Sunday, April 17, 2011

Novel Kuseru Nur Kasih ~ Bab 3

3
Hari ini...


MESYUARAT hari itu adalah yang kali ketiga diadakan atas tujuan untuk membincangkan agenda majlis makan malam amal yang turut ditaja oleh beberapa syarikat gergasi. Perbincangan itu dipengerusikan oleh Tan Sri Zain. Semua ketua bahagian mengambil tempat duduk masing-masing. Hanya Pengurus Pentadbiran saja yang tidak dapat hadir dan menghantar pegawainya sebagai wakil. Mesyuarat yang julung kali dihadiri oleh Yasmin berasa agak kekok dan gugup untuk bersama dengan ahli jawatankuasa mesyuarat itu. Dia terpaksa menggantikan tempat Encik Rahmat kerana terpaksa menghadiri satu seminar yang penting di luar kota.

Perbincangan telah dimulakan dengan menyentuh tentang senarai syarikat yang telah mengambil bahagian dalam majlis amal akan datang nanti. Yasmin lebih banyak mendengar dan memerhati setiap perbincangan itu. Kekadang ibu jarinya menekan pen di tangannya untuk memasukkan mata pen. Kemudian menulis sesuatu di buku nota jika ada maklumat yang penting untuk makluman Encik Rahmat nanti. Masing-masing memberi pendapat dan penerangan mengenai agenda majlis tersebut.

Yasmin agak terperanjat apabila Ketua Eksekutif Kanan itu menyebut namanya. Lantas semua mata memandangnya menunggu reaksi dari dirinya. Jantungnya bagai dipalu-palu kompang berada dalam situasi itu. Jari jemarinya dingin bagai berada di kutub utara. Situasi formal begini mendera akal fikirannya. Mengingatkan kembali dia adalah seorang pegawai harus bersikap profesional. Dia gagahi juga agar dirinya dapat mengawal keadaan itu. Yasmin hanya melemparkan senyuman walaupun dalam kegelisahan.

“Ya Tan Sri.” Nada suaranya kedengaran sempurna. Yasmin berjaya mengawal kegelisahannya

“Bagaimana dengan ketua bahagian awak. Ada tak dia kata apa-apa mengenai senarai jemputan VIP kita nanti?” Pandangan tajam Tan Sri Zain terus meratah pegawai itu. Yasmin menelan air liur.

“Mengenai senarai tu Encik Rahmat dah siapkannya. Senarai tu ada diberikan kepada saya,” beritahu Yasmin sudah kedengaran gementar.

Kaca matanya dibetulkan beberapa kali. Dia segera mencari senarai tersebut di dalam isi failnya. Kegugupannya makin merayap sekujur badannya. Jasadnya berlagak menjadi tidak normal. Di dalam hatinya menyumpah-nyumpah kerana selalu tidak dapat mengawal dirinya bila berhadapan dengan golongan korporat. Satu demi satu kertas diselaknya mencari senarai jemputan itu namun tidak kelihatan. Dia semakin cemas bila deria pendengarannya menangkap ketawa sinis mengejek dirinya.

“Ma..maaf Tan Sri tadi ada dalam fail ini Tapi sekarang dah tak ada,” ucap Yasmin menggelabah. Tangannya terus memeriksa kertas-kertas yang dibawanya sehingga ada beberapa helai yang jatuh ke lantai. Tan Sri Zain hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya. Ketara sangat Yasmin seorang yang mudah panik dengan situasi begitu.

“Beginilah nanti lepas mesyuarat ini berikan kepada Mimi. Saya tak nak mesyuarat hari ini mengambil masa yang lama hanya kerana melihat awak mencari senarai itu,” tempelak Tan Sri Zain. Yasmin menelan air liur. Telinganya terasa panas.

“Mmmaafkan saya Tan Sri,” gugup Yasmin lagi. Di dalam hatinya dia memaki hamun kepada dirinya kerana tidak memeriksa sebelum masuk ke dalam bilik itu. Perbincangan diteruskan lagi dengan mengupas setiap topik yang menjadi bahan penting. Jelas sekali mereka semua berketrampilan korporat, tenang, komited, berkeyakinan dan profesional dalam tugas mereka masing-masing. Terdetik di hatinya andai saja dia dapat menunjukkan keyakinan di depan umum. Yasmin mengeluh dalam diam kerana ini bukan kali pertama dia bersikap demikian.

