Tuesday, April 19, 2011

Jangan Sebut Namaku ~Bab 2

Bab 2



SAMPAI di destinasi, semua pelajar mulai membawa barangan masing-masing dan menyusuri masuk ke dalam Hutan Kalawari. Sebelum itu mereka sempat singgah ke kedai makan di Daerah Keningau. Mengalas perut dan mencari keperluan penting sebelum perjalanan panjang dan mencabar dimulai.

Hutan Kalawari yang dikenali sebagai tumbuhan hutan pada aras 800 meter ke atas dari aras laut. Di Sabah, hutan jenis ini ditemui kebanyakannya di Banjaran Crocker dan Gunung Kinabalu. Kebanyakan pokok-pokok yang kelihatan tumbuh dengan lebatnya ialah pokok-pokok kayu balak spesis yang terbaik. Sesuatu yang menarik tentang hutan itu jika ditelusuri semakin jauh akan kelihatan satu pemandangan yang lebih indah. Kelihatan berbentuk kanopi dengan tumbuh-tumbuhan yang berdaun kecil. Namun ada perkara lain yang lebih menarik tentang hutan itu iaitu cerita-cerita lagendanya atau 'urban legend'.

Justeru Kalawari yang terbentang luas di depan mata seperti mengangkat bicara menyambut kedatangan mereka. Hembusan angin menyapa liang kulit yang mendambakan belaian alam. Sesayup deria mata mengerdip tidak ingin terlepas pandang harta alam yang cukup bernilai. Maruah Kalawari tidak bisa dikotak-katik mengikut kemahuan nafsu dan akal bejat. Lalu hamparan langit sedetik berubah mendung memayungi perjalanan mereka. 
 
Kalawari nama yang cukup misteri untuk dijadikan lembaran manis. Tidak ramai yang berani datang ke Hutan Kalawari untuk tujuan perkhemahan. Malah beberapa puluh tahun dahulu hutan itu tidak berani di jejaki kerana mitosnya yang menakutkan. Hutan itu bagai satu sumpahan kepada penerokanya. Namun masyarakat hari ini semakin tidak mempercayai cerita-cerita yang diwar-warkan. Lagenda yang sengaja direka-reka agar hutan tidak diceroboh dengan sewenang-wenangnya. Benarkan? Biar waktu yang bisa menjawabnya.

Ekspedisi pelajar kampus itu terus berjalan secara berturutan menelusuri belukar tebal yang begitu semak dengan akar-akar pokok yang kelihatan tumbuh meliar. Riak wajah tampak teruja meskipun mulai diselimuti kelelahan. Sesekali suara jeritan pelajar perempuan kedengaran ketika melihat ular melilit di dahan pokok. Bunyi hiruk pikuk kera hutan saling bersahutan membuat bulu tengkuk seram mendengarnya. Malah pelbagai jenis spesis binatang juga turut menjadi hidangan deria pendengaran. 
 
Hampir sejam mereka berjalan dan mendaki tanah yang berbukit sehinggalah Profesor Ansari menemui tapak khusus perkhemahan yang lama tidak digunakan kelihatan ditumbuhi lalang tinggi dan semak belukar. Apabila putih awan gemawan berkepul lerai menampilkan kejernihannya. Dada langit mengendur warna biru mewakili keagungan semesta. Lantas ufuk jingga berbalam-balam merah menebarkan kepulangan tabir alam. Kini kelam berlabuh waktu menceritakan kesepiannya. Dan dia melihat sekeliling hutan membaurkan seribu rasa ditemani cuaca yang lembap dan remang-remang senja menyambut sekumpulan pelajar sebagai salah satu program aktiviti kampus itu.

“Baik pelajar semua!” Profesor Ansari bersuara.

Dia menumpukan perhatian yang disuarakan bersama dengan rakan-rakannya. Memasang deria dengar dengan cermat. Memulakan kehidupan baru di alam rimba itu. Bukankah itu satu pengalaman yang jarang sekali diperolehi.

