Tuesday, April 19, 2011

Jangan Sebut Namaku~Bab 3

3
Hari Kedua



AKTIVITI hari pertama bermula menelusuri perut Hutan Kalawari yang lebat dan pohon-pohon tumbuh merimbun tinggi. Saat mendongak ke dada langit, bahkan tertutup jarang-jarang oleh rimbunan dedaunan lebat gemalai seakan tubuh-tubuh kerdil adalah rantaian makanan hutan yang menyimpan misteri lagenda. Membuat sang-sang pencinta alam menikmati keindahan khazanah istimewa itu menyelami dunia yang penuh ranjau, bahkan memisahkan hubungan manusia dengan pembangunan luar dari hutan itu.

Pagi itu bermula aktiviti penyelidikan pelbagai spesis flora dan fauna. Seorang pesara berasal England yang berperngalaman dalam ekspedisi penyelidikan iaitu Mr Allen baru sahaja muncul. Lelaki Inggeris yang berusia lebih 50 tahun itu bertubuh tinggi 6 kaki, kulit bertompok-tompok cokelat dan rambut yang putih sepenuhnya masih lagi bertenaga seperti anak remaja adalah teman baik kepada Profesor Ansari. Mr Allen begitu berpangalaman dalam selok belok penyelidikan dan telah pun berpuluh-puluh kali mengetuai rombongan penyelidikan. Apa yang menarik tentang lelaki itu kefasihannya dalam bertutur berbahasa Melayu begitu mengkagumkan. Malah beliau juga sudah berpuluh tahun bermastautin di negeri itu. Sehingga melayakkan beliau mendapat taraf PR atau penduduk tetap.

Ini adalah kali kedua dia mendapat jemputan mengiringi ekspedisi ke Hutan Kalawari. Jarang sekali ada rombongan penyelidik, persendirian atau institusi memilih hutan itu sebagai pusat pengumpulan spesimen atau riadah. Kali terakhir dia ke hutan itu pada dua puluh tahun yang lalu. 
 
Hidupan liar yang terdapat di dalam Hutan Kalawari juga tidak kurang sedikitnya. Perjalanan sekumpulan pelajar itu benar-benar menguji kesabaran kerana proses pengumpulan spesimen agak rumit dan mengambil masa yang lama. Sebahagiannya mula mengeluh dan keletihan kerana ada yang tidak biasa dengan cabaran itu.

Lantas pelajar-pelajar itu mengharungi hutan rimba yang tidak bisa dipandang sebelah mata, boleh jadi menjadi santapan binatang buas bahkan tersalah langkah sahaja tentu hilang arah untuk kembali ke lokasi perkhemahan. Menyusuri likuan sungai yang bergemercik kasar membawa alunan musik alam mendemahkan minda yang menikmatinya. Ada di antara pelajar-pelajar saling menyanyi-nyanyi secara berkumpulan demi mengurangkan tekanan yang tidak biasa dengan cabaran menguras tenaga kian tipis. Berjalan santai namun cukup melelahkan di atas permukaan tanah yang banyak tumbuh akar-akar liar dan agak berbukit dan tidak rata.

Pengalaman Mr Allen dan Profesor Ansari yang memang pakar dalam penyelidikan alam sekitar memberi penerangan dan menjadikan contoh-contoh di sekeliling hutan itu sebagai ilmu yang berguna. Sepanjang perjalanan menelusuri dalam hutan mereka berjaya menemui 10 spesis orkid termasuk satu spesis yang sukar ditemui di kawasan lain. Menurut kajian yang telah dilakukan terdapat 1,200 spesis orkid di negeri Sabah yang telah didaftar penemuannya. 
 
“Kali ini kita akan membuat kaedah memerangkap semut iaitu dengan menggunakan kaedah Winkler Bag,” terang Mr Allen. Semua pelajar memandang lelaki yang berusia lima puluhan itu dengan riak tanda tanya. Jelas Profesor Ansari tersenyum melihat reaksi pelajar-pelajar kampus itu masih cetek pengalaman dalam alam sekitar.

“Siapa yang boleh terangkan apa maksud dan kegunaan Winkler Bag?” soal Profesor Ansari sekadar menguji minda sekumpulan pelajar itu.

