satu kerutan di dahi, hanya wajah datar itu yang menjadi jawapannya. Biarlah hasratnya untuk kali ini sampai kepada Profesor Ansari, meksipun dia cukup yakin permintaannya bagai satu kehendak mustahil untuk ditunaikan. Terserahlah! Paling penting dis sekadar mencuba.

“Bella?”

“Sekejap I nak jumpa profesor.” Dia terus mengatur langkah menuju ke khemah lelaki itu. Jelingannya sempat singgah kepada kumpulan 'beruk betina' itu. Nama samaran yang sering dilabelkan untuk Engku Aleeyah. Sampai di muka khemah Profesor Ansari dia berdehem-dehem beberapa kali. Membasah tekak dengan air liurnya. Memasang roman wajah manis berusaha melentur hati keras lelaki itu.

“Profesor.. profesor..” Isabella memanggil lelaki itu. Sesaat kemudian lelaki itu keluar dari perut khemah. Juga berpakaian seperti dirinya meskipun berlainan warna dan jenama.

“Ada apa Isabella?”

“Bella hendak cakap sikit dengan profesor pasal ingin bertukar tempat ke khemah Nadrah. Please Profesor,” jelas dan rayu Isabella ditambah dengan mimik wajah belas kasihan. Sepasang tangannya mencakup rayu agar lelaki itu melihat bahasa tubuhnya begitu terdesak amat inginkan privasi sepanjang mengikuti perkhemahan itu.
Profesor Ansari yang melutut di muka khemah itu terus bangkit dan berdiri tegak di hadapannya. Hanya keluhan dan pandangan sekilas lelaki itu bertamu ke wajahnya. Sesekali sepasang mata lelaki itu melirik kepada teman-teman membuat hal sendiri.

Lalu dia juga turut menjeling ke arah Engku Aleeyah yang kebetulan juga sedang membalas tatapannya. Wajah itu benar-benar membuatnya sebal tidak bisa menahan sesaat untuk melabuhkan pandangan. Kebenciannya sudah bisa menjadi sehebat lagenda Hutan Kalawari. Kenapa tidak sahaja gadis itu menjadi tumbal hutan ini. Ah! Jangan sampai benci ini menjadi satu kesumat yang menjadi parah tidak bisa dituntas dengan satu kemaafan. 
 
“Saya minta kamu berdua bermaafan dan cuba menjadi seperti teman-teman yang lain. Bukankah tujuan perkhemahan ini diadakan juga adalah untuk mengeratkan hubungan sesama pelajar junior dan senior. Kalau saya tunaikan permintaan kamu bererti saya gagal mencapai salah satu objektif program ini.” Luahan lelaki itu jelas menjadi satu jawapan atas kehendaknya.

Dia sekadar mengeluh dan tunduk kesal dengan keputusan itu. Sepasang tangannya berpeluk tubuh dan kakinya terus menguis-nguis tanah. Huh! Kenapa dia merasakan undian itu bagai satu ejekan penuh sinis untuk dirinya. Kenapa tidak sahaja digandingkan dengan sesiapa sahaja tetapi bukan gadis itu.

“Minta maaf awak berdua harus cari jalan keluar agar dapat membentuk hubungan yang lebih baik. Saya benar-benar serius dengan kata-kata saya Bella. Kamu berdua kena berdamai demi kebaikan bersama. 
Okey.” Profesor Ansari terus masuk ke dalam khemah tanpa ingin mendengar butir bicara dari Isabella.. 

Gadis itu berasa kecewa teramat sangat hanya mampu mencemik wajah tidak bisa melawan arahan lelaki itu. Dia menghembuskan segumpal rasa kecewa, sesekali lirikan matanya terus singgah.kepada kumpulan gadis menyebalkan itu. Dia masih belum berganjak dari muka khemah Profesor Ansari hanya terus menguis tanah dengan kaki dengan lebih kasar. Tindakannya jelas tempias dari emosinya saat itu. Nafasnya bagai diburu bara api yang membakar ranting-ranting kayu menjadi unggun api. Dia terus masuk ke dalam khemahnya tanpa mempedulikan panggilan Nadrah sebaik sahaja dia melintasi gadis itu. 
 
