Prolog
GEMERCIK air sungai mengalir berirama sendu. Seribu satu jenis bunyi menyatu dalam kelam subuh yang menanti embun terakhir menitis. Angin menyemilir, menguak-kocak-celah setiap ruang lingkup hutan belantara itu. Membawa kisah misteri yang tak ada penghujungnya. Meneroka khazanah alam yang tak siapa pun tahu nilainya. Hanya jiwa yang tangguh bisa menyelami lubuk Hutan Kalawari. Jiwa alam yang menyimpan cerita misteri.
Dalam samar lagi kelam, anjing-anjing hutan itu mulai menghidu sesuatu yang menarik perhatian deria bau mereka. Haiwan liar berkaki empat menyusuri laju sepanjang pinggir sungai itu. Larian tiga ekor anjing itu semakin pantas mengiringi antara satu sama lain. Melompat tinggi di atas akar-akar pohon yang tumbuh meliar. Berkejaran tidak ingin mengalah dek terhidu sesuatu yang memancing deria bau tiga anjing liar itu. Lalu bergerak perlahan-lahan sebaik saja menyedari sosok tubuh manusia terdampar di atas batu-batuan sungai itu.
Deraman keras dan dalam seiring dengan renungan tajam tidak menyenangi dengan kehadiran sosok tubuh asing itu. Sesekali kaki anjing itu cuba maju ke hadapan namun terhalang sebaik saja air sungai mencecah ke tubuh manusia itu. Anjing-anjing itu terus menderam dan menyalak ke arah tubuh yang belum bergerak sejak tadi.
Dalam samar-samar, kelopak matanya mulai bergerak-gerak. Sepasang telinganya menangkap jelas bunyi salakan dan deraman anjing-anjing liar itu. Badannya terasa lemah dan tidak bermaya digerakkan. Jari-jemari bertindak reflek sebaik saja kesedarannya mulai bangkit sembari mewaraskan kesedarannya. Perlahan-lahan dia mengangkat sepasang kelopak matanya. Parasnya memapar serat riak bingung bergejolak resah. Dengan kudrat yang tersisa, dia gagahi tubuh lemahnya mendongak ke arah haiwan-haiwan itu.
Deraman dan salakan anjing-anjing liar itu bagai resah dan terancam melihat dia mulai menggerakkan tubuhnya. Walhal dia yang berasa terancam dan ketakutan ibarat penjenayah yang sangat-sangat dikehendaki pihak berkuasa. Hatinya dilanda cemas dan fikirannya dibekam buntu untuk melepaskan diri dari kegilaan anjing-anjing liar itu. Riak parasnya sudah mengalur peta menjadi serabut dek kenyataan itu. Dia mulai mengangkat kepala lalu sepasang mata melihat sekelilingnya. Kawasan itu sungguh asing bagi dirinya. Seingatnya dia terjatuh ke sungai besar itu sehingga membawanya jauh oleh arus air yang sangat deras. Dia bukanlah seorang yang pandai berenang. Hanya mampu menjerit meminta tolong dalam malam yang gelap gelita.
Kini dia harus berhadapan dengan kecaman anjing-anjing liar itu. Dugaan apa lagi yang harus dia hadapi. Meminta tolong di tengah-tengah hutan belantara itu adalah mustahil dilakukannya. Dia juga tidak pasti keberadaannya saat itu. Tilikan nalurinya mengatakan dia sudah terlalu jauh dari lokasi perkhemahannya. Apalagi arus sungai yang deras itu membawa dirinya hanyut terlalu jauh. Beberapa kali kepalanya terhantuk pada batu-batu sungai yang besar ketika berusaha berpaut pada akar-akar pokok. Cemasnya semakin berganda-tindih-asak menyedari ada air terjun di hulu sungai itu. Hantukan yang seterusnya membuat dia pitam dibawa arus sungai deras sehinggalah dia sedar berada di tempat itu.
Melihat sekeliling hutan itu lembap dan menyeramkan. Suasana yang menyerkup saat itu bagai berada di tanah sumpahan. Dia mulai panik dan menjalar ketakutan yang luar biasa. Mengintai anjing-anjing liar itu dengan ekor matanya. Lalu cuba mencari sesuatu untuk dijadikan perisai diri. Bersiap-sedia menghadapi sebarang kemungkinan. Anjing-anjing liar itu semakin merapati dirinya. Malah menderam bagai ingin menelan dirinya.
Dia gagahi dirinya untuk mengangkat tubuh yang tidak bertenaga. Namun satu kesakitan yang amat menusuk pada kakinya. Jelas kakinya patah. Kesakitan yang luar biasa itu membuatnya mengerang kesakitan. Bertindak semakin tidak keruan. Batu-batu kecil disambar melontar ke arah anjing-anjing liar itu. Mengensot badannya perlahan-lahan dan menjauhi anjing-anjing liar itu. Semakin dia jauh semakin dekat anjing-anjing liar itu menyalak ke arah mukanya.
Dalam ketakutan meraih nyawa untuk dirinya telinga masih berfungsi jelas menangkap ada derap-derap kaki melangkah menghala ke arahnya. Bunyi semak belukar itu kedengaran di redah dengan kasarnya. Dia semakin cemas untuk menanti makhluk yang dia hadapi selepas ini. Malah dia pernah mendengar tentang kewujuan manusia kanibal. Apalagi binatang buas yang langsung tidak mengenal erti kemanusiaan. Harga nyawanya saat ini bagai di dalam mesin perjudian. Antara maut dan hidup. Antara menang dan kalah. Percaturan nyawa menjadi taruhannya. Di dalam fikirannya bermacam-macam andaian buruk yang muncul. Semuanya umpama dalam mimpi buruk.
Antara debaran dan nafas yang semakin tidak teratur membuat dia semakin tidak keruan. Saat itu matanya tertancap ke arah kelibat yang sudah terpacak di hadapannya. Dia menggeleng-geleng kepala meski lemah tidak berdaya. Suaranya tersekat-sekat tidak bersuara. Antara samar-samar dan kegelapan subuh, lembaga itu memanggil anjing-anjing liar itu mendekati. Mengusap-ngusap kepala anjing peliharaan dengan lembut. Begitu patuh dan cerdik kepada tuannya. Dia hanya memerhati tindak-tanduk lembaga itu.
“Tttolong.” Tersekat-sekat suaranya meminta simpati.
Lantas lembaga itu berhenti mengusap kepala anjing-anjing liar itu. Membiarkan kembali haiwan itu menderam ke arahnya lagi. Ketakutan kembali menghinggap dirinya. Dia hanya menanti lembaga yang tidak jelas itu memberi respon. Ketika sepasang kaki manusia itu melangkah menghalanya dia terus mengintai wajah itu. Semakin dekat, semakin jelas. Jembalang apakah berada di depan mata. Menyeringai hodoh seiring detak jantungnya memicu tidak bisa menahan ketakutan. Sepasang matanya membutang luas. Mulutnya tergagap-gagap sudah hilang suara untuk menjerit. Lantas ketakutan yang ditahan-tahannya bagai air melimpah ruah tak bisa dibendung. Hanya satu saja yang dia sedari. Menjerit dengan sekuat hatinya.
“Tidak!”
Jeritan itu terus menyelubungi dan bergema di serata hutan belantara itu. Jeritan memantul-mantul menjalar bersimpang-siur. Burung-burung hutan berterbangan bertempiaran mendengar jeritan melenking. Berpantul sehingga ke udara dan langit yang melindungi hutan belantara itu. Hanya makhluk dan hidupan liar saja yang menjadi saksi jeritan dan ketakutan saat itu.
No comments:
Post a Comment