Sunday, April 17, 2011

Kuseru Nur Kasih ~ Bab 9

HARI ini seorang pekerja baru telah diperkenalkan oleh Pegawai Sumber Manusia kepada semua bahagian. Ekesekutif bahagian IT itu terus menghulurkan salam perkenalan kepada setiap warga kerja Rockwell Holding. Perkenalan pertama antara warga kerja syarikat berjalan dengan lancar. Eksekutif baru itu mempamerkan senyuman dan keramahan agar lebih nampak mesra. Masing-masing memperkenalkan diri dan nama jawatan yang disandang di dalam syarikat yang berprestij itu.

Yasmin baru saja mendapat panggilan telefon daripada Fauziah yang memaklumkan bahawa bahagiannya baru saja diperkenalkan dengan eksekutif muda itu. Yasmin hanya mendengar pujian Fauziah mengenai pekerja baru itu. Mendengar ucapan Fauziah dia dapat membayangkan pasti pekerja baru itu seorang yang segak. Melihat kedatangan Noraini dengan seoarang lelaki yang tidak dikenalinya cepat-cepat dia mengakhiri panggilan Fauziah itu. Dia dapat mengagak pastilah lelaki ini yang diceritakan oleh Fauziah.

Noraini memperkenalkan lelaki itu kepadanya serta merta. “Saya Adam Ahmad baru saja melaporkan diri pada hari ini sebagai Eksekutif IT,” ucap lelaki itu dengan mesra sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Yasmin. Agak gementar dan malu-malu Yasmin sekadar mengangguk kepala. Manis senyuman Adam sehingga mempamerkan barisan giginya yang putih berseri. Memang benar kata Fauziah lelaki ini mempunyai wajah yang tampan dan bakal menarik perhatian pekerja-pekerja wanita di situ. Beruntungnya siapa yang akan menjadi pendamping hidup lelaki itu.

“Ini Yasmin, pegawai bahagian ini, dia ni pemalu dan lembut sikit orangnya” tutur Noraini memperkenalkan dirinya setelah melihat tiada respon darinya. Gadis bertudung labuh itu senyum dengan penuh makna kepada Yasmin. Melihat keadaan itu Yasmin menjadi malu-malu kucing. Dia terpegun seketika melihat senyuman lelaki itu. Sebagai gadis normal dia turut tertarik dengan ketampanan dan keterampilan Adam.

“Gembira dapat berkenalan dengan gadis pemalu lagi cantik seperti Cik Yasmin,” ucap Adam dengan mesra. Kembang kecup hidung Yasmin mendengar pujian dan layanan seperti itu. Belum pernah ada lelaki berkata demikian kepadanya. Lelaki ini memang pandai mengambil hatinya. Tak berkelip matanya memandang Adam keluar dari pejabatnya. Yasmin duduk di mejanya sambil menongkak dagu dengan membayangkan Adam bersamanya. Jalan berduaan, makan bersama, minuman berkongsi gelas, berpanas dan berhujan di bawah satu payung. Indah sekali dunianya bagai ada pelangi di atas kepalanya dengan warna warni ceria dan berkilau. Macam dalam filem hindustan yang sering ditontonnya penuh dengan adegan romantik dan kasih sayang yang tidak terhingga. Yasmin menarik nafas dan senyum bahagia.

“Ha! Buat apa tu!”sergah Fauziah tiba-tiba. Terhenjut badannya kerana terperanjat yang amat sangat. Yasmin mengurut-ngurut dadanya yang turun naik debaran jantungnya. Marah Yasmin dengan sergahan itu.

“Nasib baik Min tak ada lemah jantung. Kalau tak dah jadi arwah pula.” Berkerut dahi Yasmin marahkan tindakan Fauziah. Namun gadis itu membalasnya dengan deraian ketawa. Lucu melihat gelagat Yasmin apalagi dia sempat melihat gadis itu sedang berkhayal tadi. 