Namun saat dia ingin masuk ke dalam khemah, langkahnya terbejat lalu berkalih perlahan-lahan ke arah khemah Luqman yang jelas sedang menatapnya saat ini. Bibir melengkung manis dari Luqman untuk tatapan deria matanya. Sepasang mata lelaki itu diraihnya dengan pandangan sayu namun cukup kuat dilentur dek rasa sebal terhadap Engku Aleeyah. Hurm.. hanya untuk meraih kasih lelaki itu sahaja dia harus berhadapan dengan saingan nombor satunya.
**

DI dalam khemah Isabella terus duduk bersila menyambung pembacaannya tentang dunia sihir. Dia begitu takjub dengan kisah-kisah dan penyembahan yang terkandung di dalam buku itu. Keasyikannya membaca buku itu terganggu-celah-sentuh sebaik sahaja deria dengarnya menangkap sesuatu. Sepasang telinga itu meraih satu suara halus memanggil-manggil namanya. Suara itu begitu gemersik dan sayup-sayup berhembus ke deria dengarnya. Sepasang matanya memicing ke sudut khemah itu seiring tangannya menutup buku dengan penanda buku. Sepasang tangannya juga sudah menapak merangkap kaki sudah merangkak ingin keluar dari dalam khemah itu. Panggilan itu makin jelas sayup-sayup jauh sudah memukau perhatiannya.

Sampai di luar khemah suasana hening menembusi kegelapan malan. Meskipun saat itu masih rancak tawa senda dari teman-teman yang lain. Meskipun masih ada sahutan spesis haiwan malam menyambut bulan penuh. Namun inderanya bagai tertutup hanya meraih suara halus itu terus memukau perhatiannya. Suara itu bagai satu hidangan halwa telinga mengusik kalbunya. Entah hatinya sudah layu-lemah-longlai ditarik hebat oleh suara halus itu memanggilnya.

Sepasang kakinya sudah melangkah keluar terus mengekori suara yang terus memanggil-manggil namanya. Panggilan itu bagai memukau dirinya berjalan terus ingin meninggalkan lokasi perkhemahan itu. Sepasang kakinya terus menginjak ranting-ranting kayu dan semak belukar tanpa mengendahkan dia hampir meninggalkan khemah itu lebih jauh. Sayup-sayup suara halus membutakan mata hatinya yang kian menelan kesedarannya. Meski suara itu bersulam tawa seram dengan rayuan berbaur penuh muslihat. Tidak membuat ketakutan membuat sepasang kaki berundur lagi.

Sejenak kemudian tangannya disambar dengan kasar menyedarkan mata fikiranya. Sesaat juga dia tersentak bingung melihat sekelilingnya. Kepalanya melingas dengan laju keliru dengan hala tujunya. Lantas lelaki yang berada di sisinya saat itu menyeru namanya dengan lembut. Kesedarannya tersarung kembali masih mamai dengan keberadaannya. 
 
“Bella awak hendak ke mana?” soal Luqman juga kelihatan bingung sama seperti dirinya saat ini.

Isabella yang bagai tersedar dari mimpi terus tertoleh-toleh sekelilingnya. Begitu hening dalam gelap gelita tempat itu dengar tujuan yang tidak pasti mengapa dia boleh tidak sedar sudah ke tahap ini. Dia juga tidak mengerti atas tujuan apa dia berada di tempat itu. Kemudian memandang jauh ke tengah-tengah hutan yang gelap gelita. Menyeramkan dan sunyi sepi. Seolah-olah ngauman binatang liar di hujung hutan bagai menanti mangsanya. Bagaikan malam yang diseluh bulan mengembang saat itu menantikan tumbal bila-bila masa. Sedetik bulu tengkuknya merinding tinggi dengan kedinginan malam yang luar biasa.

“Tadi Bella macam dengar ada orang panggil.. di sebelah sana,” jelasnya teragak-agak. Tangannya diangkat perlahan sudah menuding jauh ke tengah hutan itu. Meskipun dia masih pelik kenapa keadaan bawah sedarnya masih bisa mengingati suara itu sedang bermain di telinganya. 
 
Lantas Luqman hanya memandang semak belukar itu yang ditumbuhi pokok-pokok gergasi dan lalang yang merimbun tinggi. Dia tidak melihat sesiapa pun di situ. Raut wajah lelaki itu berkalih menatap dia lagi menantikan penjelasan logik. 
 
“Siapa?”

Isabella menjadi bingung dengan situasi itu. Dia juga hairan tetapi segera melempar jauh setelah melihat lelaki yang dicintainya begitu mengambil berat dirinya.

“Entahlah mungkin Bella berkhayal agaknya.” Isabella tersenyum tipis tertunduk malu dengan renungan lelaki itu yang cukup membuai hati gadisnya.

“Jom kita balik ke sana. Abang juga ada hal hendak cakap sesuatu,” tutur lelaki itu sambil memeluk tubuh kedinginan. 
 
