Sunday, April 17, 2011

Kuseru Nur Kasih ~ Bab 8

KENAPA boleh jadi macam ni!” Suara lantang Datin Ifa sekali lagi memecahkan keheningan petang itu. Menantunya Azura hanya mampu mendengar leteran dan keluhan mama mertuanya itu. Sementara suaminya atau anak sulung kepada Datuk Yaseer Ikhram dan Datin Ifa lebih banyak meneliti isi surat kabar yang dipegangnya. Hanya Datuk Yaseer Ikhram saja yang melayan karenah isterinya yang tidak berpuas hati dengan tindakan anak bungsu mereka.

“Dahlah tu jangan emosi sangat. Anggap saja bukan jodoh mereka. Abang tak fikir kalau anak bungsu awak tu sengaja memutuskannya tanpa alasan yang kukuh. Kita sebagai orang tuanya kena dengar dulu dari dia, jangan menghakimi sebelah pihak saja. Abang percaya kalau anak kita tu ada alasan tersendiri yang kita sendiri tak faham,” tutur Datuk Yaseer Ikhram dengan tenang. Tidak seperti isterinya yang mudah melatah dan melenting. 

“Tak faham? Huh!” Datin Ifa mencelah kata-kata suaminya penuh dengan perasaan kecewa. Sejak tadi dia membebel tidak seorang yang menyokong dia. 

“Saya teringin sangat nak tengok mereka berdua disatukan secepatnya. Ini tiba-tiba pula nak putus tunang. Saya memang tak setuju kalau pertunangan mereka diputuskan. Yusri mesti minta maaf dengan Amy dan berbaik-baik semula. Apa pun kesalahannya Yusri mesti maafkan Amy.” Suara Datin Ifa semakin meninggi dan tegas. Suaminya menggeleng-geleng kepala. Pening kepalanya melayan karenah isterinya kalau lagi sedang marah-marah. 

“Dah! Dah! Jangan nak mengada-ngada!” Datuk Yaseer Ikhram mula mendengus bosan.

“Takkanlah abang nak ambil sikap diam saja dengan apa yang Yusri dah buat,” adu Datin Ifa yang lebih memihak kepada Amy.

“Kan abang dah kata, hanya Yusri saja yang boleh jelaskan kenapa dia melakukannya. Mesti Amy tu ada buat kesilapan besar yang buat anak kita itu kecewa.” Buntang mata Datin Ifa mendengar penjelasan suaminya. Datuk Yaseer Ikhram meneguk secawan teh yang telah dihidangkan. Hampir sejuk minuman itu diteguk juga sampai habis. Sebaik sahaja pemandu peribadinya datang, dia memaklumkan kepada Datin Ifa tentang undangannya ke Kelab Country Golf oleh Dato Vincent. Tinggallah Datin Ifa dengan wajah yang masam mencuka. Dikerling menantunya yang sedang leka membelek-belek majalah yang baru dibelinya.

“Zura!” Keasyikan Azura terhenti serta merta. 

“Ada apa-apa yang Zura tau tentang hal ni. Kalau ada baik Zura ceritakan. Mama tak suka ada sesiapa dalam keluarga mama sembunyikan cerita yang sebenarnya,” tutur Datin Ifa dengan tegas dan serius raut wajahnya. Kecut perut Azura melihat pandangan mata mama mertuanya. Bibirnya terasa kering dan tekaknya kehausan. 

“Nanti Zura akan cari tahu tentang hal yang sebenarnya. Pasti Zura beritahu Mama. Mama janganlah risau,” jawab Azura dengan lembut. Datin Ifa masih tidak berpuas hati. Semakin ketara kemarahan yang tersirna di wajahnya. Ditahan-tahanya agar kemarahannya tidak meledak. 

“Jadi tak ada sesiapa sekarang ni yang boleh jelaskan kenapa Yusri begitu.” Datin Ifa menyatakan dengan keras. 

