Saturday, August 28, 2010

P/s: Maaf ini bukan novel terbitan mana-mana penerbit dan cover adalah kerja kreatif Cik Ilya manis sudah membantu saya. JSN adalah sebuah karya thriller seram masih sedang dalam penilaian Buku Prima. Semoga penilaian membawa hasil positif. andai tidak ada rezeki kenalah cari ikhtiar di tempat lain.



Sinopsis.


Mendengar nama Hutan Kalawari saja membuat bulu tengkuk merinding dek urban legendnya yang sering diwarwar dari satu generasi ke satu generasi. Namun rancangan pelajar kampus UMS sebagai salah satu aktiviti Kelab Pencinta Alam tidak menghalang mereka mempunyai ekspedisi menelusuri khazanah dalam hutan yang dianggap berpuaka.
Luqman adalah pemimpin kelab tersebut menjadi rebutan dua pelajar kampus dan sering bertelaga semata-mata ingin menakluk hatinya. Isabella gadis bermata runcing berfahaman 'pemikir bebas' begitu berminat kepada dunia ilmu sihir dan misteri. Sedangkan Engku Aleeyah gadis Melayu tidak pernah berputus asa meraih kasih Luqman. Sepanjang berada di hutan itu bermacam-macam kejadian pelik berlaku dan menyeramkan. Hinggalah suatu hari Isabella disahkan hilang dari lokasi perkhemahan. Selama sebulan pihak berkuasa dan media massa membuat liputan mengenai kehilangan gadis itu membawa kepada tragedi hitam tak bisa dilupakan Luqman, Engku Aleeyah dan teman-temannya. Isabella bagai ditelan Hutan Kalawari membawa persoalan misteri tak bisa diungkapkan.
Sehinggalah lima tahun berlalu, sesuatu telah kembali menghantui mereka tepat setelah selesai Majlis Malam reunion di sebuah hotel terkemuka. Satu demi satu teman-teman Luqman hilang setiap kali bulan purnama penuh. Pihak polis semakin buntu dan tertekan dek kes menemui jalan buntu. Pelaku seolah-olah bersifat halimunan dan setiap maklumat berbaur paranormal yang tidak jelas. Apakah sebenarnya yang telah terjadi ke atas kehilangan Kamarul, Haziq, Aizat, Shafiq, Miranda, Sherry dan termasuk Engku Aleeyah sendiri. Bagaimana kisah cinta Luqman dengan Engku Aleeyah berakhir? Malah telah membongkar satu rahsia besar menjadi keresahan umat manusia tentang kesatuan yang berkurun-kurun lamanya sudah didirikan.

Thursday, July 15, 2010

ILHAM DATANG LAGI!

Entah mengapa tiba-tiba tercetus pula satu ilham di kepala saya tentang satu kisah cinta humor. Padahal saya sama sekali tidak ada bakat untuk menghasilkan dialog-dialog berbentuk komedi. Tapi kalau tidak mencuba siapa akan tahu kalau boleh dihasilkan ke tidak.
Demi mempelbagaikan karya yang sedia ada lalu dengan semangat yang berkobar-kobar tetapi entah menjadi ke tidak humornya. Diam-diam saya sudah pun merangka-plot-tulis ilham yang datang dijadikan dalam bentuk manuskrip. Cubalah kan. Mana tahu ada rezeki.
Nak saya cerita 'ilham' yang saya maksudkan. Hehe! Tetiba di suatu pagi saya rindukan filem Allahyarham P Ramlee pulak. Tiga Abdul. Bukankah pelik tu. Entah macam mana terfikir nak menjadikan sebuah kisah TETAPI bukan tentang Tiga Abdul. Hish! tak baik tau copycat. Hanya sekadar ilham datang dari situ. Cerita belum buat tetapi judul dah ada. Macam mana tu? Mula-mula terfikir MENANTU OH MENANTU.. tapi rasanya pernah nampak judul tu kat mana-mana. Kurang pasti pulak. Kalau memang judul tu dah ada digunakan. Pilihan kedua pula, TIGA SITI. Amacam, okey tak? Hehe. Inilah dia semangat nak menulis, cerita belum buat dah ada judul.


MENANTU OH MENANTU @ TIGA SITI tentang apa ek? Rasanya biarlah menjadi rahsia dulu. Kalau belum jadi nanti, malu jugakan. Nantilah kalau dah start menulis baru saya ungkitkan kembali. Tapi tetap saja ini adalah novel dewasa komedi cinta dan bukan remaja.

So, doakan ya biar urusan menjadi lancar.