Di tengah-tengah sekumpulan pelajar itu kelihatan tangan seseorang diangkat ke atas. Pelajar-pelajar yang menghalang pandangan Profesor Ansari itu memberi ruang kepada Luqman untuk menjawabnya.

“Ha! Luqman. Cuba terangkan kepada kawan-kawan kamu apa maksud Winkler Bag dan kegunaannya.”
Luqman tersenyum dengan arahan itu dan mula memberi perhatian kepada teman-temannya. Dalam waktu yang sama Isabella bergerak menuju ke arah Luqman sambil mengangkat handycamnya merakam video lelaki itu.

Winkler Bag atau lebih dikenali sebagai lubang berumpan. Kegunaannya untuk memerangkap semut di hutan agar terperangkap masuk ke dalam Winkler Bag. Selalunya pengkaji akan mengumpul sampah-sarap hutan dan memasukkan ke dalam sebuah beg yang dibuat sebagai jaring,” jelas Luqman.

Excellent!” puji Mr Allen. Luqman tersenyum mendengarnya.

Thanks Mr Allen,” balas Luqman. Semua pelajar mulai meneruskan perjalanan. Isabella sengaja melambatkan langkahnya agar dapat berjalan seiring dengan Luqman.

Not bad,” puji Isabella. Luqman sekadar memberikan senyuman. Semua pelajar mengenakan seluar trek sukan dan lengan panjang demi menghalang dari gigitan nyamuk dan serangga berbisa. Dan dilihatnya Isabella hanya mengikat tocang rambut satu ke atas menampakkan leher jinjangnya. Kulit gebu putihnya itu sesekali digosok dengan losen anti nyamuk. Seiring semua pelajar mendengar arahan dan penerangan kedua-dua lelaki berpengalaman di barisan paling hadapan. 
 
“Rasa-rasanya semut di hutan ini spesis yang liar tidak?” Isabella sekadar berbasa-basi. Tergelak Luqman mendengarnya. Teman-temannya di belakang mulai memotong haluan mereka yang agak bergerak perlahan. Isabella mematikan handycamnya agar simpanan bateri tidak terbuang begitu saja.

“Bella tidak suka dengan semut ke?” Gadis berkulit putih cerah itu melemparkan senyuman melepaskan pandangan ke hadapan. Rambutnya ditocang satu. Halus dan lembut.

“Semut adalah serangga yang begitu unik dalam organisasi dan perilaku sosial mereka,” sambung Luqman.

“Kalau begitu biar Bella jadi semutnya dan abang jadi winkler bagnya,” tutur Isabella. 
 
Luqman ketawa kecil mendengar ucapan itu. Secara tidak langsung ketawa kecil Luqman mengundang perhatian dari Engku Aleeyah hanya beberapa baris di hadapan mereka. Melihat Luqman dan Isabella begitu mesra dan berjalan beriringan menjentik rasa cemburu yang meluap-luap. Langkahnya agak terbejat sedikit bergerak perlahan masih tetap menoleh ke belakang dengan riak wajah beralur cemburu. Suria yang menyinari memberikan kehangatan tidak bosan menjadi naungan hutan rimba itu. Namun tidak kepada Engku Aleeyah muak dengan kemesraan mengada-ngada Isabella. Sherry menyedari tatapan cemburu Engku Aleeyah. Miranda menarik lengan teman baiknya itu dengan paksa.

“Al jalanlah. Janganlah buat hal pula,” tegur Miranda.

Haziq, Kamarul, Shafiq dan Aizat, cukup mengerti hanya dengan membaca peta cemburu penuh alur dan garis menerusi wajah dan pandangan Engku Aleeyah. Mereka berpandangan sesama sendiri. Hanya tersenyum faham dan gelengan kepala yang sudah biasa menanggapi sikap gadis itu.

Relaxlah Al.. kalau kau tidak dapat Luqman kami di sini ramai kau tinggal pilih sahaja,” sakat Aizat. Engku Aleeyah menolak kasar bahu lelaki itu namun Aizat menyambutnya dengan deraian ketawa dan diikuti dengan teman-temannya. 
 