Isabella mengangguk kepala dan berjalan berduaan menghala ke unggun api yang sedang berlenggok marak dengan api merahnya. Dia hanya menurut sahaja saat Luqman mengajaknya duduk menghadap unggun api itu. Sepasang matanya jelas melihat jelingan dan tatapan pelajar-pelajar mulai mengundang senyum nakal. Dia suka dengan reaksi pandangan itu. Malah cukup memahaminya tetapi suka dengan andaian tidak pasti dari rakan-rakannya. Ada sedikit bangga menerpa jiwanya.

“Ada hal apa bang?” soal Isabella duduk di atas tanah sambil memeluk kepala lututnya. Hal yang sama dilakukan oleh Luqman dengan posisi bersila. Jaket yang disarung pada badan Luqman ditanggalkan lalu dikenakan pada tubuhnya tanpa menyarung sepenuhnya. Perhatian Luqman menambahkan lagi rasa kasih yang sudah terbenih. Tindakan Luqman begitu romantik di mata hati gadisnya. Ah! Dengan alasan inilah dia jatuh cinta dengan sikap Luqman yang jelas seorang lelaki yang bertentangan dengan pegangan hidup mereka.
“Abang nak Bella berubah sikap. Membuka lembaran baru, matang dalam menangani sebarang masalah dan belajar untuk mengawal diri sendiri,” tutur Luqman dengan sepasang mata di halakan kepada unggun api.
Isabella tersenyum pahit ditelan dengan payah. Sepasang matanya berkalih ke arah Luqman. Sesaat mata mereka bertatapan. Tajam dan menusuk kalbu. Kala dalam kebisuan untuk seminit itu, hanya letusan api dan kayu-katu menjadi halwa telinga mereka. Meskipun ada bunyi-bunyi alam pelik menjadi halwa deria dengar tidak pasti. Tatapan itu membawa satu persoalan yang diluahkan agar mengunyah begitu sahaja mengambil nutirisi baik dijadikan sempadan. Saat itu dia hampir sedar bahawa arus kehidupan itu memang sukar diduga. Namun dalam satu sisi lain seolah-olah memintanya untuk mengikhlaskan sahaja tentang hal Engku Aleeyah. Hanya pada satu sisi lagi begitu kuat membentengkan kehendak itu menjadi berlawanan.

“Abang maksudkan beruk betina tu ke? Kalau setakat hendak buka lembaran baru demi untuk beruk itu.. no way.” Ah! Lancang sekali mulutnya mengikut nafsu, sedangkan hatinya berkata lain.

Sepasang matanya menangkap reaksi Luqman menggeleng kepala malah tersenyum sendiri. 
 
“Baiklah.. abang hanya mampu memberi nasihat yang membina. Sekadar satu pandangan dari sudut positif. Terpulang kepada empunya diri. Abang tidak berhak memaksa Bella apatah lagi mengubah prinsip seseorang,” jelas Luqman dengan nafas yang jelas kesal terluah dek sikapnya. 
 
Isabella memejam sepasang kelopak mata runcingnya memujuk hati yang masih kecewa dengan keputusan Profesor Ansari sebentar tadi. Melihat malam masih muda hampir semua pelajar berada di luar khemah melayan hal masing-masing. Bahkan Profesor Ansari dan Mr Allen juga sedang berborak dan ketawa berdekah-dekah berbual sesama mereka. Hanya dia tidak melihat Nadrah mungkin sudah terlelap saat ini.

“Abang ada mendengar Bella seorang yang free thinker. Tidak mempercayai kewujudan agama dan Tuhan. Betul?” 
 
Soalan Luqman mengangkat sepasang kelopak mata Isabella. Dia mengangguk-anguk kepala tanpa mendongak kepada lelaki itu di sisinya.

“Apa maksud Tuhan bagi orang-orang islam?” Dia bertanya meskipun tidak pasti tujuan soalan itu dihulur. Mungkin juga dia sekadar ingin menduga akal fikiran Luqman yang jelas seorang lelaki berperawakan lelaki cukup beragama. 
 
“Umat Islam percaya dengan kewujudan Allah yang maha Esa. Di dalam surah al-Ikhlas telah menjelaskan segala-galanya. Bismillaaahir Rahmaanir rahim. Qul Huwallaahu ahad. Allaahus samad. Lamyalid walam yuulad. Walam yaqul-lahuu kufuwan ahad. Maksudnya.. Dengan nama Allah, Yang Maha pemurah, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah wahai Muhammad, Tuhanku ialah Allah Yang Maha Esa, Allah yang menjadi tumpuan sekelian makhluk untuk memohon hajat. Ia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dan tidak sesiapa pun yang setara dengan-Nya.”

