Sunday, April 17, 2011

Novel Kuseru Nur Kasih ~ Bab 1

Zaman Persekolahan – Sekolah Rendah Kebangsaan Pekan.

HARI itu adalah sesi taklimat untuk pementasan Puteri Gunung Ledang yang akan diadakan untuk majlis perpisahan dan penyampaian hadiah di akhir tahun persekolahan nanti. Semua murid yang terlibat mengambil tempat duduk masing-masing. Setiap pasang mata tekun memerhati dan leka mendengar taklimat yang disampaikan oleh Cikgu Rosni. Beliau yang akan membantu murid-murid yang terpilih itu menjayakan persembahan tersebut. Namun ada lagi yang membuat semua murid itu tidak sabar menunggu.

“Min kau rasa siapa yang layak pegang watak Puteri Gunung Ledang tu?” tanya Jamaliah berbisik. Matanya terus dihalakan kepada Cikgu Rosni yang sibuk memberi taklimat tersebut.

“Entah... mana aku tahu.” Yasmin menjawab sambil menjongket bahunya tanda tidak tahu.

“Ssshh!!” Rohana segera memberi tanda amaran diam kepada dua sahabatnya itu. Yasmin dan Jamaliah diam kembali menumpukan perhatian kepada taklimat Cikgu Rosni. Di dalam taklimat itu, Cikgu Rosni banyak menekankan soal disiplin dan penghayatan watak yang dipegang oleh setiap murid. Di samping itu Cikgu Rosni sempat menyingkap tentang lagenda Puteri Gunung Ledang agar semua murid yang terlibat faham dengan jalan cerita itu.

“Cikgu harap kamu semua datang tepat masa masanya dan jangan ada yang terlewat untuk menghadiri latihan pementasan Puteri Gunung Ledang ini nanti. Baiklah sekarang cikgu akan umumkan watak-watak yang akan dipegang oleh setiap murid.”

Belum sempat Cikgu Rosni mengumumkan watak-watak yang bakal disandang oleh murid-murid itu, tiba-tiba ketukan pintu mengalihkan niatnya. Semua mata tertancap ke muka pintu melihat pelajar tahun enam ini. Kaki pelajar itu terasa seram sejuk melihat seisi dewan itu memberikan perhatian kepadanya. Cikgu Rosni membetulkan kaca matanya agar terletak kemas di atas hidungnya. Wajahnya mula menunjukkan ketegasan seorang pendidik.

“Ini hari pertama cikgu beri penerangan tentang pementasan drama ini. Macam mana awak nak pastikan nanti yang awak dapat memberikan kerjasama sepenuhnya dan menjayakan persembahan ini kalau awak sendiri tidak tepati masa,” tegur Cikgu Rosni dengan lantang. Kedengaran suara-suara halus berbisik sesama rakan mereka. Dalam banyak-banyak murid itu Jamaliah dan Rohana paling jengkel melihat kehadiran pelajar itu. Mahu rasanya mereka mentertawakannya sambil menari bergelek suka di depan mata pelajar itu.

“Saya minta maaf cikgu. Saya janji tidak akan mengulanginya lagi dan akan lebih berdisiplin,” jawabnya dengan yakin. Cikgu Rosni mengangguk-angguk kepala seolah-olah percaya dengan janji pelajar itu.

“Sila masuk sekarang,” arah Cikgu Rosni. Dari jauh lagi dua orang temannya melambai-lambai tangan agar duduk bersama mereka. Dengan langkah pantas dia mengambil tempat duduk di antara Rina dan Linda.

“Apasal kau lambat?” soal Rina sambil matanya mengawasi Cikgu Rosni membelek-belek helaian kertas di tangannya. Semua sedia maklum dengan sikap tegas Cikgu Rosni yang pantang melihat anak muridnya tidak memberikan perhatian di dalam kelasnya.

“Aku ada hal tadi,” jawabnya dengan pantas dan separuh berbisik. Bola matanya memeriksa setiap murid yang terlibat dalam pementasan drama itu. Sasarannya terhenti kepada tiga orang murid yang duduk tiga baris ke belakang. Hatinya digeletek rasa lucu melihat keberadaan mereka. Jamaliah yang menyedari mereka diperhatikan oleh pelajar itu terus menjeling tajam. Lantas dia menyiku Yasmin dan memaklumkan kepada Rohana. Sakit hati mereka melihat senyuman sinis yang ditunjukkan kepada mereka.