“Janganlah marah nanti cepat tua, nanti Adam tak jadi nak pikat Min. Elehh.. mengelamunlah tu tadi macam aku tak nampak, sedang berangan-angan dengan mamat hensem tu kan... ngaku je laaa.. Aku pun dah macam angau sejak kenal dia tadi,” usik Fauziah lagi.

“Hisy! Jangan mengarutlah pandai je kau ni,” kata Yasmin cuba menafikannya.

“Ngaku ajelah Min, aku bukannya siapa-siapa, kawan office kau yang boleh simpan rahsia.” Fauziah senyum-senyum memandangnya dengan kening yang sengaja diangkat-angkat. Yasmin mengerut dahi bimbang juga kalau ada yang mendengarnya. Di pejabat tu dinding boleh dijadikan telinga.

“Min masih lagi berpijak di bumi yang nyata. Lelaki macam Adam tu mana pandang perempuan macam Min ni. Entah-entah dia dah ada kekasih pun atau tunang ataupun bapa orang dah. Buang masa je pasang angan-angan,” dalih Yasmin sambil membetulkan kaca matanya

“Aku dah check dengan Noraini tadi katanya solo. Dengarnya pula baru putus cinta. Ini Fauziahlah tak sah kalau hal-hal dalam syarikat ini aku tak update tau,” beritahu Fauziah dengan lagaknya.

“Pandai-pandai je dia ni baik sambung kerja tu nanti tak pasal-pasal dapat memo dari Noraini.”

“Aku bukan apa Min, mestilah minah Mimi tu yang tergedik-gedik dengan Adam tu. Percayalah cakap aku, selalunya perempuan macam tu la paling bertuah. Lelaki lebih suka yang perempuan yang penuh gaya action daripada gaya drama,” luah Fauziah.

“Tak apalah. Setiap manusia tu kan Tuhan dah tentukan takdirnya, manatau esok hari kita. Dunia ni bagaikan papan catur sentiasa ada dugaan yang kita sendiri tidak dapat dugakan. Kita tak tau catur apa yang mengena pada diri kita nanti.” Fauziah mengiyakan kata-katanya setuju dengan pendapat Yasmin. Fauziah keluar dari bilik setelah melihat Yasmin menyambung kembali kerjanya.

Ketika Yasmin sibuk melakukan kerjanya, En Rahmat masuk dengan membawa seberkas fail. Lelaki itu masuk bersama dengan Abang Aris dan Adam. Pengurus Pentadbiran itu sempat memesan kepadanya tentang perbicangan dengan para eksekutif itu dan memintanya agar tidak ada yang datang mengganggu. Yasmin hanya mengangguk kepala tanda faham menerima arahan itu. Namun tangkai jantungnya hampir tercabut ketika Adam sempat memberikan senyuman dan mengenyit mata kepadanya. Lelaki ini memang benar-benar menggoda naluri wanitanya. Mungkin betul kata Fauziah dia mungkin berpeluang mendekati lelaki itu selagi tidak ada ikatan dengan mana-mana wanita.

YASMIN mengeluh hampa. Melihat hujan lebat yang disertai dengan angin kencang membuat hatinya dilanda kerisauan. Risau kalau terlambat bertemu dengan teman baiknya Rohana. Sejak pagi tadi lagi dia menelefon Rohana untuk berjumpa dengannya seusai pulang kerja. Berkali-kali dia berdoa dalam hati agar hujan segera berhenti. Paling tidak pun gerimis hujan adalah lebih baik daripada meredah hujan lebat dengan angin kencang.

Langkahnya cepat menuju ke destinasinya. Berhati-hati dia mengatur langkahnya di jalan raya yang basah dan bercak-bercak air agar tidak mengena pakaiannya. Yasmin tersenyum lebar melihat Rohana dari jauh lagi. Dia bergegas mendekati Rohana yang sedang leka membaca sebuah novel. Kedatangan Yasmin disedari oleh Rohana segera dia memasukkan novel yang berjudul Hikmah ke dalam tas tangannnya. Dia melambai tangan kepada Yasmin.