“Dalam maksud yang lain Allah itu bukan bersifat makhluk dan tidak yang sama dengan apapun. Begitu?” Isabella terus menujahnya dengan soalan demikian. Meskipun demikian Luqman mengiyakan ucapan Isabella dengan serangkai senyuman tulus.

“Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang menguasai pemerintahan dan hari pembalasan. Tuhan yang berhak disembah oleh sekelian manusia. Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam,” sambung Luqman lagi. Sedangkan Isabella mendemah tapak tangannya kepada bahang api itu.

“Secara logiknya Tuhan itu bersifat mempunyai kelebihan lain dari yang lain. Bersifat lebih besar tidak ada yang setara dengan makhluk di dunia ini. Jawapan itu memang ada logiknya. Bella akui memang ada kebenarannya. Tapi semua itu bergantung kepada penerimaan dan prinsip masing-masing. Bukan begitu,” tutur Isabella lantas bekalih meraih sepasang mata Luqman yang sedang tersenyum sendiri 
 
Luqman membuang ranting kecil-kecil masuk ke dalam unggun api itu. Kerlingan mata Isabella terus mengintai perilaku lelaki itu. Meski seratus purnama mengambang seperti malam ini dia tidak bosan menatap wajah lelaki kesayangannya itu. Meski selama itu juga hasratnya tetap terkurung dek perbezaan agama menjadi benteng cukup besar dalam penyatuan jiwa. Lantas gambaran wajahnya terlukis tidak suka dengan pandangannya yang sudah sebati menjadi urat darahnya. Meskipun risau itu tetap tidak beralamat, mengapa dia berfikiran demikian.

“Terima kasih kerana ada sedikit ruang di hati Bella mengakui kebenaran itu. Abang lebih suka sekiranya Bella mengakui kewujudan Allah Ta'ala. Islam itu agama yang indah. Tak kenal maka tak cinta. Bella haruslah mengenali-Nya agar dapat melihat kejernihan, kecintaan dan kesucian agama islam itu sendiri.” Isabella malah ketawa mendengar ucapan itu.

“Bagi Bella alasan yang logik.. untuk apa?”

“Kerana abang ingin Bella selamat di dunia dan akhirat dan mempunyai pegangan hidup. Kerana juga abang sangat menyayangi Bella sepertimana Rasulullah menyayangi Siti Khadijah dan anaknya Fatimah Az Zaara. Biar hubungan yang terbina menjadi mudah dan halal antara kita berdua kelak,” tutur Luqman memasang wajah serius begitu tulus dengan hasrat itu. 
 
Sedangkan sudah kelu tidak terkata. Hatinya gundah mengetahui satu hakikat bahawa lelaki itu menginginkan satu hubungan lebih jauh untuk mereka berdua. Kulit wajahnya terasa bahang. Saat itu dia merasakan salah satu impiannya hampir terkabul. Puas dia bertepuk sebelah tangan. Mengharap kasih dari lelaki itu. Tetapi malam ini ada satu lambaian cinta sedang menantinya. Luqman berkalih kepadanya menghadiahkan sebuah senyuman. Saat itu jari-jemarinya Luqman sudah hinggap menggenggam jemari lembut Isabella. 
 
“Maksud abang akan menerima Bella menjadi kekasih? Begitu?” Dia ingin tahu lebih jelas. Lebih terperinci.
Bahkan Luqman sudah menarik tangannya. Hinggakan lelaki itu tidak sedar sedang melebihi dari landasan agama itu sendiri. Cinta nafsu yang membutakan batasan itu. Sentuhan amatlah menyakitkan dibandingkan dengan menggengam bara api. Istighfar cepat dilafazkan di dalam hati. Lantas Luqman sudah melepaskan genggaman tangan itu.

“Abang mantap dengan keputusan ini. Hati abang sudah berkata sesuatu. Tetapi ada satu jurang besar di antara kita. Terlalu besar tembok itu. Bella harus merobohkan tembok itu dengan satu syahadah. Meyakini Allah Yang Maha Esa. Berjalan di atas landasan agama islam. Sekiranya Bella ikhlas dan cintakan kehidupan suci ini, saat itu abang akan menadah tangan memohon kepadamu memeteraikan ikatan halal itu.”

“Syahadah? Allah?” Spontan perkataan suci itu terpacul dari mulut Isabella. Terasa kekok dia menyebut nama Tuhan itu.

Tatkala dua insan sedang membina jambatan kasih ada sepasang mata yang galak menyaksikannya. Engku Aleeyah bagai tidak percaya dengan apa yang disaksikannya. Bibirnya dikertap marah. Dia merungut sendiri tidak puas hati. Sayangnya Profesor Ansari masih berada di luar khemah.

No comments:

Post a Comment