“Ih! Tiga budak kampung tu berminat juga jadi pelakon drama ni. Apalah watak yang mereka dapat.” Rina dan Linda menyambut kata-katanya dengan ketawa kecil sambil menekup mulut mereka agar tidak kedengaran. Masing-masing berbual sesama sendiri mengumpat musuh mereka itu sementara menunggu pengumuman watak yang akan dibuat sebentar lagi. Sambil mengutuk dan menjeling ke arah mereka bertiga diiringi dengan senyuman sinis menyakitkan mata. Sakit hati Jamaliah melihat kelakuan tiga pelajar itu.

Ketika mikrofon berbunyi nyaring masing-masing kembali menumpukan perhatian kepada Cikgu Rosni yang masih berada di atas pentas dengan sehelai kertas di tangannya. Guru berbadan gempal itu mula mengumumkan satu persatu watak yang akan disandang oleh murid-murid yang terlibat. Tidak semua pelajar yang hadir itu dipilih menyertai pementasan itu. Apabila sampai kepada Jamaliah, Yasmin dan Rohana mereka menyambutnya dengan lapang dada. Watak sebagai dayang istana tidaklah sukar untuk dibawa. Namun senyuman sinis dari tiga pelajar yang duduk tiga baris ke hadapan mereka terus mengganggu tumpuan mereka.

MELIHAT langit dilindungi dengan awan kelabu. Berarak dengan angin dingin menandakan petang itu bila-bila masa akan berubah cuaca. Menyedari keadaan itu laju langkah mereka bertiga menuju ke rumah masing-masing. Sesekali mereka disapa dengan bunyi loceng basikal teman sekolah mereka. Ingin sekali juga memiliki basikal BMX seperti rakan mereka namun pendapatan keluarga tidak mengizinkan mereka berbuat demikian. Setiap hari mereka bertiga berjalan kaki ke sekolah bersama-sama dan sebaliknya.

“Alaaaa.. siapa lagi Amelia tu lah” jawab Jamaliah.

“Buat tak tau je la, memang nasib dia yang dapat pegang watak Puteri Gunung Ledang. Lagi pun dia memang cantik antara kita semua memang sepatutnya layak dapat watak tu,” ujar Rohana. Mendengar kata-kata Rohana langkah Jamaliah terhenti. Matanya membulat menerkam wajah Rohana. Yasmin juga tersentak dengan rentak Jamaliah itu.

“Siapa kata kita tak cantik! Mak aku kata Tuhan ciptakan kaum hawa dengan secukupnya yang kurangnya adalah datang dari sikap manusia itu sendiri. Tolong tarik balik kata-kata kau tu. Tak ingin aku nak lebihkan musuh aku tu. Apa kurangnya kita. Sebab dia anak orang kaya je,” sangkal Jamaliah dengan marah dan tegas.

“Aku bukan bermaksud begitu,” ujar Rohana perlahan. Dia mula serba salah dengan kenyataannya sebentar tadi. Bukan dia tidak tahu dengan sikap Jamaliah pantang sekali direndah-rendahkan apalagi yang berkaitan dengan Amelia dan teman-temannya itu. Yasmin hanya berdiam diri dari tadi tidak bersuara. Begitulah dia walaupun dengan teman-temannya. Lebih banyak mendengar dari mengulas atau memberi sebarang pendapat. 

Namun diam-diamnya ubi berisi. Otaknya ligat berputar meneliti isi perbualan teman-temannya itu. Tiba-tiba bunyi hon kereta BMW mengejutkan perbualan mereka. Serentak mereka bertiga berpaling ke belakang melihat kereta yang agak kasar bunyi deruman enjinnya. Cepat-cepat mereka memberi laluan kepada kereta itu. Ketika kereta keluaran luar negara itu lalu, cermin kereta di bahagian belakang diturunkan otomatik dan tersembul wajah sinis Amelia menatap mereka satu persatu.

“Kasihan dayang-dayang istana merangkap gundik Sultan Melaka terpaksa berjalan kaki.. sekejap lagi ada yang kehujanan”, ejek Amelia dengan ketawa nyaringnya dari dalam kereta.