“Tepat masanya. Ingatkan mesti lambat sampai,” kata Rohana. Yasmin senyum kepadanya. Mereka berdua berjalan seiring menuju ke sebuah restoran yang berdekatan di situ.

“Mana boleh lambat, Min tak sabar nak ceritakan sesuatu kepada Ana ni. Dua berita baik yang patut Ana dengar,” ujar Yasmin yang kelihtan ceria hari itu. Rohana merenungnya dengan penuh tanda tanya. 

“Yeke, patutlah aku tengok wajah kau hari ini semacam je, ni mesti ada apa-apa ni. Ceritalah apa dia aku tak sabar nak dengar ni.” Datang seorang pelayan restoran mendapatkan pesanan mereka. Kali ini mereka memilih restoran mamak untuk mengisi perut sedang lapar tambahan dengan cuaca hari itu. 

“Ni mesti pasal kau naik pangkat agaknya. Betul tak?” soal Rohana sekadar menduga. Yasmin menggelengkan kepalanya. Rohana menarik muka masam yang sengaja dibuat-buatnya. 

“Atau kau kena pinang ni agaknya,” duga Rohana sekali lagi. Yasmin ketawa mendengarnya semuanya tidak betul.

“Yang dah kena pinang dan akan naik pelamin tu adalah Ana bukannya Min. Tak lama lagi Ana yang jadi bini orang lepas tu mak orang. Eh! seronoknya Min dapat anak buah lagi,” tutur Yasmin tersengih-sengih.

“Alhamdullilah hendaknya, semoga semuanya berjalan dengan lancar. Makin hari makin berdebar-debar juga hati aku ini. Kalau tunang aku pula lain katanya, tak sabar-sabar nak jadi raja sehari,” ujar Rohana membuat mereka serentak ketawa berdekah-dekah.

“Tunang Ana tu bukannya apa, tapi tak sabar berbulan madulah tu. Orang lelaki kat situlah fikiran dia.” Rohana tersipu-sipu malu mendengarnya. 

“Tak sangka pula kau ni straight forward kalau bercakap ye mana kau belajar tu,” usik Rohana pula kali ini. Yasmin senyum-senyam sendiri. Tidak lama kemudian pesanan makanan dan minuman mereka telah sampai. 

“Hujan-hujan beginilah buat perut aku asyik nak makan je, nasib baik badan aku ni metabolismenya tinggi. Makan banyak mana pun tak juga gemuk-gemuk, bagi aku makan dululah lapar sangat ni,” ujar Yasmin tersengih.

Teh panas yang menjadi pilihan Rohana dihirupnya perlahan-lahan. Dia hanya memerhatikan Yasmin makan dengan berselera sekali. Bukannya dia tidak ingin tumpang sekali namun hari berbahagianya tidak lama akan berlangsung. Ada baiknya dia menjaga corak pemakanannya. Kalau dia ikutkan dengan selera Yasmin alamat bertukarlah saiz bajunya kepada XXL. Memang dia akui selera Yasmin boleh tahan juga tapi beruntung sekali tidak pernah dilihatnya terlebih berat badan. Malah sejak bekerja Yasmin kelihatan agak kurus pula. Yasmin meletakkan sudu dan garfu di atas pinggan lalu mengelap tepi bibirnya dengan tisu yang telah disediakan. Masih ada sisa sebahagian mee goreng di atas pinggannya.

“Kenapa tak habiskan makanan tu, aku tak sabar nak dengar cerita kau ni,” desak Rohana tidak sabar dengan kabar berita yang ingin disampaikan olehnya.

“Min nak ceritalah ni, nanti sambung makan balik. Sebenarnya semalam J telefon Min dari US. Dia kirim salam kat Ana. Katanya dia rindu sangat nak jumpa kita,” cerita Yasmin.