“Eh! Buang masa saja mama bercakap dengan engkau semua, seorang pun tidak ambil kisah dalam hal ini. Asyik-asyik Yusri yang betul,” leter Datin Ifa kembali. Kemarahannya makin sukar dibendung. Azura menyiku suaminya. Tersedar dengan kemarahan wanita yang berusia 50an itu. Yusuf Emran segera melipat surat kabar yang dipegangnya sejak tadi lalu meletakkan di atas meja kecil yang berhampiran dengannya. Diteguknya teh yang sudah menjadi suam-suam kuku sehingga habis.

“Lagi satu, mama dengar Yusri nak cari rumah sewa dan tak nak duduk dengan kita lagi. Mama juga kurang pasti. Tapi sekiranya memang betul Yusri nak pindah, mama tak izinkan,” beritahu Datin Ifa dengan tegas.
Terkedu Yusuf Emran dan Azura. Rupanya cerita yang satu ini pun Datin Ifa dapat hidu. Setahu mereka Yusri Erdhan baru menyatakan niatnya kepada mereka berdua. Siapa pula yang membocorkan rahsia itu. Azura memberi isyarat kepada suaminya untuk beredar dari situ. Faham dengan isyarat mata Azura, Yusuf Emran segera meminta izin kepada mamanya untuk beredar. Datin Ifa tidak memberikan sebarang kata hanya mencebik bibir sendirian. Anak dan menantunya melangkah dengan cepat masuk ke dalam bilik mereka di tingkat atas. Semakin lama mereka duduk di situ semakin banyak karenah Datin Ifa yang harus mereka hadapi.

TITIK-TITIK air hujan turun mencurah-curah dengan kasar membasahi Kuala Lumpur malam itu. Sesekali dentuman guruh menggegar alam dan menakutkan. Sementara Yasmin berbaring di atas katil dengan keadaan bilik yang gelap gelita. Dari katilnya dia dapat melihat cahaya kilat yang disertai dengan dentuman guruh. Entah kenapa hatinya berasa sayu sekali malam itu. 

Lagak Mimi semakin hari semakin liar mengenakan dirinya. Puan Munirah juga memandang rendah dengan dirinya hanya kerana penampilannya tidak seperti gadis lain. Buruk sangatkah dirinya sampai ramai orang yang membencinya. Hati kecilnya berkata-kata. 

Ya Allah. Ya Allah. Tanpa disedarinya sebutir air mata jatuh di hujung matanya. Dibiarkan mutiara kecil itu jatuh sendiri. Rapuh sungguh hatinya. Telinganya menangkap bunyi deringan telefon dari tingkat bawah. Lamunannya tadi terhenti sebaik saja perutnya berbunyi minta diisi. Namun seleranya tidak ada. Kedengaran bunyi ketukan di pintu biliknya. Suara Lidya sedang memanggil-manggil namanya. Bergegas dia membuka pintu biliknya dan menjengah keluar. Seorang gadis berumur lingkungan awal 20an tercegat di hadapan pintu biliknya. “Ada call untuk you tu,” beritahu Lidya tersenyum.

“Terima kasih Lidya,” balas Yasmin dengan senyuman di bibirnya. Yasmin membuntuti langkah Lidya dari belakang. Namun langkahnya terus membelok ke meja telefon di sudut ruang tamu itu.

“Hello.. Assalamualaikum,” suara Yasmin berada di corong telefon.

Waalaikumussalam, Min... ini akulah J.” Suara pemanggil itu kedengaran girang sekali. 

“Ya Allah aku ingatkan siapa... engkau apa kabar?” soal Yasmin dengan nada gembira. Hatinya yang dilanda mendung telah ceria kembali.

Im fine... How about you?” soal Jamaliah kembali.

“Amboiii... cakap orang putih dah mentang-mentang belajar kat luar negara bukan main lagi dia. Min sihat walafiat masih tetap Yasmin yang dulu tak berubah-ubah.” Kedengaran suara tawa Jamaliah disusuli oleh Yasmin juga. 

“J telefon Min tak mahal ke dari sana?” soal Yasmin kembali.

“Laa ke situ pula topik dia, tak payahlah risau bukan selalu aku dapat bercakap dengan kau pun. Rindu juga 
 aku dengan kau dan Ana,” luah Jamaliah.

“J janganlah salah faham. Tapi percayalah Min memang gembira sangat dapat dengar suara J. Min dan Ana selalu bercerita tentang J. Memang kami rindu sangat kat J.”