Luqman yang sudah menyedari dengan api cemburu Engku Aleeyah itu cuba membataskan kemesraan yang ditonjolkan Isabella. Hari bak kelam bertandang, tiada warna dilihat saat itu hanya lembap-semak-kehijauan lalu sebuah warna kelam mengisi pandangan. Kekosongan menyeruak ke dalam fikiran bersama dengan kelam menyelimuti pandangan tatkala menanggapi sikap Engku Aleeyah. Entah mengapa hatinya diselimut rasa indah saat berbicara dengan gadis bermata runcing itu.

Keindahan alam semulajadi di sekitar hutan itu menebus keletihan sekumpulan pelajar dan menggantikannya dengan keseronokan. Air terjun yang amat jernih dan dingin itu sudah memadai untuk mereka balas dendam dengan berendam lama-lama. Sambil menikmati makan tengah hari yang sengaja dibawa dari khemah. Mereka menikmati desiran air terjun disulami dengan kicauan hidupan liar yang terdapat di dalam hutan itu. Satu terapi kedamaian yang memberikan satu pemandangan yang begitu asyik sekali.

Bahkan menurut kajian sains kawasan air terjun mempunyai udara paling segar dan mengeluarkan ion-ion udara sekitar 10,000-14,000 unit anion/cm3. Ion atau anion berkait rapat dengan kesihatan manusia. Berkeupayaan menyerap partikel di udara, bakteria dan pelbagai virus agar menjadi neutral. Malah ia mampu membunuh sel-sel bakteria. Anion diibaratkan vitamin dalam makanan dan ia sering disebut 'vitamin udara' dan 'elemen panjang umur'.

Profesor Ansari dan Mr Allen duduk di satu tempat yang berasingan sedang menikmati makan tengah hari dan begitu serius dengan arah perbualan mereka. Sementara pelajar-pelajar yang lain terus melakukan aktiviti sendiri. Ada yang berjalan di atas batu-batu kecil di dasar air terjun itu ibarat melalui proses fisioterapi. Ramai juga masih berendam di dalam air tejun itu. Tidak kurang juga masih menikmati snek dan menghilangkan keletihan yang masih bersarang. Sementara Luqman begitu rimas dengan penyaingan antara Isabella dan Engku Aleeyah yang ingin mendekatinya.Ah! Sudahnya dia menjadi mangsa usikan teman-teman sekampus dek sikap kedua gadis yang menganggap dirinya sebagai trofi.


**





PROGRAM penyelidikan hari itu berjalan dengan lancar tanpa ada menimbulkan sebarang masalah. Paling menggembirakan lagi mereka telah membuat kaedah memerangkap semut dan telah pun dilakukan dengan jayanya. Proses itu akan mengambil masa selama 72 jam dan akan diperiksa kembali setiap 24 jam sekali. Tujuannya untuk memastikan semut-semut yang keluar daripada sarang dan masuk ke dalam larutan alkohol. Sudah tentu esok mereka akan datang untuk memeriksanya lagi.

Tatkala sepasang mata sudah meraih bumbung khemah masing-masing dari jauh mencetuskan rasa lega dan puas. Sekujur tubuh teramat lelah dan lemas mengharungi seperempat rimba yang baru ditelusuri. Jelas wajah setiap ahli sarat kelelahan meskipun ada yang cukup puas mempelajari sesuatu yang baru. Masing-masing sudah tidak sabar untuk berehat dan melakukan aktiviti sendiri. Dua tiga pelajar kampus itu mulai berlarian melepasi Profesor Ansari dan Mr Allen yang masih berjalan dengan langkah perlahan.

Luqman dan Joseph juga berjalan beriringan menuju ke khemah masing-masing hanya berjalan gontai. Namun langkah setiap pelajar yang sudah sampai di hadapan khemah masing-masing terbejat. Begitu juga dengan dirinya hanya terkaku-pana-pelik dengan panorama yang agak aneh. Melihat sesuatu yang ganjil dan pelik berlaku di hadapan mata membuat mereka semua juga tidak jadi masuk ke dalam khemah. 
 