Waalaikumussalam.. apa lagi katanya.”

“Nanti tak lama lagi cuti semester dia nak balik sini. Insya'Allah dia nak hadir ke majlis pernikahan Ana nanti,” tutur Yasmin dengan bersemangat.

“Alhamdullilah akhirnya kita bertiga berkumpul kembali juga macam dulu-dulu. Ana memang rindu sangat kat dia. Macam mana agaknya rupa dia ya. Dia tu umpama srikandi bagi kita. Ingat lagi tak waktu Zali ejek kau. J yang datang bantukan, apalagi keluar segala karate dia yang sumbang. Sampai patah gigi budak tu dikerjakannya,” celoteh Rohana. Yasmin ketawa mengingatkan kembali peristiwa itu. Dia masih ingat ketika itu Zali menyakat jalannya untuk ke sekolah namun dibantu oleh Jamaliah.

“Min pun gembira sangat bila J kata nak balik. Sebab kali terakhir dia balik sini tiga tahun yang lepas itu pun waktu sambut raya aidilfitri.

Yasmin menghirup kopi panasnya. Mee goreng tadi disuapkan kembali ke dalam mulut. Sedikit-demi sedikit mee goreng tadi sudah habis dijamahnya. Melihat tanpa kerdipan mata Rohana merenungnya dia mengerut dahi. Rohana faham dengan mimik wajah Yasmin itu.

“Aku sedang tunggu berita baik kau yang kedua ni, apa dia?” soalnya. Yasmin tersenyum mendengarnya. Dia jadi tidak pasti apakah berita yang kedua ini baik dan patut dikongsi bersama Rohana. Serta merta wajah seorang lelaki bermain di benaknya. Yasmin menilik-nilik lelaki itu melalui mindanya. Tampan, peramah dan lesung pipit itu yang mencair hatinya. Yasmin tersenyum sendiri lagi. Rohana menampar tangannya memecahkan deraian lamunannya.

“Hmm.. sebenarnya bukanlah penting sangat pun tak juga diklarifikasikan berita baik. Min sekadar nak kongsi saja cerita ini dengan Ana. Tadi ada seorang lelaki baru saja kerja di syarikat Min. Orangnya boleh tahan juga, peramah dan mesra. Min rasa macam suka pula kat lelaki ini,” beritahu Yasmin dengan malu-malu. Pertama kali dia bercerita mengenai seorang lelaki. Mata Rohana terbeliak setelah mendengarnya. Baru kali ini dia mendengar luahan hati Yasmin berkenaan dengan lelaki. Satu petanda baik, ada kemajuan dalam diri Yasmin. 

“Betul ke ni Min, aku tak salah dengarkan pasti orangnya sangat istimewalah tu,” usik Rohana untuk ke sekian kali. Bersemangat Rohana ingin mengetahui tentang lelaki itu.

“Nama dia Adam bekerja sebagai Eksekutif IT di syarikat aku tu. Orangnya boleh tahan. Kalaulah Min dapat jadi kekasih dia bertuahnya,” tutur Yasmin menceritakan serba sedikit tentang Adam. Makin lebar senyuman Yasmin kali ini. Namun senyuman Rohana mengendur perlahan-lahan. Jari jemari Yasmin diraihnya.

“Min.. aku bukan apa, aku harap kau janganlah berharap sangat dengan impian kau tu. Aku tak sanggup tengok kau kecewa, sedih dan menangis pula kerana terluka. Kita tak tau disebalik senyuman seseorang tersembunyi 1001 macam di hatinya. Mungkin nampak saja baik tapi sebenarnya berhati syaitan. Aku harap kau faham apa yang aku ingin sampaikan. Aku tak nak kau bertepuk sebelah tangan,” nasihat teman baiknya tanpa berselindung.