“Ini adalah perkhemahan kita selama beberapa hari hingga tamat. Tempat ini memang disediakan khusus untuk tujuan ekspedisi. Setiap pasangan kena dirikan khemah masing-masing. Sebelum itu bersihkan dulu tapak lokasi ini. Saya tak mahu ada ular atau binatang berbisa merayap yang memasuki khemah awak,” jelas Profesor Ansari membuat pelajar-pelajar perempuan gementaran dek kegelian. Lucu dia melihat reaksi mereka yang pertama kali menyertai ekspedisi sedemikian rupa. Sekali lagi sepasang matanya meraih raut wajah letih Isabella namun amat teruja memulakan perkhemahan. Tidak seperti Engku Aleeyah mencemik wajah sudah jelas mentafsirkan hubungan tidak restu dan ikhlas berpasangan dengan Isabella.

“Seperkara yang ingin saya tegaskan jangan ada sesiapa cuba pergi jauh dari lokasi khemah tanpa izin dari saya. Sebarang tindakan harus melalui saya dulu. Saya tidak ingin ada yang sesat atau hilang dari khemah ini. Kalau ada masalah cepat-cepat maklumkan kepada saya. Faham! ” Semua pelajar menyambut arahan itu dengan anggukan kepala masing-masing.

Perkhemahan di tengah-tengah hutan belantara itu adalah satu keputusan yang bijak memandangkan lokasi mereka berhampiran dengan sebatang sungai. Kelihatan setiap pasangan yang telah diundi mendirikan khemah masing-masing. Semua kelihatan begitu teruja dengan perkhemahan itu. Menakung kelelahan yang semakin membebankan gerak tubuh. Satu suasana yang memberikan pengalaman yang baru dan mencabar. 
 
Namun tidak kepada Engku Aleeyah dan Isabella yang harus akur dengan keputusan undian itu. Engku Aleeyah terus bermasam muka. Isabella melakukan setiap hal dengan berat hati. Semua pelajar tersenyum-senyam melihat gelagat mereka berdua. Bagai anjing dengan kucing saling bergigit antara satu sama lain dalam gerak tubuh bisu. Sedangkan dia mengharapkan perkhemahan itu akan memberi satu hikmah yang baik kepada kedua pelajar itu. 
 
Dari tapak khemahnya dia asyik memerhati lagak kedua gadis itu berbicara bisu dan mendengus tidak ingin bersikap kerjasama dan kompromi. Engku Aleeyah memasang wajah menyampah menatap Isabella dengan ekor matanya. Isabella pula langsung tidak memperhatikan pasangannya hanya membuat hal sendiri. Dan dia bersama Joseph melakukan kerja-kerja mendirikan khemah dan membersih lokasi sambil memerhati gelagat dua gadis itu. Dua gadis yang istimewa di matanya meskipun hanya Isabella yang mampu bertakhta di hatinya

“Apa yang kau duduk kat sana lagi. Tolonglah pasang khemah ni. Ingat kau sahaja yang penat ke?” Engku Aleeyah mendengus kasar-sebal-jengkel melihat Isabella terus duduk terpaku di atas tanah. Segala barangan yang dipegangnya dihempas-hempas sengaja menzahirkan ketegangannya. 
 
“Okey.. okey.” Isabella malah bangkit menjuih bibir lalu membelakangkan tubuhnya mengajuk gaya arahan gadis itu. 
 
Dan dia yang melihat lagak Isabella, tergelak sendiri juga disedari Joseph. Malah pasangannya itu juga menggeleng merangkap menarik nafas dalam malas menanggapi sikap kedua gadis itu. 
 
“Eh! Mangkuk ni tersengih-sengih di situ pulak. Orang lain sudah selesai pun pasang khemah. Hanya kita sahaja yang masih terkial-kial dengan benda alah ni.” Engku Aleeyah merungut marah membuang alat-alat khemah itu ke atas tanah. Setiap bahasa tubuh gadis itu tidak pernah menawarkan kemesraan kepada Isabella. Letih dia memerhatikan sikap kedua gadis itu saling mencetus perbalahan tidak ingin berdamai meskipun untuk sesaat. 
 