Meluat Jamaliah mendengar ejekan Amelia yang dianggap satu penghinaan dan sengaja mengundang kemarahannya. Rohana mencebik bibir geram dengan sikap sombong Amelia. Kaki kanannya dihentak ke tanah melampias kemarahannya. Hanya Yasmin sahaja bersikap tidak peduli dan mendiamkan diri lebih suka menjadi pemerhati.

Amelia sempat menoleh ke belakang sambil menjelir lidah kepada mereka bertiga. Puas hatinya mengerjakan mereka. Bibirnya mengurai deraian tawa. Dia cukup tahu kalau mereka bertiga tidak pernah suka dengan dirinya. Jamaliah, Rohana dan Yasmin hanya mampu memandang tawa dan ejekan Amelia berlalu begitu saja.
Pemandu kereta yang membawa Amelia melirik sikap anak majikannya melalui cermin pandang sehala ke belakang. Hairan dia dengan sikap Amelia tidak berubah-ubah. Kalau ditegur dia yang akan dimarah. Dia menggeleng kepala sendiri. Ini bukan kali pertama dia melihat Amelia mengejek atau menghina teman sekolahnya itu. Sudah berpuluh-puluh kali dia melihat dan mendengarnya sendiri.

PANTAS Yasmin masuk ke dalam tandas. Melihat jam di tangannya masih ada beberapa minit lagi akan bermula waktu kelasnya. Tiba-tiba dia mendengar pintu bilik tandas itu dibuka dengan kasarnya. Telinganya menangkap suara anak murid yang masuk ke dalam bilik air. Setiap isi perbualan mereka didengar dengan teliti. Sah mereka ialah Amelia dan dua sahabatnya itu.
”Menyampah aku tengok tiga budak kampung tu ada hati nak ikut drama Puteri Gunung Ledang sekolah kita,” kata suara sahabat Amelia. Yasmin diseru cemas ketika menangkap topik perbualan itu. Serba salah dan tersinggung dengan ucapan yang lebih mengejek keperibadian dan kredibiliti mereka. Lebih parah lagi dia harus keluar dari bilik air itu dan berhadapan dengan mereka. Jam di tangannya dilihat berkali-kali, kecut perutnya untuk bersemuka dengan mereka.

'Memang dasar penakut' itulah yang selalu dikatakan Jamaliah kepadanya. Tidak pernah berubah kalau berdepan dengan musuh-musuhnya. Ketika otak dan hatinya sering bersoal jawab telinganya sempat menangkap lagi topik yang hangat dibicarakan.

“Sebenarnya itik-itik kampung tu perasan nak jadi Puteri Gunung Ledang. Tak sangka pula jadi dayang-dayang istana.” Ucapan itu disambut dengan deraian ketawa.

“Tapi yang aku paling pelik binti ajaib mahu juga Yasmin tu terlibat dalam drama. Selalunya segala aktiviti sekolah kita dia yang selalu tidak ambil peduli. Ada hati nak jadi Puteri Gunung Ledanglah tu. Padahal muka macam cekodok hangus.” Kedengaran lagi ketawa mereka tanpa henti.

Terusik hati kecil Yasmin. Memang patutlah Jamaliah dan Rohana membenci mereka. Cakap selalu tidak pernah bertapis. Bangga dengan sikap bongkak dan ego mereka. Menghina dan memperkecilkan kebolehan orang lain sudah lumrah bagi mereka. Kepalanya digaru-garu kasar kerana jarum jam di tangannya semakin hampir habis waktu. Hanya beberapa minit saja lagi waktu kelasnya akan bermula. Tangannya terus menadah berdoa agar mereka keluar cepat dari situ. Namun tiada tanda-tanda mereka akan beredar malah semakin rancak bergosip. Dengan berat hati dia membuka engsel pintu tandas dan memberanikan diri berhadapan dengan mereka.

Linda dan Rina terperanjat melihat dirinya kecuali Amelia yang langsung tidak mempunyai perasaan bersalah. Segera Yasmin mengangkat kaki dari situ namun tindakan Amelia menghalangnya lebih pantas. Yasmin terkejut dengan tindakan Amelia. Hampir saja dia menjerit.

“Ooo... kau curi dengar dan mengintip kami tadi,” tuduh Amelia. Dia menunjal kepala Yasmin berkali-kali. Matanya tajam terus meratah wajah Yasmin yang sudah ketakutan.