Yasmin membetulkan kaca matanya. Dia kembali berpijak ke alam realiti. Senyuman dan keceriaannya hilang bagai disapu angin. Dia faham maksud kata-kata Rohana. Mana mungkin lelaki seperti Adam inginkan seorang kekasih seperti dia. Sedarlah diri tu Yasmin, lelaki yang bernama Adam itu bukan dicipta untuk kau. Seperti ada suara lain yang mengejek dirinya. 

“Ya Min faham Ana, terima kasih kerana mengingatkan Min. Kadang-kadang Min ni lupa cermin diri sendiri sebelum bercakap,” luah Yasmin ada nada kesal. 

Rohana mengeluh panjang, sekali lagi Yasmin memperkecilkan dirinya. Dia tidak sanggup melihat Yasmin kecewa. Kekecewaan dalam percintaan itu amat menyakitkan. Yasmin belum pernah merasai kehebatan cinta yang bisa membawa penawar dan racun.

“Aku tak bermaksud apa-apa pun Min, kau jangan terasa pula ya,” tutur Rohana dengan lebih berhati-hati. Risau dia kalau kata-katanya tadi membuat Yasmin tersinggung.

“Min faham janganlah risau tak ada apa-apa,” ucap Yasmin mula mempamerkan senyumannya.

PETANG itu Yusri Erdhan diserang rasa malas untuk balik ke banglo dua tingkat itu. Sebab utamanya dia tidak ingin bertembung dengan mamanya. Pasti keputusan yang dibuatnya telah pun diketahui. Mamanya pasti akan menyerangnya dengan pelbagai soalan dan meminta penjelasan darinya. Walaupun hatinya masih luka bernanah dengan kecurangan yang dilakukan oleh Amy tetapi untuk menceritakan kepada mamanya dia tidak sanggup. Setakat ini hanya Aidil saja yang mengetahui disebalik tabir kisah sebenarnya. Seperti selalu dia menelefon abang sulungnya Yusuf Emran untuk menjadi penyelamatnya.

“Kau dah gila Yusri, abang tak nak dengar mama mengamuk sakan lagi. Kau mesti hadiri makan malam ini sebab mama dah jemput keluarga Tan Sri dan Amy juga pasti ada. Apa yang papa dan mama harus jawab kalau kau tak ada nanti.” Nada suara abangnya kedengaran agak kesal.

Please abang, sekali je kali ni. Malaslah Yusri nak berdebat panjang dengan mama. Abang bukan tak tahu kalau dah jumpa mama. Tahi telinga pun boleh keluar kerana tak tahan dengar leteran mama tu,” ujar Yusri Erdhan. Yusuf Emran ketawa gelihati mendengarnya.

“Apa nanti Tan Sri dan Puan Sri akan fikir kalau tengok Yusri tak ada bersama dengan keluarga nanti. Keluarga Amy tu masih tak tahu lagi yang kau memang nekad nak putuskan pertunangan dengan anak mereka. Abang nasihatkan kau bincang perkara ni betul-betul dengan Amy sebelum berterus terang dengan mereka. Jangan sampai hal kau berdua putus tunang melarat sampai kepada orang tua masing-masing. Mama asyik tanya semua orang kenapa Yusri nak putuskan pertunangan. Yusri kena bersiap sedia kalau Mama tanya nanti,” ujar Yusuf Emran dengan panjang lebar. Masalah adik bungsunya ini membuat mereka sekeluarga semua pening kepala.

“Pasal itu abang tak perlu risau, sampai masanya Yusri akan jelaskan. Tapi untuk malam ini abang kena tolong sampaikan yang Yusri tidak dapat datang malam ni, dengan alasan abang sendiri ya,” rayu Yusri Erdhan lagi. Yusuf Emran diam seketika. Bukannya kali pertama Yusri Erdhan meminta tolong dengannya tapi sudah tidak terkata. 

