Sunday, April 17, 2011

Kuseru Nur Kasih ~ Bab 5

SEUSAI kerja dia dan Rohana pergi ke kafe Bistro Delifrance di KLCC yang terletak di concourse level. Walaupun mereka berdua anak jati kampung namun pandai juga menjamu selera di kafe francais antarabangsa itu. Nasib mereka baik ada meja kosong di sudut kafe itu. Yasmin menyerahkan apa saja menu pilihan temannya. Perutnya tiada masalah menerima apa jenis makanan pun asalkan halal. Rohana meninjau-ninjau menu istimewa hari itu di bahagian kaunter makanan. Akhirnya dia memilih menu fried breaded fish fillet with tartar dips untuk Yasmin manakala spaghetti bolognaise untuk dirinya. Dia membawa fresh orange, air suam dan sepiring mini tart pelbagai perisa. 

“Takpe hari ini aku belanja,” kata Rohana senyum kepadanya. Yasmin membalas senyuman itu. Lama benar dia tidak menjamu makanan enak-enak seperti begitu. Masing-masing menikmati menu pilihan mereka. Sambil menikmati hidangan sambil bercerita mengenai perihal masing-masing. Namun Rohana paling banyak berceloteh. Seperti biasa Yasmin lebih banyak mendengar dan sedikit saja memberikan komentar. Paling seronok dia mendengar tentang persiapan perkahwinan temannya itu. 

“Nanti time aku bersanding aku nak kau jadi pengapit aku, bolehkan? Abang Faizal pun setuju,” beritahu Rohana sambil menguis sisa makanan ala italian itu. Yasmin menelan makanannya dengan berat.

“Min tak biasalah jadi pengapit ni, awak pilih je orang lain. Min ni buat masalah je nanti,” pinta Yasmin sambil membetulkan kaca mata tebalnya itu. Rohana meletakkan sudu dan garfu di atas pinggan itu. Dia mengesat hujung bibirnya dengan napkin yang tersedia. Diteguknya air suam sedikit lalu menyedut fresh orange yang dipesannya. Rohana menyilang kakinya sambil menyandar di kerusi itu. Yasmin menjadi serba tak kena dengan pandangan itu.

“Aku tak peduli. Ini majlis bersejarah aku. Mau atau tidak kau kena jadi pengapit aku. Kita berdualah yang sering bersama-sama sejak J melanjutkan kuliah di luar negara. Susah senang kau selalu di samping aku. Aku bangga sekali dengan kawan seperti kau Min. Aku dah anggap kau jadi sebahagian keluarga aku. Jadi apalah salahnya kalau kau jadi pengapit aku. Itukan hari berbahagia aku takkanlah kau tak sudi berkongsi memori itu dengan aku,” luah Rohana cuba bermain secara psikologi kepada Yasmin. Yasmin menghela nafas panjang.

“Ermm bukan tak sudi. Nanti Min fikirkan dulu ye. Lagipun majlis Ana pun masih beberapa bulan lagikan,” kata Yasmin. 

Rohana hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Itulah selalu jawapan basi yang didengarnya. Wajah Yasmin direnung dengan lamanya. Timbul rasa simpati melihat teman baiknya ini. Sejak dari sekolah rendah hingga sekarang Yasmin tetap menjadi dirinya sendiri. Sikap pemalu dan rendah dirinya itu kadang kala terlalu melampau sehingga dia sendiri berfikir apakah itu sesuatu yang normal atau satu penyakit mental. Parahnya lagi teman baiknya itu mudah sangat gelabah dan gugup bila diajak bersosialisasi. Kemudian nafasnya dihela perlahan dan panjang. 

Rohana hanya mampu mendiamkan diri sahaja dan mengalihkan pandangan ke meja pelanggan yang lain. Ada beberapa orang bangsa asing sedang menjamu selera. Dalam waktu yang sama Yasmin mencuri pandang kepada beberapa wanita melayu yang bergaya eksekutif berjalan dengan penuh yakin, elegan dan menarik perhatian jejaka di sekitar situ. 