“Profesor!” jerit Joseph diikuti dengan dua tiga pelajar yang sudah berada di situ. Profesor Ansari dan Mr Allen mengalihkan perhatian ke arah mereka. 
 
“Apahal Joseph?” soal Profesor Ansari masih lagi belum menyedari hal pelik itu.

Dua tiga pelajar menuding jari ke hadapan khemah masing-masing. Profesor Ansari dan Mr Allen yang paling terakhir sampai di tapak perkhemahan itu juga terkejut dengan kejadian itu.

Melihat ada tumpukan batu-batu berbentuk hexagram di setiap hadapan khemah masing-masing. Riak terkejut dan hairan jelas terpancar pada wajah Profesor Ansari. Malah Mr Allen juga tidak pernah melihat kejadian begini seumur hidupnya. 
 
“Astaghfirullahalazim. Benda apa ni? Siapa yang lakukan begini?” soal Profesor Ansari mempamerkan riak bergaris kerut mencari maksud batu tumpukan itu. 
 
Sedangkan dia hanya merenung setiap tumpukan batu yang berada di hadapan khemah masing-masing sebagai satu mesej yang tidak bisa ditafsirkan. Sepasang matanya terus melilau perlahan melihat sekeliling hutan itu. Dalam waktu yang sama bagai menyergap satu suasana yang lembap dan senyap menyelubungi kawasan itu. Tidak ada satu hidupan liar pun yang kedengaran saat itu. Lantas dia melihat wajah-wajah temannya begitu musykil dan ada renek resah bersarang pada riak masing-masing. Tiba-tiba tengkuknya merinding semacam, meskipun dia tidak ingin mempercayai kepercayaan yang berbaur mistik. 
 
Kemudian dia menyedari hanya Isabella sahaja kelihatan takjub dengan kejadian itu. Tanpa ketakutan dan resah, gadis bertocang satu itu begitu asyik merakam setiap tumpukan batu-batu kelikir yang berada di lokasi khemah mereka. Ada yang berbentuk hexagram, pentagram, mata horus, tanda 'X' dan hanya sekadar tumpukan setempat.

“Mungkin juga haiwan yang melakukannya.” Jawapan bodoh Profesor Ansari membuat para pelajar itu menelan air liur.

“Tetapi Profesor tidah mungkinlah haiwan dalam hutan ini begitu cerdik menyusun batu dengan simbol yang pelik begini,” bidas Engku Aleeyah. Gadis mengurai rambut separas bahu itu disergap keresahan hanya meluahkan rasa tidak sedap hati dek kejadian itu. Bahkan pelajar-pelajar perempuan lain juga turut meluahkan rasa tidak enak melihat kejadian pelik itu.

Mr Allen bercekak pinggang berdiri di samping Profesor Ansari. Sesekali lelaki Inggeris itu berbisik ke telinga Profesor Ansari mengundang tanda tanya di hatinya. Joseph yang berdiri di sampingnya hanya diam membisu bagai terpukau merenung sahaja tumpukan batu-batu aneh itu.

“Ada orang yang sengaja nak menakut-nakutkan kita ke?” balas Kamarul. Ucapan itu disambut dengan anggukan teman-teman yang lain.

“Saya tidak sedap hatilah Profesor,” celah Nadrah terus memerhati sekeliling hutan itu.

“Inikan hanya batu. Buang sahaja di dalam semak balik bukan apa-apa pun.” Mr. Allen pula bersuara kali ini. Slanganya bercampur gaya bahasa Sabah dan Eropah. 
 
“Tapi Mr Allen simbol ni seperti membawa satu mesej. Semacam satu amaran. Jangan-jangan ada hantu tidak di hutan ini,” rumus Sherry membuat teman-temannya yang lain panik seketika. Bunyi dengus dan keluhan teman-teman bagai sekawan lebah menceritakan keresahan dari rumusan Sherry. 
 
“Apalah kamu semua ni, betul kata Mr Allen itu. Inikan hanya tumpukan batu biasa tidak ada maksud apa-apa pun.” Aizat ketawa dan mengeleng-geleng kepala mendengarnya.