Lalu Luqman menyedari dirinya ditatap oleh sepasang mata runcing Isabella. Meskipun Engku Aleeyah mengecam sepasang mata Isabella kini sedang merenung ke arahnya. Dan dia berlagak seolah-olah tidak sedar dan tahu kalau dirinya menjadi tatapan kedua gadis itu. Sesekali dia berkalih ke arah Isabella yang sudah senyum-senyam memandangnya, dan jelas Engku Aleeyah juga sudah menangkap ke arah yang menjadi punca bibir gadis itu menguntum dengan senyuman. Lalu sepasang mata mereka bertiga saling bertatapan hanya menghala ke arah lokasi khemahnya didirikan. Bunyi dehem Joseph membuat dia tersenyum sendiri dengan penangkapan itu dan kini temannya sudah memasukkan barang-barang bawaan mereka ke dalam khemah. Profesor Ansari segera meminta mereka mencari kayu-kayu kering untuk dibuat unggun api sebelum senja berlabuh menabirkan tabir malam. Lalu tiba-tiba sahaja Engku Aleeyah berjalan sedang menghala ke arah khemahnya. Laju sepasang kaki gadis itu sedang berjalan ke arah khemah Luqman. Membiarkan Isabella terkial-kial membuka khemah itu. 
 
“Prof boleh tidak Joseph tolong pasangkan khemah kami berdua. Al tidak tahu macam mana hendak dirikanlah. Biar Al dengan Luqman sahaja yang cari kayu di hutan.” Usul Engku Aleeyah memasang wajah kesal menatap ke arahnya. Profesor Ansari terus berkalih ke arah tapak kedua gadis itu ingin mendirikan khemah melihat Isabella yang juga memerhati ke arahnya. Anggukan kepala seiring menyetujui permintaan Engku Aleeyah. 
 
“Joseph tolong Isabella dirikan khemah tu. Biar Luqman dan Aleeyah sahaja yang cari kayu,” arah Profesor Ansari. 
 
Mendengar arahan itu membuat sepasang mata runcing Isabella menjengil geram. Joseph menghentikan kerjanya lalu menuju ke arah khemah itu. Sedangkan Engku Aleeyah tersenyum puas sempat mengenyit mata kepada Isabella berhasil menumbuhkan rasa kesal di hati lawan gadis. Ah! Engku Aleeyah benar-benar tega membuat Isabella demikian. Sering sahaja menjadikan Isabella tumbal keadaan demi untuk bersama dengan dirinya. 
 
Riak paras Luqman beralur kesal dan sebal dengan sikap Engku Aleeyah bijak memanipulasikan keadaan. Sepasang matanya mengecam wajah Isabella sudah menjeruk masam melihat Engku Aleeyah sekali lagi menoleh ke arahnya membina senyuman sinis. Lalu gadis itu datang menghala ke arahnya dengan bahasa tubuh yang agak mengada-ngada. Sengaja memaut lengannya seiring mengiringi langkah mereka berdua ketika beredar dari situ.

“Sudahlah tu Al. Kamu berdua ni tidak habis-habis nak mengenakan satu sama lain. Bukan abang tidak tahu kalau Al memang tahu pasang khemahkan. Tetapi Al sengaja hendak menyakiti hati Bella. Al tu pelajar senior harusnya memberi contoh baik kepada pelajar junior seperti Bella. Sampai bila Al hendak hentikan sikap keanak-anakan.” Dia menegur sikap Engku Aleeyah yang pantang mengalah. Lengannya ditarik kasar tidak menyenangi gadis itu bersikap melebihi batas.

“Abang ini asyik hendak menangkan Bella itu pula. Al memang tidak tahu pasang khemahlah bang. Kalau tidak.. memang sudah buat pun. Tidak salahkan kalau kita cari kayu bersama. Bukan hendak pergi manapun,” balas Engku Aleeyah sudah mencemik wajah manjanya. 
 
Luqman hanya mampu menggeleng kepala dan mulai mencari kayu-kayu kering untuk dijadikan unggun api. Unggas-unggas senja mulai berbunyi berisik menyambut detik mahgrib yang tiba pada bila-bila masa. 
 
Sementara Joseph tanpa banyak bicara terus membantu Isabella mendirikan khemah. Semua sedia maklum dengan cinta tiga segi pelajar itu hanya mampu membuat rumusan sendiri. Diam lagi baik daripada menjadi habuan kecewa seorang gadis yang sedang menjeruk rasa. Senja yang berlabuh ibarat wajah isabella yang menyonsong hampa.

**

MALAM yang kian menyonsong kelamnya membawa kemilau malam menyimpan banyak misteri. Bahawa dada langit yang kian gelap-gelita begitu sempurna menyemat gemintang redup mengerdip sinarnya. Hamparan malam bercadarkan kegelapan ditemani nyanyian unggas-unggas dan spesis alam. Betapa luhur ratib malam yang kian membawa sejuta persoalan yang tidak pasti. Bukankah kegelapan malam lebih sinonim dengan misteri-misteri alam yang penuh dengan dunia mistik dan aktiviti paranormal yang tidak pasti.