Dia membayangkan seandainya dia boleh menjadi seperti mereka. Berjalan dengan yakin, membalas senyuman jejaka-jejaka tampan sambil membawa beg kertas dari butik-butik ternama. Glamour rasanya menjadi perhatian. Sekali pandang mau dua kali lagi. Hati kecilnya kembang kecup bangga kerana mendapat perhatiaan. Sambil membetulkan beg tangan Guess dengan mengenakan sepasang baju eksekutif dari Aigner, sepasang kasut Salvatore Ferragamo dan membetulkan jam tangan Chopard. Sempat dia menyapukan foundation asas MAC agar wajahnya kelihatan segar kembali. Wah bertuah badan memiliki semuanya. Yasmin terus dibuai dengan khayalan. Melihat senyuman Yasmin dalam keadaan tidak sedar itu membuatkan Rohana berkerut dahi melihatnya. Apalah yang dikhayalkan oleh Yasmin.

“Min.. Min... Mmmmiinnnnn!” Rohana meninggikan suaranya mengejutkan Yasmin dari terus hanyut dalam khayalannya. Tergagap-gagap Yasmin membetulkan kaca matanya malu dia tertangkap dalam keadaan demikian. 

“Apa benda yang kau khayalkan tu. Sampai tak sedar aku panggil. Aku tak peduli apa alasan kau bagi. Kau kena tetapkan keputusan. Masalahnya kau tiada rasa percaya diri itu saja,” ujar Rohana lalu meneguk minumannya sampai habis. Yasmin hanya mengangguk dengan lemah. 

“Min aku nak juga lihat sesuatu yang baru dalam hidup kau. Aku ingin lihat kegembiraan kau juga. Mulai dari hari ini aku tak nak dengar lagi jawapan-jawapan lapuk yang sering kali kau guna sejak dulu,” nasihat Rohana kepadanya. 

Ucapan Rohana membuatkan hatinya berbicara sendiri. Ya Allah aku bersyukur mengenali Rohana dan Jamaliah. Ya Allah sungguh sebuah persahabatan itu memang penuh dengan nikmatnya.

APABILA sampai di rumah teres dua tingkat itu kelihatan gelap dan sunyi sepi. Rumah di sebelahnya juga masih belum ada penghuninya. Gelap gelita. Hampir setiap malam dia bertemankan sunyi dan sepi. Kalau teman serumahnya balik pun ketika itu dia sudah dibuai mimpi. Daripada dia menyendatkan fikirannya dengan keadaan itu dia terus masuk ke dalam biliknya untuk membersihkan diri dan menunaikan solat. Di atas sejadah Yasmin berasa tenang melepaskan keluhan dirinya. Ya Allah Yasmin khusyuk membilang zikir dan memuju nama-Mu. Ya Allah Yasmin syukur dengan kenikmatan-Mu. Ya Allah Yasmin tenang dekat dengan-Mu

Jam di dinding menunjukkan angka 9.30 malam matanya masih tidak ingin dilelapkan. Segera dia turun ke bawah untuk menonton siaran televisyen. Yasmin masih duduk bersila di atas sofa itu sambil menguyah snek kegemarannya. Matanya masih bulat dan segar tidak ada tanda-tanda mengantuk lagi. Kesetiaannya menonton filem tersebut ingin mengetahui jalan akhir cerita itu. Halwa telinganya menangkap deruman enjin kereta berhenti di hadapan rumah. Cepat-cepat dia bangkit mengintai dari sebalik langsir. Yasmin kembali ke sofa meneruskan jalan cerita itu. Dalam pada itu hatinya sempat berbelah bagi untuk naik ke atas biliknya atau meneruskan tontonannya. Selalunya dia pasti mengurungkan dirinya di dalam kamar sendiri. 