“Ti..tidak,” jawab Yasmin sambil menggeleng-geleng kepalanya. Sekali lagi Yasmin ingin keluar dari bilik air itu namun tetap dihalang oleh Amelia. Tubir matanya sudah hangat. Debaran kencang bagai dipalu.

“Kau tidak boleh keluar dari sini kecuali ada satu hadiah untuk kau terima.” Amelia mula menunjukkan belangnya. Dia memberi isyarat kepada Rina yang memang faham dengan arahan itu. Ketika Amelia mengajak Yasmin bersoal jawab, Rina perlahan-lahan melekatkan kertas di belakang baju kurung Yasmin. Linda menekup mulutnya sebaik saja melihat ayat yang ditulis pada kertas itu.

“Sekarang kau boleh keluar,” arah Amelia dengan mata yang galak. Yasmin yang tidak tahu apa-apa terus berlari keluar dari bilik air itu. Jantungnya berkobar-kobar takut bila berhadapan dengan Amelia seoalah-olah dia mempunyai kuasa sihir yang jahat.

Ketika dia melalui beberapa kelas, semua pelajar tersipu-sipu melihat dia. Ada yang terus ketawa sambil menuding jari kepadanya dan juga berbisik-bisik sesama sendiri. Dia semakin bingung dan mulai cemas dengan setiap pelajar yang berselisih dengannya pasti mentertawakannya.

“Hoi! Muka macam kau ada hati nak jadi Puteri Gunung Ledang.. pehlah!” ejek satu suara pelajar lelaki yang memang terkenal dengan kenakalannya di sekolah itu. Semua pelajar yang ada di sekitar itu mentertawakannya seolah-olah telah berpakat untuk menyakitkan hatinya. Yasmin menggelabah. Matanya mula berkaca-kaca. Tiba-tiba sahaja semua orang memandang rendah dan mengejeknya.

“Cerminlah muka tu dulu!” ejek pelajar lain pula. Semakin rancak situasi itu menghentamnya sehingga Yasmin kalah dan bercucuran air matanya keluar. Langkahnya cepat menuju ke kelasnya dengan deraian air mata. Sampai di kelas dia mengambil tempat duduknya sebaik saja guru kelas masuk dan semua murid berdiri memberi salam hormat.

Namun setelah itu keadaan di dalam kelas menjadi semakin gamat dengan suara ketawa. Masing-masing memandangnya dengan gelihati dan menunjuk-nunjuk kepadanya. Air matanya tadi yang berhenti kembali mengalir dengan lebih deras. Cikgu Atikah kehairanan dengan situasi itu. Lantas dia mengetuk meja beberapa kali mengawal keadaan di dalam kelasnya.

“Apa yang sedang berlaku ni?” soal Cikgu Atikah untuk mencari tahu. Matanya segera menangkap kepada murid kesayangannya yang sedang tersenguk-senguk menangis. Cikgu Atikah segera mendekati Yasmin dan dilihatnya ada sehelai kertas dilekat di belakang baju kurung Yasmin. Nota kertas itu segera diambil lalu dibaca dengan kuat-kuat

“AKU NAK JADI PUTERI GUNUNG LEDANG”. Serta merta semua murid ketawa kecuali Jamaliah dan Rohana yang sakit hati melihat adegan sahabat karib mereka ditertawakan.


KENAPA tadi kau tak berterus-terang yang semua ini angkara Amelia dan kuncu-kuncunya itu.” Jamaliah mengetap bibir dan mengepal-ngepal tumbukan di tangannya. Sakit hatinya mendengar cerita Yasmin sebentar tadi.

“Lain kali kau kena berani Min. Sampai bila kau harus bersikap begini. Takut kau tu tidak bertempat.” Rohana juga tidak berpuas hati dengan ulah Amelia dan rakan-rakanya. Yasmin masih tersengguk-sengguk menangis sambil mengelap deraian air matanya yang mengalir di pipi. Hidungnya berair dan kemerahan segera digosok dengan tisu.

“Kau janganlah menangis lagi. Lain kali panggil kami je ajar mereka” ujar Jamaliah sambil mengangkat tangannya dengan megah seolah-olah srikandi melayu zaman dahulu kala. Melihat Jamaliah mengangkat sebatang pembaris panjang 30sm membuat Yasmin tersedak dengan ketawa. Jamaliah seperti srikandi dengan pedangnya. Lagak nya itu membuat mereka bertiga ketawa terrhenjut-henjut.

No comments:

Post a Comment