“Saya rasa semuanya dah jelas dan terang mengenai mesyuarat kita hari ini. Majlis makan malam amal itu harus mendapat liputan di seluruh media cetak dan elektronik. Saya ingin melihat majlis ini mendapat perhatian umum khususnya nama syarikat ini. Kita harus kaut keuntungan daripada majlis ini sendiri. Keuntungan yang saya maksudkan bukan wang ringgit tetapi reputasi daripada syarikat ini,” terang Tan Sri Zain dengan jelas.
Selesai perjumpaan itu, masing-masing mengangkat kaki keluar dari bilik mesyuarat itu. Tinggal Yasmin yang masih duduk di meja bujur panjang itu sengaja memberi laluan kepada pegawai atasan. Yasmin menarik nafas panjang untuk menenangkan perasaan gementar yang masih ada sisanya. Benci dia dengan dirinya yang tidak pernah berubah.

Yasmin kembali ke pejabatnya dengan wajah muram. Semangatnya hilang setelah selesai mesyuarat itu. Minda dan hatinya saling bersoal jawab mengenai dirinya. Direbahkan tubuh yang tidak bermaya di atas kerusi empuk baldu hitam itu. Deria pendengarannya menghantar mesej kepada otaknya lalu matanya melihat sekeliling pejabat itu. Matanya tersorot ke arah kerusi baldu hitam milik eksekutif bahagian itu. Kemudian matanya beralih kepada secebis kertas berupa nota di atas mejanya. Kertas itu dibacanya. Patut sunyi rupanya semua orang tiada di pejabat.

Kedengaran pintu bilik diketuk lalu muncul seorang kerani masuk ke dalam pejabat itu. Kerani dari bahagian akaun itu datang dengan fail yang dikepitkan ke dada. Gadis itu memberikan senyuman kepadanya. Spontan dia membalasnya.

“Macam mana dengan meeting tadi? Ada maklumat baru tak?”soal Fauziah yang terus duduk di kerusi depannya. Yasmin melepaskan keluhannya. Fauziah tertarik dengan reaksi itu. Terus terang Yasmin sebenarnya ingin melupakan episod dalam bilik mesyuarat itu. Dia memberikan senyuman hambar.

“Kenapa ni?” tanya Fauziah

“Mmm... entahlah rasanya tiada yang maklumat pun perlu dikongsi. Semuanya topik perbicangan biasa je selain daripada staff macam Min ni yang tak popular lagi banyak menyusahkan,” luah Yasmin.

“Lain macam je bunyi tu. Dah lah kita kan kerja kat pejabat hartanah bukan keje kat dunia hiburan nak jadi popular pula,” usik Fauziah cuba menghiburkannya. Gadis itu rajin menyapanya dikala waktu bertugas. Dia tidak nafikan dirinya tidak mempunyai ramai teman di syarikat itu.

“Jangan-jangan Min ni kena sumpahan tak. Apa kerja yang Min buat semuanya menjadi tak kena ada je benda yang boleh jadikan bahan ketawa,” luah Yasmin lagi. Fauziah ketawa mendengarnya.

“Merepeklah Min ni. Sebenarnya masalah yang kau hadapi tu kecil je tak perlu diperbesarkan. Kalau difikirkan sangat itu yang janji beban pada hati dan fikiran kita.” Yasmin berfikir-fikir sendiri menilik jawapan teman sepejabatnya itu.

”Mungkin pasal Min low profile,” duga Yasmin. Dia yakin kalau penampilan dirinya tidaklah sehebat dengan pegawai wanita yang ada di syarikat itu. Bahkan untuk membandingkan dia dengan Fauziah yang hanya kerani di syarikat itu juga pastilah dia akan kalah. Fauziah menggeleng-geleng kepala kepadanya lalu ketawa lagi.

“Kau ni merepek tak tentu pasallah Min. Kenapa pula syarikat ambil Min bekerja kalau itu yang dipentingkan. Sebenarnya takde benda apa pun. Min tu je berlebihan sangat. Fikir yang bukan-bukan” ujar Fauziah.

“Hmm..”

