Sunday, April 17, 2011

Novel Kuseru Nur Kasih ~ Bab 4

SETIAP KALI dia berjalan kaki masuk ke kawasan perumahan Taman Sri Gombak, bimbang kalau-kalau ada yang mengintai dia dengan niat yang jahat. Sering dia mendengar kes ragut yang sering berlaku di kawasan itu. Setiap kali turun dari bas intrakota nombor 41 dia selalu membaca doa di dalam hatinya agar tiada hal-hal buruk menimpanya. Ya Allah selamatkan setiap langkahku. Ya Allah lindungilah aku dari kejahatan dunia. Kakinya laju melangkah menuju ke rumah sewanya. Bibirnya mengulit senyuman sampai ke pintu pagar dengan selamat. Namun melihat rumah dua tingkat itu gelap dan sunyi bagaikan tiada penghuni yang tinggal di situ.

Yasmin bersandar di sofa. Kelopak matanya dipejamnya seketika. Rasa letih terasa di sekujur badannya. Rumah teres dua tingkat itu mempunyai tiga bilik di tingkat atas. Ada tiga lagi penghuni yang duduk menyewa di rumah itu. Dia menempati bilik yang paling kecil di tingkat atas. Bilik utama di tempati oleh Hafiza. Dia merupakan seorang penghuni yang paling lama menyewa di rumah itu. Gadis itu kurang gemar menyapanya atau mencampuri urusan peribadinya. Hanya perkara yang berkaitan dan penting saja barulah Hafiza akan menegurnya. Namun Yasmin menyenangi sikap itu. Malah dia mengagumi dalam diam dengan penampilan Hafiza yang sentiasa anggun dan menawan. Maklumlah kerjayanya juga adalah seorang pendandan dan perias profesional.

Berbeza pula dengan sikap dua sepupu ini iaitu Lidya dan Azean. Ada saja topik dan bahan gurauan yang buat dia tak kering gusi. Sikap ramah mereka berdua kadang kala membuat hatinya tercuit. Mereka berdua mempunyai minat yang sama iaitu menonton DVD filem hindustan. Jika ada kelapangan dia sering diajak menonton video filem hindustan bersama-sama.

Kalau ada babak yang menyedihkan pasti mereka bertiga juga mengalirkan air mata. Begitu juga babak komedi membuat mereka tidak dapat menahan ketawa. Pendek kata riuh satu rumah sekiranya dua gadis ini ada di rumah. Namun bukan selalu dia dapat menghabiskan waktu bersama dengan mereka. Kerja mereka di industri perhotelan yang tidak menentu waktu kerja shif saling berselisih untuk mereka berkumpul bersama-sama.

Kelopak matanya terbuka sebaik sahaja dia mendengar sayup-sayup azan maghrib berkumandang. Segera dia naik ke tingkat atas. Ya Allah aku bersedia bersujud dihadapanmu. Membawa suka dan duka aku tetap bermohon. Syukur itu tidak pernah luntur.

TELEFON rumah kedengaran berbunyi nyaring. Malas rasanya menjawab panggilan telefon. Yasmin menghabiskan sisa-sisa makanannya. Telefon berdering kembali bagai bertali arus tidak berhenti-henti. Cepat-cepat dia membasuh pinggan dan tangannya. Sempat juga dia menjeling jam di dinding 9.30 malam. Siapa agaknya yang menelefon rungutnya di dalam hati.

“Hello!”

“Assalamualaikum..Yasmin ke tu?”

“Walaikumussalam..a'ah mak ke ni. Min baru je teringat mak di kampung.”

“Apasal lambat jawab telefon dah tiga kali mak telefon asyik putus je... Min buat apa tu?” soal ibunya.

“Min baru je lepas makan sebab tu tadi malas nak jawab telefon. Tak tau pula kalau mak yang telefon. Ingatkan kawan-kawan orang dalam rumah ni yang telefon ke,” beritahunya sambil melurut rambutnya yang agak kasar. Kaca matanya dibetulkan di atas hidung.

“Lambatnya Min makan... sampai rumah jam berapa?” soal ibunya lagi.

“Sampai rumah tadi dekat jam 7.00 malam. Alaa biasalah mak. KL ni traffic jam boleh tahan juga bukan macam kat kampung tu,” beritahu Yasmin sambil ketawa.

“Agaknya Min tambah kurus kerja kat KL tu. Susah-susah Min balik je kat kampung banyak kerja kosong juga di pekan tu nanti mak boleh minta abang kau tolong rekomenkan juga.” Yasmin tergelak mendengar ucapan ibunya.

“Abah dan abang apa kabar mak?” soal Yasmin ke topik lain.

“Sihat walafiat. Macam biasalah masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Mak sebenarnya ada hal nak cakap ni,” tutur ibunya dengan perlahan.