“Baiklah ini yang last abang dapat tolong. Lain kali abang tak nak masuk campur lagi,” kata Yusuf Emran dengan tegas kali ini.

You are the best abang, thank you bro,” ucap Yusri Erdhan mengakhiri perbualan mereka ditalian.

WHAT!” Bagai satu ledakan Datin Ifa menjerit mendengar ucapan anak sulungnya Yusuf Emran. Suami Datin Ifa juga ada di situ.

“Abang... awak tengoklah anak bertuah tu. Dahlah dia kecilkan hati saya bertambah-tambah sedih saya dibuatnya. Eh! Apa kena dengan Yusri tu!” marah Datin Ifa. Wanita itu mundar mandir di depan suaminya yang juga pening memikirkan hal Yusri Erdhan. Yusuf Emran menggaru-garu kepalanya sambil memberi isyarat kepada ayahnya. Datuk Yaseer Ikhram mengarahnya beredar dari situ. Baru beberapa langkah Yusuf Emran mengatur langkah, Datin Ifa memanngil namanya. Segera dia berpaling kembali.

“Mama nak Yusuf telefon budak tu sekarang juga. Katakan pada Yusri mama nak dia sampai ke sini sebelum jam 6.00 petang nanti tanpa alasan pun,” arah mamanya dengan tegas. Terkedu Yusuf Emran mendengarnya. Mamanya benar-benar marah dan mengamuk. Mana mungkin dia dapat memujuk Yusri Erdhan. Dua anak beranak itu sama-sama keras kepala. 

“Apa hal dengan awak ni.. kalau Yusri tak dapat datang janganlah nak dipaksakan. Mungkin memang betul dia ke luar kota. Mesti ada kerja yang lebih mustahak selain daripada berada di meja makan malam ini. Lain kali kan boleh kita adakan lagi. Apa yang awak nak ribut-ribut begini. Nanti awak juga yang dapat penyakit,” ujar Datuk Yaseer Ikhram menyelamatkan anaknya daripada menjadi mangsa kemarahan isterinya itu. Bukan dia tidak kenal dengan sikap isterinya. Semua arahan mesti dipatuhi dan muktamad.

“Itulah abang terlalu ikutkan rentak budak tu, manjakan berlebih-lebih. Mana saya nak letak muka ni kalau Puan Sri dan Amy tanyakan tentang Yusri. Entah-entah mereka juga dah tahu pasal Yusri nak putuskan pertunangan.”

“Awak tu yang berlebih-lebih sangat, ini hal kecillah sayang. Cubalah bawa bertenang, bawa istighfar banyak-banyak. Ini asyik-asyik nak melenting, menjerit, marah-marah tak tentu pasal. Kita ni dah berumur tak bolehlah ikutkan emosi macam tu je, silap-silap kena serangan jantung,” debat Datuk Yaseer Ikhram mula tidak senang dengan sikap isterinya. 

“Sabda Nabi pernah berkata orang yang kuat ialah orang yang mampu menahan marah. Orang yang marah, jiwanya ditakluk Iblis. Kehambaan kepada Allah beralih kepada Iblis.” Suaminya berceramah.
Datin Ifa menghembuskan nafas kasar, bibirnya mencebik. Matanya bulat menganga. Hatinya semakin meluap-luap marah ditahan-tahannya.

“Buang masa dan tenaga saya bercakap kat semua orang dalam banglo ni, semua tak memahami kehendak saya,” bentak Datin Ifa lalu meninggalkan ruang tamu itu. Datuk Yaseer Ikhram terdiam terdapat sedikit senyuman di hujung bibirnya. Begitulah caranya dia menghadap isterinya yang sedang marah. Terlepas juga Yusuf Emran menjadi mangsa seterusnya. Namun Datuk Yaseer Ikhram ingin bersemuka dengan anak bungsunya yang membuat isterinya itu semakin tertekan. Dia juga inginkan penjelasan daripada Yusri Erdhan.

No comments:

Post a Comment