“Oh iya aku sebenarnya nak hantar memo ni untuk Encik Rahmat tapi dia takde kau saja terima bagi pihak dia. Initial je bahagian tanda terima kat buku ni.” Fauziah menghulurkan buku yang disediakan kemudian menghulurkan memo itu. Gadis kecil molek tu masih tidak berganjak dari tempat duduknya. Yasmin memandangnya sambil berkerut dahi.

“Aku nak tanya kau ni tapi kau sibuk tak?” soal Fauziah.

“Sibuk tu memanglah sibuk tapi kalau sekadar bertanya saja Min sedia mendengarnya,” kata Yasmin.

“Majlis tu nanti kan tak lama lagi akan berlangsung. Malam tu kau nak pakai apa? Kalau kau tiada pakaian yang sesuai aku boleh bantu kau cari.” Yasmin menghela nafasnya. Baru dia terfikir tentang majlis itu. Tapi dia wajib datang ke. Boleh ke kalau dia tidak datang.

“ Min pun tiada idealah Fauziah. Tapi Min wajib datang ke?”

“Semua staff terlibat dalam majlis tu tau mestilah kena datang, aku bukannya apa sekadar nak tolong kawan. Lagipun aku dan kawan-kawan yang lain juga ada plan nak cari baju nanti kau bolehlah ikut sekali. Yelaa... malam tu kan kita kena berpenampilan menarik. Ramai tetamu terhormat yang hadir tu. Manalah tau ada juga yang melirik kat kita ni bertuah badan.” Makin seronok Fauziah bercerita. Yasmin memandangnya dengan bersahaja.

Memang dia setuju sekali kalau dia adalah seorang yang paling kolot dalam penampilan dan dandanannya. Apalagi kalau memilih pakaian di majlis seperti itu. Dia selalu berfikir itu bukanlah sesuatu yang paling penting dalam hidupnya. Walaupun jauh disudut hati dia juga ingin kelihatan seperti wanita-wanita di majalah yang dilihatnya.

“Terima kasih sajalah Fauziah nanti Min fikirkan dulu,” kata Yasmin mula membuka fail yang tersusun rapi di atas mejanya. Melihat Yasmin menyambung pekerjaannya semula, Fauziah terus bangkit dari kerusi itu.

“Kalau kau perlukan apa-apa bantuan jangan malu-malu datang kepada aku. Kitakan kawan mesti saling membantu.” Yasmin tersenyum lagi. Senang dia mendengar ucapan gadis itu. Sekurang-kurangnya ada juga hamba Allah di syarikat itu yang ingin berkawan dengannya.

DI sebelah petang Yasmin bersiap sedia menunggu kedatangan dua orang pegawai syarikat itu. Selama dua jam Yasmin sibuk berbincang dengan pegawai dari bahagian pemasaran itu. Dikerlingnya jam di tangan salah seorang pegawai itu sudah hampir 4.30 petang. Topik perbincangan mereka mengenai penyusunan rangka organisasi yang diperlukan untuk proses tender yang baru. Di samping itu mengemaskinikan profil syarikat sebelum diajukan kepada Tan Sri Zain. Setelah berpuas hati dengan hasil perbincangan itu pegawai itu meminta izin untuk mengakhirinya dan beredar dari situ. Lega rasanya setiap kali dia dapat mengakhiri perbicangan dengan baik. Matanya segera menangkap lampu telefon berkelip-kelip dengan deringan yang agak perlahan. Pantas tangannya menyambar gagang telefon itu.

“Hello.. Yasmin bercakap boleh saya bantu,” tuturnya dengan mesra.

Boss I nak jumpa awak sekarang juga,” arah suara perempuan itu dengan tegas. Yasmin cukup mengenali pemilik suara itu.

“Baiklah saya akan datang sekarang”.

Gagang telefon diletakkan kembali ke tempat asalnya. Hatinya kembali berdebar-debar dengan arahan itu. Yasmin menarik nafas panjang lalu menuju ke tingkat bawah bahagian pengurusan. Sampai di ruangan itu, setiausaha itu sedang bergayut di telefon. Kehadirannya di situ langsung tidak dihiraukan. Bosan dia menunggu dan diperlakukan begitu.