Tombol pintu dipulas lalu kelihatan Hafiza dan teman lelakinya masuk ke dalam rumah. Yasmin tidak mengendahkan kehadiran pasangan kekasih itu. Namun timbul sedikit ketidakselesaan apabila teman lelaki Hafiza duduk di satu ruang dengannya. Hafiza menyapa dia seadanya. Dibalas dengan senyuman. Yasmin diam seketika. Hafiza muncul dengan segelas air minum dan diberikan kepada lelaki yang bernama Syafik itu. Baru kali ini dia melihat Yasmin sejak dia sibuk dengan acara-acara yang memerlukan kepakarannya. Melihat situasi kaku itu, Hafiza cuba mengajak Yasmin berbual sebagai pembuka bicara.

“Bagus ke cerita filem ni?” Hafiza sekadar berbasa-basi. Yasmin mengangguk kepala sekali dengan seleret senyuman. 

You suka tengok cerita hindustan juga?” soal teman lelaki Hafiza kali ini. Yasmin tetap mengangguk kepala tanpa sepatah kata yang keluar dari mulutnya. 

“Dah lama I tak duduk begini sambil menonton televisyen atau DVD. Asyik sibuk dengan keje saja manalah I ada masa, “ luah Hafiza. Mata Syafik berkalih kepada kekasihnya.

“Sekali sekala ambillah cuti, you patut berehat. Boleh juga ajak Yasmin makan angin sekali atau hujung minggu cuci mata kat mana-mana shopping complex,” usul Syafik. Jelas sekali lelaki yang berketurunan Melayu India itu menunjukkan keprihatinannya kepada Hafiza. Untuk seketika kesunyian berlabuh di antara mereka. Kebosanan mula menerjah lelaki yang lebih berwajah india itu. Dia tidak biasa dengan suasana begitu. Melihat hari semakin gelap risau juga jika ada jiran yang memandang serong. 

“I balik dulu Fiza, besok I datang ambil you lagi. I rasa kereta you pasti ambil masa berhari-hari kat bengkel tu,” ujar Syafik. Hafiza bangkit dari sofa itu berjalan seiring dengan Syafik menuju ke muka pintu yang memang terbuka sejak kedatangan mereka. Yasmin mengerling pasangan kekasih itu.

“Baiklah, tapi jangan lambat tau sebab esok ada show besar. Banyak benda I kena siapkan awal-awal,” pesan Hafiza. Syafik mengangguk kepala.

“Ok...hmm.. Yasmin saya minta diri dulu. Selamat malam semua.”
Yasmin senyum memandang lelaki itu. Hafiza menghantar Syafik sampai ke muka pintu saja. Dia melambaikan tangannya sejurus kereta Syafik beredar. Hafiza mengunci pintu utama rumah itu. 

“I naik atas dulu ya, sorry tak dapat temankan you kat bawah ni,” tutur Hafiza sebaik kakinya menjejak ke anak tangga pertama. 

“Tak apa, sekejap lagi filem ni selesai,” jawab Yasmin baru bersuara. 

Tinggallah Yasmin dalam dunianya sendiri. Seronok dia dengan jalan cerita itu. Yasmin bangun dari tempat duduknya lalu melangkah ke tingkap besar rumah itu. Di sebalik langsir itu dia melepaskan pandangan ke luar. Matanya menyusuri kegelapan malam yang semakin pekat. Rumah teres dua tingkat yang berderetan kelihatan gelap dan sunyi. Hanya lampu di garaj kereta menerangi setiap lot rumah di situ. Matanya masih belum mengantuk. Padahal jam di dinding sudah menunjukkan pukul 11.00 malam. Selalunya waktu begini dia sudah terlelap. Dia berasa bosan sekali. Seperti baru menyedari bahawa kehidupannya tiada warna-warna keceriaan. 

Teringat kembali kata-kata Rohana menasihatinya. Dia akui kalau sahabat baiknya seperti Rohana dan Jamaliah yang sering mewarnai hidupnya selain memiliki keluarga yang penyayang. Yasmin mengeluh perlahan mendengar suara hatinya yang mengomel dan mindanya yang diselimuti dengan kebosanan. Agaknya sebab itulah matanya belum mengantuk lagi. Akhirnya dia mengorak langkah menaiki ke tingkat atas. Lemah longlai dia menjejaki anak-anak tangga itu.

No comments:

Post a Comment