Hari pertama semua pelajar kini duduk secara bulatan mengelilingi unggun api yang cukup besar itu. Suhu pada waktu itu benar-benar meningkatkan tekanan dan ketahanan setiap pelajar itu. Ada yang masih makan lagi sambil mencucuh sosej mentah pada bahang api yang sedang marak. Tidak kurang pula bersama pasangan masing-masing duduk berbual dan bergurau senda. 
 
Namun Isabella lebih melayan handycam miliknya. Mengambil rakaman video dari pelbagai sudut dan aktiviti pelajar-pelajar itu. Sebetulnya dia tidak kisah sangat dengan sikap Engku Aleeyah yang cukup menjengkelkannya. Marah dan kecewanya atas undian itu bagai diserap satu kuasa lain ketika sampai di lokasi itu. Terasa ada satu semangat dan rasa cinta yang mendalam ketika kakinya menjejak ke hutan itu. Mungkinkah dia memang pencinta alam sejati. Atau kerana minatnya dalam dunia mistik membuat dia teruja meneroka alam baru itu. Apapun alasannya dia memang terasa damai berada di hutan itu..  

Di luar khemah kelihatan dua tiga pelajar berserta Profesor Ansari menunaikan solat isyak. Selebihnya sudah pun mengerjakan fardu wajib itu secara individu. Ada juga langsung tidak menunaikan solat sengaja memberi pelbagai alasan. Urusan manusia dan Tuhan adalah milik sang pencipta.
“Nadrah.. ada hal yang saya hendak tanya awak.” Handycam di tangan Isabella dihalakan kepada teman baiknya itu. Nadrah gadis bertubuh mungil mempunyai kulit hitam manis berasal dari Kuala Lumpur.
“Kau hendak tanya apa?” Segera Nadrah membetul-betulkan rambutnya melihat handycam itu dipanah ke arahnya. Memasang senyuman yang dibuat-buat bergaya di depan lensa handycam. Bagai sedang berlakon di depan pihak produksi.
“Kenapa orang islam mesti sembahyang?”
Soalan itu membuat Nadrah tersenyum simpul. Mematikan gaya yang sengaja dibuat-buat tadi dengan berlagak menjadi seorang pemikir.
“Sembahyang itukan wajib dalam agama islam.”
“Habis itu kalau tidak sembahyang tidak boleh ke?”
“Laa.. dalam agama kami memang wajib sembahyang. Kalau seseorang itu sudah memenuhi syarat-syaratnya kenalah mendirikan solat. Kau ni tiba-tiba tanya tentang soalan ini kenapa?” Riak paras Nadrah jelas berkerut pelik seiring mulutnya sedang mengunyah snek di tangan.
Dan dia juga tidak terkecuali menyeluk snek pringles kesukaan teman baiknya kedengaran bunyi rangup merencahkan nikmat perisa pada deria rasa. Lalu sepasang matanya mendongak ke dada langit menyusuri lorong malam tanpa akhir dengan tujuan yang tidak pasti. Hawa malam membelai-kulum-sapa kulit tubuhnya yang hanya membawa perasaan sayu. Malam ini Kalawari menjadi lokasi peraduannya dan neon-neon menjadi kunang-kunang malam. Tidak ada keresahan, tidak ada perasaan. Mungkinkah Kalawari adalah lubuk rasa misteri seukuran dengan pandangannya.
I dont know. Im just asking. Hanya aku ni orang yang tidak percaya dengan kewujudan Tuhan,” jelas Isabella berterus-terang tentang prinsipnya. Wajah itu mendatar tidak ada reaksi yang tergambar. Begitu kuat menyokong kepercayaannya tentang keyakinannya yang disembah.
Sedangkan Nadrah agak terkejut dengan penjelasan itu. Lalu bertanya lagi dengan mengupas jawapan yang baharu diberikan. Bahawa Nadrah begitu tidak menduga kepercayaan yang menjadi tunggak pemikiran dan keyakinannya selama ini adalah kosong semata-mata.
“Jadi kau tidak percaya dengan Tuhan kau juga?”
“Aku mana ada agama. Im free thinker kecuali bapa aku seorang Buddha. Mama aku juga free thinker.”
“Aku ingatkan kau beragama Kristian.”