Dia sempat melihat beberapa orang pegawai di sudut lain sedang tekun melakukan tugas masing-masing. Hampir 15 minit dia berdiri di situ bagai tunggul kayu yang tidak berguna. Sakit hatinya melihat gadis sombong yang satu ini mengada-ngada lagaknya. Kalaulah dia ada keberanian ingin sekali dia meletak kembali gagang telefon itu dan memarahi gadis itu kerana menyalahgunakan kemudahan pejabat pada waktu yang tidak sesuai. Yasmin memberanikan diri untuk mengetuk pintu bilik Tan Sri Zain. Belum sempat dia berbuat demikian suara gadis itu terus menegahnya.

You ingat itu bilik bapa kau ke nak main serbu-serbu begitu je,” tengking Mimi dengan angkuh. Yasmin menggeleng-geleng kepala.

“Bukan begitu sebenarnya saya tak nak ganggu Cik Mimi yang sedang sibuk sebab itu saya ingin terus jumpa Tan Sri,” terang Yasmin. Mimi bercekak pinggang dengan kening yang bertaut di hadapannya. Lagaknya bagai seorang boss besar memarahi pekerja bawahan. Sejak dia bergabung tenaga dengan syarikat itu tidak pernah Mimi menunjukkan kemesraan kepadanya. Ada saja alasan yang dijadikan untuk memarahi dirinya. Apa dosanya sampai dia begitu dibenci sekali oleh gadis yang tidak kurang cantiknya itu. Mimi merengus kasar. Segera dia menekan butang interkom lalu memaklumkan kedatangan Yasmin. Kedengaran suara Tan Sri Zain memberikan kebenaran untuk masuk.

“Sekarang baru you boleh masuk,” arah Mimi dengan angkuh.

“Terima kasih,” balas Yasmin. Pandangan Mimi terus menemaninya sehinggalah dia masuk ke dalam bilik Tan Sri itu. Mimi sempat mengajuk cara ucapan Yasmin kepada teman-temannya yang melihat situasi itu. Mereka semua maklum kalau Mimi tidak pernah menyenangi gadis berkaca mata tebal itu. Mimi mendekati meja salah seorang pekerja di situ.

“Tengoklah dressing dia hari ini, nenek aku kat kampung tu lagi pandai bergaya tau,” kutuk Mimi tidak puas-puas.

“Engkau ni kalau tak kutuk Yasmin tu dalam sehari tak sah agaknya. Kesian juga aku tengok dia tu.. Bukannya dia pernah kacau hidup kau pun,” bela Suhaila. Bibir Mimi tercebir ke depan. Baru kali ini dia mendengar Suhaila membela gadis itu.

“Apa angin you hari ini? Demam ke? Atau you pun nak join group gadis kampung terakhir tu.” Suhaila tidak memandang wajah Mimi. Dia lebih menumpukan perhatiannya pada skrin di komputernya.

“Baik sambung keje kau tu daripada buat dosa kering je,” tempelak Suhaila selamba.
Dahi Mimi berkerut kemudian ketawa yang sengaja dibuat-buat. Segera dia kembali ke mejanya. Meluat dia tengok pembela Yasmin yang tak bertauliah itu.

Di dalam bilik tuan punya syarikat itu matanya meneroka keadaan sekeliling pejabat itu. Pertama kali dia memasuki bilik itu. Selalunya dia dapat menjejak kakinya di meja Mimi yang sombong itu. Mengenangkan kembali sikap dingin Mimi hatinya menjadi sedih. Setahunya tidak pernah dia menyakiti atau tersalah cakap dengan gadis yang sering berpakaian seksi itu. Pandangannya kembali tersorot kepada wajah lelaki yang bertubuh gempal sebaik saja dia mendengar batuk kecil lelaki itu. Yasmin diserang serba salah apabila Tan Sri Zain memandangnya dengan pandangan tajam.

“Kenapa awak ambil masa yang lama untuk datang berjumpa dengan saya?” soal Tan Sri Zain dengan tegas.

“Er..er..” gagap Yasmin untuk menjawab soalan Tan Sri Zain.