“Ada apa mak.. cakaplah,” soal Yasmin tidak sabar mendengarnya.

“Begini.. bulan depan Mahani anak Pak Amin dan Mak Cik Rogayah akan melangsungkan perkahwinannya. Mak nak kau balik nanti. Bolehlah kita pergi sama-sama sekali dengan Mak Miza kau,” beritahu ibunya yang dikenali sebagai Mak Cik Lijah. Yasmin tidak menjawab. Hanya keluhan halus sahaja yang merencah ke pendengarannya.

“Min dengar tak apa mak kata ni,” soal ibunya kembali.

“Mmm... nantilah mak, Min akan bagitau kalau dapat balik atau tak. Lagipun majlis tu bulan depankan. Insya'Allah kalau tak ada aral melintang Min akan balik juga. Min pun rindu juga dengan mak, abah, abang dan Mak Miza,” jawabnya sekadar untuk tidak menghampakan permintaan Mak Cik Lijah.

“Eloklah tu lagipun dah lama juga Min tak pulang jenguk kami di sini rindu juga rasanya. Kawan-kawan Min kat sini juga asyik tanya kabar Min. Mak Miza kamu tu pun juga rindu kat Min,” luah ibunya lagi.

“Yelaa mak nanti Min akan usahakan cuti tu.”

“Mmm.. Min mak nak tanya kamu ni. Mak bukannya apa atau masuk campur urusan peribadi Min. Kalau Min dah ada calon tu cepat-cepatlah bawa jumpa mak dan abah kat sini. Tak elok anak dara duduk lama-lama soarang kat KL tu. Sekurang-kurangnya ada juga suami yang menjaga kamu tak juga risau kami di sini” beritahu ibunya. Sekali lagi Yasmin tergelak mendengar kata-kata ibunya. Hai nasib badan kalaulah ada lelaki yang sudi dengan diri ini kata Yasmin di dalam hati sendiri.

“Apa mak mengarut ni. Min ni mana ada teman lelaki lagi apalagi calon yang siap sedia nak kat Min. Siapalah lelaki yang tak bertuah tu nak kan ke Min,” gurau Yasmin merendah-rendahkan dirinya.

“Min ni dari kecil sampai besar panjang begini suka sangat merendah-rendahkan diri tu. Min tak bolehlah berfikir seperti begitu. Setiap manusia tu ada kelebihannya. Min jangan fikirkan kecantikan luaran itu jadi ukuran. Ada juga seseorang itu melihat kecantikan dalamannya. Setiap manusia itu lain pandangan dan citarasanya Min. Entah-entah jodoh Min macam cerita cinderella.”

Semakin galak ketawa Yasmin mendengar panjang lebar cerita ibunya. Kepalanya digaru-garunya. Entah logik atau tidak dia tidak ingin mentafsirkannya kembali. Mulutnya terbuka luas cepat-cepat ditutupnya dengan tangan. Tubir matanya mulai berair tanda dia sudah mengantuk. Dia membiarkan ibunya bercakap terus tanpa mengulas balik isi perbicaraan mereka. Malas dia ambil kisah perihal jodoh dirinya. Biarlah kata hatinya. Tuhan sudah tetapkan jodohnya dengan seorang lelaki yang dia sendiri tidak tahu lagi.

MAK CIK LIJAH menjengah ke bilik tidurnya dilihat suaminya sudah ada di perbaringan. Perlahan-lahan dia menolak daun pintu melangkah perlahan agar suaminya tidak terjaga. Maklumlah rumah papan yang sudah uzur macam-macam bunyi kedengaran. Sudah banyak kali pengubasuaian dilakukan pada rumah tua itu. Namun rumah kampung yang dah tua sama juga macam warga emas yang semakin banyak karenahnya. Baru saja Mak Cik Lijah melabuhkan punggungnya di birai katil, Pak Cik Selamat mengalihkan badannya menghadapnya.

“Saya ingat abang dah tidur.” Pak Cik Selamat menghembus nafas dengan perlahan.

“Lama juga awak berbual dengan anak dara awak tu. Dah melepas rindu?” tutur Pak Cik Selamat. Mak Cik Lijah tersenyum sendiri lalu membaringkan badannya di samping suami.

“Anak dara saya seorang saja bang. Sama juga macam awak lebih ambil berat dengan anak teruna awak,” perli Mak Cik Lijah berbaring mengiring bertentangan dengan suaminya.

“Kenapa pula awak cakap begitu. Anak dara awak anak saya juga, anak teruna saya anak awak juga. Darah daging kita juga. Dua-dua pun saya ambil berat dan sayang, awak ni cakap macamlah saya ni seorang ayah yang pilih kasih,” balas Pak Cik Selamat. Mak Cik Lijah tergelak kecil.

“Saya bergurau je la bang. Saya bukannya apa bang, kesian juga tengok Yasmin tu kerja sorang-sorang kat KL. Tiap bulan kirimkan kita duit. Pendek kata hidup kita cukup juga walaupun sederhana.”