“Tidaklah. Memang ramai orang ingat aku beragama Kristian tetapi sebenarnya tidak. Aku tidak ada agama. Aku tidak percaya kewujudan Tuhan. Tetapi aku percaya tentang kewujudan misteri alam ini. Kewujudan alam mistik.” Intonasi suara Isabella juga gemersik perlahan menambah remang di tengkuk. Ulas bibirnya ranum dengan senyuman bagai sedang berkomunikasi dengan seseorang.
Nadrah menggeleng-geleng kepala tidak suka mendengar ucapannya. Menurut Nadrah dia terlalu taksub dengan dunia mistik. Bahawa minatnya itu adalah tergolong sebagai kepercayaan tahyul.
Sedangkan dia yang mendengar rungutan Nadrah hanya merakam reaksi itu.dengan tawa kecil yang membuat Nadrah sedikit kesal sikapnya. Malam berengsot semakin pekat dan awan berarak berbalam-balam di langit. Profesor Ansari mengarahkan semua pelajar masuk ke dalam khemah masing-masing memandangkan hari sudah beransur matang.
Melihat Engku Aleeyah sedang menggosok sepasang tangan dan kaki dengan losen yang semerbak wangi membuat Isabella dijentik rasa lucu.
'Losyen tengah-tengah hutan begini.' Detiknya dalam hati. Sengih sinisnya dijual tanpa meminta bayaran. Engku Aleeyah hanya menjeling memandang senyuman gadis itu. Lalu dia membuka buku yang berjudul 'The Witch Book' masih dipegang erat sambil berbaring membaca kandungannya. Keseronokannya dalam meneroka dunia sihir itu sejak dia masih kanak-kanak lagi. Hobinya yang pelik ini menjadi kejanggalan sesetengah pihak tentang jalan pemikirannya. Isabella terus tenggelam dalam pembacaannya tanpa menghirau kewujudan gadis di sebelahnya yang sering membuatnya sebal.
Sesaat kemudian Engku Aleeyah terus memadamkan lampu khemah sebaik sahaja dia berbaring di atas beg tilam. Dengus kesalnya terluah dek sikap biadap gadis itu lalu bangkit dan duduk bersila.
“Kau tidak tengok ke aku sedang baca buku ni?” Jengkel benar dia memandang Engku Aleeyah kembali berpaling ke arahnya. Kalau dia mempunyai kemampuan menggunakan ilmu sihir mahu sahaja dia menyumpah perempuan tu menjadi seekor kera biar dia tahu rasa tinggal di hutan sendiri. Biar putera kodok yang menjadi teman selama-lamanya. Lalu dia terbayangkan bunyi kodok memanggil-manggil si puteri kera. Sengihnya terluah lagi dengan imaginasi yang diciptanya.
“Ini bukannya library hendak baca buku tengah malam begini. Awak itu tidak ada otak, ke tidak ada hati. Kalau awak hendak baca buku sihir itu lebih baik keluar dari khemah ni pergi suruh kera atau ular suluhkan lampu. Aku ini penat nak tidur, besok kena bangun awal lagi,” balas Engku Aleeyah marah-marah. Lalu berbaring semula dan dikalihkan kembali tubuh yang sudah berbaring.
Isabella hanya terdiam mendengar jawapannya meskipun sepasang tangannya sudah diangkat seperti ingin mencekik tetapi sekadar gimik saja. Ah! Sebal dia dengan gadis itu. Mahu sahaja dia mengganyah gadis itu biar lumat macam tepung yang dicanainya. Kalau tidak mengenangkan amaran Profesor Ansari sudah puas dia melakukannya. Huh! 
 
Letih dia berhadapan dengan gadis itu. Lebih baik dia menyimpan tenaga untuk memulakan penjelajahan di dalam hutan itu esok. Dalam sepi malam itu mereka semua ditemani dengan unggas-unggas yang saling bersahutan. Bunyi cengkerik begitu jelas kedengaran malah ada suara-suara yang aneh juga yang timbul tenggelam. Malam yang mengundang rawan waktu, kembali menjadi saksi alam yang tidak pernah lelah. Meskipun Kalawari tidak pernah sepi dan tidur, saatnya sesuatu yang sedang menjalar berbaur mistik sedang menerawang menjadi hembusan angin menyapa khemah satu persatu.

No comments:

Post a Comment