“Lain kali kalau saya panggil datang dengan segera. Banyak lagi urusan saya selain menunggu kedatangan awak. Awak telah buang masa saya selama hampir 20 minit. Ini syarikat bukannya rumah yang awak boleh buat sesuka hati. Lain kali saya tak nak perkara macam ini berulang lagi... faham!” marah Tan Sri Zain tanpa mengetahui hal yang sebenarnya. Yasmin mengesat dahinya walaupun tiada peluh. Seluruh tubuhnya bagai digoreng dengan minyak panas menggeletar melihat ketegasan Tan Sri Zain di hadapannya. Ingin sekali dia menerangkan hal sebenarnya namun tiada keberanian yang selalu menjadi penghalang dirinya.

“Fa.. faham Tan Sri,” balasnya dan berusaha untuk mengawal dirinya. Ditariknya nafas beberapa kali kemudian dihembus perlahan-lahan. Itu yang selalu dilakukan setiap kali dia dilanda pelbagai perasaan yang mematikan akal fikirannya.

“Saya nak awak berikan teks ucapan ini kepada Encik Rahmat dan minta dia tambahkan lagi tiga perenggan mengenai kepentingan modal insan yang berkaitan dengan sumbangan pada majlis ini nanti,” arah Tan Sri Zain memberikan arahan. Yasmin hanya mengangguk-angguk faham sambil melihat rangka ucapan teks yang ditunjukkan.

“Semak kembali isi keseluruhan teks ucapan ini. Saya tak nak ada cacat celanya. Tolong kembalikan kepada saya secepatnya,” terang Tan Sri Zain lagi.

“Baik Tan Sri,” balasnya. Pantas dia mengambil kertas ucapan yang dihulurkan Tan Sri Zain. Lelaki berpenampilan gaya korporat itu mendongak memandangnya kemudian melayari skrin laptop jenama Samsung X360-34P.

“Aaada apa-apa lagi Tan Sri?”

“Kalau boleh awak libatkan diri sekali dalam merangkai ayat teks ucapan itu. Bentangkan idea-idea bernas awak agar teks ucapan ini membuat para hadirin yang hadir terpukau. Jika ada sebarang masalah boleh rujuk kepada saya kembali atau ketua bahagian awak,” arah Tan Sri Zain. Plastik fail jernih itu diserahkan kepadanya agar memasukkan kertas ucapan itu ke dalamnya. Yasmin menguntum senyuman. Dia kembali bersemangat dengan kepercayaan yang diberikan kepadanya. Sememangnya tugas sedemikian yang amat disukainya. Memerah idea di atas sekeping kertas. Walaupun pengalamannya masih cetek tetapi ia merupakan satu cabaran.

“Terima kasih Tan Sri kerana memberikan kepercayaan kepada saya,” ucapnya bersungguh-sungguh.

“Sama-sama,” balas Tan Sri Zain tetapi dengan nada tegas. Sikap yang membuat Yasmin kurang senang. Dia resah kembali mungkinkah majikannya ini akan menilai prestasinya kerana kerap kali membuat lelaki itu hampa. Peluang ini harus digunakan dengan sebaik-baiknya agar dia tidak dipandang remeh.

“Sama minta diri dulu Tan Sri.” Yasmin tunduk hormat lalu berdiri dari kerusinya. Makin lama dia berada di dalam bilik itu makin banyak perasaan yang menghantui jiwanya.

“Jangan lupa mengenai senarai jemputan tetamu penting itu, saya perlu lihat senarai itu sebelum kad undangan diedarkan,” pesan Tan Sri Zain menyebabkan Yasmin tidak jadi memulas tombol pintu kayu keras itu. Badannya berpaling menghadap lelaki korporat itu. Tan Sri Zain kembali memandangnya. Lelaki itu benar-benar menunjukkan ketegasannya. Yasmin menelan air liur dia terlupa menyerahkan senarai jemputan tetamu penting yang seharusnya dia lakukan setelah selesai mesyuarat itu.

“Awak ni keje kecik macam tu pun awak tak boleh lakukan. Bila awak nak bagi senarai tu? Bulan depan? Tahun hadapan? Saya paling tak suka benda remeh macam ni pun saya patut ulang beberapa kali,” kritik Tan Sri Zain.

“Ma..maafkan saya Tan Sri saya akan serahkannya se..sebentar lagi.” Yasmin menelan air liur.

Tan Sri Zain mendongak memandangnya. Wajah Yasmin benar-benar dalam keadaan serba salah. Hari ini banyak kerjanya serba tidak kena. Yasmin mengeluh sendirian di dalam hati.

No comments:

Post a Comment