“Yeke ni... aku ingatkan kau dan Ana dah lupakan aku. Ermm.. aku nak bagitau ni yang cuti semester nanti aku akan balik Malaysia. Ana ada hantar email kat aku tentang hari perkahwinan dia sempatlah aku tengok hari berbahagia dia tu. Aku tak sabar juga balik ni, rindu sekali dengan semua orang kat Malaysia... rindu kat kau, Ana, keluarga aku, Abang Jamal. Ih! Memang tak sabarlah aku nak balik ni,” luah Jamaliah lagi. Sayu hati Yasmin mendengarnya. Dia dapat rasakan kerinduan yang menggamit hati kalbu Jamaliah di saat ini. Memang lama benar Jamaliah berada di luar negara.

“Sabar ya J. Cuti semester tak lama lagikan. Yang penting capai impian J tu untuk kejar master tu. Dah sampai waktu cuti nanti baliklah, kita pasti akan berjumpa lagi boleh kumpul macam dulu-dulu.”

“Insya'Allah Min.. doakan aku ya.”

“Jangan lupa bawa ole-ole tau,” sambung Yasmin lagi.

“Hmm... okey aku terfikir juga nak bawakan kau pakwe persian dari sini aje jadi calon suami kau pula. Dapat anak nanti mesti rambut perang, mata bundar biru, kulit putih bersih,” usik Jamaliah yang membuatkan Yasmin tergelak.

“Ana apa kabar... tak sangka juga dalam kita bertiga dia yang cepat-cepat meninggalkan status solo dia.”

“Ana sihat walafiat. Dah jodoh Ana. Min tengok dia ceria je menanti hari-hari bahagia dia tu. Yelaaa ada beberapa bulan lagi. Tapi tengok macam tak sabar je dia.”

“J pula macam mana ada buah hati tak sejak belajar kat sana?” soal Yasmin ingin tahu.

“Aku ni jenis lasak takut lelaki nak dekat aku agaknya. Sebenarnya aku lebih sukakan lelaki melayu. Lelaki macam kat kampung kita, yelaa lelaki melayu sejati katakan. Kau ni macam tak faham je siapa yang aku maksudkan,” ujar Jamaliah tergelak-gelak.

“Alhamdullillah rupanya citarasa J ni memang kelas jugalah. Min bersyukur J tak lupakan asal usul kita. Min fahamlah siapa jejaka yang J maksudkan. Abang Jamal tu je yang tak perasan lagi. Tapi mesti seronok belajar kat sana kan mesti banyak pengalaman.”

“Memang pun Min, seronok tu sebab dapat timba ilmu di negara orang, banyak pengalaman luas pemandangan. Tapi tak seronok tu sebab kau berdua tak bersama aku kat sini. Padahal result kau berdua boleh tahan juga. Aku belajar kat sini sebab major course aku tu lebih terperinci kalau kat sini. Ayah aku juga suggestkan pergi sini, mulanya ingatkan suka-suka aje apply sekalinya dengan bantuan biasiswa kerajaan sekali dapat. Padahal aku tu ingin sangat nak belajar di Malaysia dengan engkau orang,”

“Dahlah J, kat mana sekalipun timba ilmu sama je yang penting kita dah dapat segulung ijazah. Walaupun gulungan ijazah yang bakal kau terima lagi tinggi. Min dan Ana bangga sekali tengok J tu dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat master.”

“Oklah Min.. aku rasa dah banyak yang kita bual walaupun tak puas rasanya. Nantilah kalau aku dah balik boleh kita berkumpul,” ujar Jamaliah.

“Jaga diri tu baik-baik, belajar betu-betul dan solat jangan dilupakan,” nasihat Yasmin.

“Insya'Allah Min.. sampaikan salam aku kepada Ana dan keluarga kau di kampung...mmmm salam rindu untuk abang Jamal juga tau,” kata Jamaliah yang agak malu-malu. Tersenyum Yasmin mendengarnya. Rupanya masih ingat juga Jamaliah dengan abangnya. Memang sejak dari dulu lagi teman baiknya itu ada hati dengan abangnya tapi abangnya tidak pernah faham-faham..

No comments:

Post a Comment