“Syukur alhamdullilah Lijah, Tuhan kurniakan kita sepasang anak yang taat kepada orang tua, agama dan akhirnya dapat mengurangkan beban kita dalam usia yang begini. Sebenarnya dengan hasil kebun kita boleh hidup juga tapi tidaklah menjanjikan kemewahan. Sekadar cukup isi perut dan buat dapur kita berasap juga,” luah suaminya. Mak Cik Lijah tersenyum mendengarnya.

“Dengan hasil kebun tu juga kita dapat besarkan anak-anak kita sampailah berjaya menjejak kaki ke universiti. Walaupun Jamal tidak ada niat untuk bekerja dengan sektor swasta tapi prinsipnya untuk mengusahakan ladang di kampung ini pun dah buat saya bangga. Bukan ramai anak muda yang berijazah sanggup ambil keputusan untuk berbakti kepada tanah di kampung ini. Tak sia-sia juga anak kita dapat ijazah. Walaupun anak lelaki kita tu berminat mengerjakan kebun kita tapi boleh tahan juga hasilnya,” ujar Pak Cik Selamat.

“Kalau duit kita kat tabung haji dah cukup bolehlah kita mengerjakan ibadat haji di tanah suci Mekah,” ujar Mak Cik Lijah.

“Insya'Allah Lijah dengan izin Allah SWT dapatlah kita merasa juga ke tanah suci itu,” balas Pak Cik Selamat diiringi dengan tawa kecilnya. Leretan senyuman Mak Cik Lijah mengendur tatkala fikirannya kembali teringatkan perbualan dia dengan Yasmin. Kedengaran keluhan kecil terhembus keluar dari mulutnya.

“Bang... Lijah sebenarnya teringin juga nak terima menantu, lepas tu menimang cucu. Biar rumah kita ni meriah sikit. Kadang Lijah cemburu juga tengok orang-orang kampung ni asyik bercerita calon menantu, kelahiran cucu cicit, rombongan meminang. Tapi Lijah tengok Jamal dan Yasmin tu lebih pentingkan kerja masing-masing. Tak pernah Lijah dengar kalau anak kita tu ada teman lelaki atau perempuan. Bila Lijah tanya tentang jodoh ada saja alasan Jamal bagi. Yasmin pula asyik rendahkan dirinya saja. Takut juga anak-anak kita tu tak ada hati nak berumah tangga macam adik Lijah tu,” luah Mak Cik Lijah akibat dari kerisauannya.

Dia mengalih badannya menghadap suaminya kembali. Isterinya merenung suaminya yang tenang merenung siling bilik mereka. Mak Cik Lijah menunggu jawapan dari suaminya. Sunyi seketika. Namun orang tua itu tiada tanda untuk mengulas lebih lanjut.

“Abang dengar tak apa Lijah cakap ni,” desak isterinya kembali. Pak Cik Selamat ketawa. Lama suaminya mengambil masa untuk menjawab.

“Jangan difikirkan sangat. Jodoh mereka sudah ditentukan Tuhan. Rasulullah SAW pernah bersabda. Seorang wanita itu dinikahi kerana hartanya, keturunannya, kecantikkannya dan agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia. Bagi golongan wanita pula Rasulullah telah mengenakan dua syarat pilihan iaitu hanya menerima lelaki yang beragama dan berakhlak sebagai suami. Baginda juga pernah bersabda lagi apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia. Jika tidak kamu lakukan demikian akan berlakulah fitnah di bumi dan kerosakkan yang besar.” terang Pak Cik Selamat yang sering memasukkan ilmu agamanya setiap kali ada topik yang mereka kupaskan.

“Yelah ustad ada lagi nak tambah syarahan tu. Kalau iya saya boleh buatkan kopi sekali bolehlah saya mendengarnya semalaman?” sindir Mak Cik Lijah. Pak Cik Selamat ketawa mendengar sindiran isterinya itu. Dia faham kalau bukan itu yang ingin didengar oleh isterinya.

“Saya hanya ingin bercerita mengenai kaitan hadis Rasullullah SAW dengan realiti kehidupan kita. Salahke cara saya tu?” Pak Cik Selamat cuba mempertahankan tindakannya.

“Tak salah bang ooooiiiii...” jawab Mak Cik Lijah panjang sekali nadanya. Suaminya ketawa lagi. Malas dia menyambut kembali topik perbicaraan mereka. Dia menguap kali ini, sudah sepatutnya untuk tidur. Mak Cik Lijah menarik selimutnya sehingga ke paras pinggang. Hanya bunyi cengkerik yang menemani tidur mereka malam itu. Akhirnya suami isteri itu tenggelam dalam buaian tidur mereka sendiri.

No comments:

Post a Comment