“Saya juga tidak sedap hatilah Profesor. Jangan-jangan lagenda tentang hutan ni betul agaknya,” ujar Miranda terzahir riak takut pada wajahnya. Sambil mengelus-ngelus tengkuknya sendiri.

“Lagenda? Ada lagenda tentang hutan ni ke?” soal Luqman terpancing dengan ucapan Miranda.

“Sudah-sudah saya tidak hendak dengar lagi andaian yang pelik-pelik sama pelik dengan batu-batu ni. Buang semua batu-batu ini kembali. Saya yakin benda ni bukannya apa-apapun,” sambung Profesor Ansari.

“Lagenda itu mengarutlah,” sambung Profesor Ansari lagi lalu menjeling ke arah Miranda.

Isabella yang asyik merakam situasi itu kembali bergabung dengan mereka. Melihat kegelisahan dan ketakutan pada wajah teman-temannya membuat dia tergelak kecil. Semua mata menyorot tajam ke arahnya.

“I tahu apa maksud simbol pada tumpukan batu-batu ini.” Ucapan Isabella membuat kerutan bertaut di dahi mereka semua terutama Profesor Ansari.

“Apa maksud awak Isabella?”

Isabella berjalan menuju ke arah tumpukan batu berbentuk pentagram.

“Simbol ini berbentuk pentagram. Simbol begini sering digunakan oleh tukang sihir perempuan. Simbol ini selalunya digunakan kepada seluruh gereja iblis di dunia. Mereka ditaja oleh satu kesatuan rahsia. Tapi..”

“Karut! Jangan-jangan ini kerja awak sengaja hendak menakut-nakutkan kami semua,” tuduh Engku Aleeyah membuat ucapan Isabella tadi tercantas.

Fine! Kalau kau tidak hendak percaya. Tetapi ini semua bukan kerja aku. Jangan hendak main tuduh-tuduh pula,” selar Isabella kembali. Handycam di tangan sudah diturunkan.

“Sudah-sudah jangan pula gara-gara batu ni awak berdua pula nak bertengkar. Simpan cerita awak itu Isabella saya tak nak teman-teman awak yang lain terpengaruh pula,” marah Profesor Ansari. 
 
Kesal Isabella mendengarnya. Bibir Engku Aleeyah mencebik marah. Kedua-dua gadis itu bertentang mata bagai ingin menerkam antara satu sama lain. 
 
What! Awak ingat saya takut sangat dengan cerita karut awak tu.” Engku Aleeyah sudah menyinsing lengan bajunya. Mereka berdua mara ke hadapan. Masing-masing memasang ego. 
 
You try me. Let me see. Siapa akan takut siapa.” Isabella mencabar. Sudah bersiap sedia menghadapi Engku Aleeyah.

Stop! Awak berdua hendak berhenti bertengkar atau malam ini saya denda awak berdua tidak akan dapat makan malam.” Kesabaran Profesor Ansari mulai digugat. 
 
Isabella tertunduk diam. Engku Aleeyah merengus kecil lalu memeluk diri. Mereka mengalah kerana Profesor Ansari. 

Pelajar-pelajar lain mulai masuk ke dalam khemah masing-masing. Tumpukan batu-batu tadi mulai dialihkan dari tempatnya. Luqman membaca ayat kursi sebelum menyentuh tumpukan batu itu. Dia juga berasa berat hati untuk menyentuh batu-batu kecil itu. Pelik juga memikirkan hal demikian. Namun ucapan Isabella sebentar tadi sedikit-sebanyak mempengaruhi dirinya. Tak mugkin di hutan itu ada ahli sihir pula. Macam filem Harry Porter. Luqman tersenyum sendiri antara logik dan karut. 
 
Dari semak belukar itu kelihatan ada sepasang mata memerhati sekumpulan pelajar itu. Sosok tubuh itu terbongkok-bongkok mengendap aktiviti pelajar itu itu. Bibirnya yang hitam dan kering tersenyum cepat-cepat membawa diri dari situ. Udara mulai menerawang lembap menyalurkan lubuk mistik hanya menjalar kesepian dan ketakutan sebagai mainan rasa.

No comments:

Post a Comment