~LV U~

Sunday, July 4, 2010

Lahir novel kanak-kanak yg pertama merangkap karya ke 4 saya

NIA REKASYA; Dunia & Kitab Ajaib
Nampaknya rezeki di bulan Julai dengan kelahiran dua bua novel sekali gus. Semoga novel dewasa & kanak2 diterima pembaca di luar sana.

~Alhamdulillah lahir juga novel kanak2 pertama dari saya.
~Insya'Allah bakal diterbitkan selewat-lewatnya akhir Jul- awal Aug'2010
~mempunyai 208 halaman.
~Kisah pengembaraan Nia Rekasya penuh fantasi & mistik.
Banyak kisah yang boleh dipetik sebagai pengajaran.
~ Boleh dibeli untuk pembacaan sendiri, buku cerita anak-anak ataupun hadiah ulang tahun anak-anak, anak saudara, anak teman, anak murid dan sebagainya.

Sunday, May 16, 2010

Novel KU SERU NUR KASIH

Alhamdulillah akhirnya wujud lagi sebuah novel kisah cinta islamik yang akan diterbitkan oleh PTS Litera. Terima kasih Pn Asma dan Faiizah yg telah memberikan peluang ini.

Novel ini bakal berada di pasaran selewatnya akhir bulan Jun'10. Doakan novel ini mendapat perhatian di hati pembaca.

Sinopsis:~


Kecelaruan panik atau 'panic disorders' adalah satu penyakit yang dikaitkan dengan masalah kejiwaan. Namun tidak bermaksud itu temasuk penyakit gila atau mental yang kronik. Pada masa tertentu rasa panik, gelisah dan cemas berlebihan sering menghambat rutin kehidupannya.
Dari sekolah rendah sehingga menjejak kaki ke menara gading dia menjadi kebanggaan keluarga dan sahabat handainya. Mempunyai kerjaya tetap di kota metropolitan, sahabat karib yang masih setia bersamanya dan keluarga penyayang dan prihatin.
Namun dia seorang gadis muslimah yang cukup pemalu, pendiam, rendah diri dan penampilannya sering mendapat kritikan. Apatah lagi kaca mata berbingkai tebal menyembunyikan sepasang mata redup yang sering merunduk. Yasmin adalah seorang gadis yang cukup bermasalah ketika berada di dunia sosial. Sering gagal menyesuaikan diri di dalam kelompok tertentu. Malah banyak kali memalukan dirinya. Rasa cemas dan gugup yang berlebihan tidak kena pada tempatnya.
Yasmin ingin sekali menjadi seperti kebanyakan gadis zaman ini. Cantik dan berkeyakinan. Bijak bergaul meskipun dengan batas tertentu. Namun dia sering memencilkan diri kerana semua sikap dan perasaan negatif itu sudah sebati di dalam dirinya. Lalu muncul anak Adam menjentik hati gadisnya. Seseorang yang sangat mustahil berada di sisinya. Seseorang yang sangat jauh darjat dirinya. Seseorang yang sangat popular di dunia perniagaan. Namun Tuhan itu lebih berkuasa menentukan jalan hidupnya apatah lagi jodoh pertemuan adalah milik-Nya.
Bagaimanakah Yasmin dapat merealisasikan impiannya itu? Novel ini akan memaparkan konflik percintaan, masyarakat dan erti sebuah persahabatan di samping mesej keagamaan dan kemanusiaan yang boleh dijadikan teladan.

Blurb kaver:~
Ya Rabbi. Benarkah cinta sesama insan itu mensyaratkan kesempurnaan fizikal. Kesempurnaan seorang Hawa. Kesempurnaan sifat mulia. Bagaikan Khadijah di mata Rasullullah. Ibarat kasih sayang Fatimah Az Zaara. Berikanlah aku petunjuk-Mu. Suburkanlah jua cintaku pada-Mu. Abadikanlah kasih-Mu dijiwaku.

Yasmin memejam kelopak matanya. Waktu malam jiwa sensitifnya bagai ditiup dengan kata-kata azimat untuk meluahkan segala rahsia terpendam. Bahasa puitis islamik yang kadang kala sukar difahami. Berat untuk ditafsirkan. Pengertian yang hanya menjadi milik empunya diri. Persoalan yang sesiapa pun tidak pasti. Tentang kemelut yang sedang dihadapinya.

Yasmin membaca ayat-ayat suci Al-Quran itu dengan mengalunkan suara yang merdu. Sayup-sayup suaranya menerpa terbang ke ruangan balkoni tingkat atas Yusri Erdhan. Lelaki itu terdiam sejenak ketika dia sedang duduk berbaring di kerusi rotan panjang. Cuping telinganya menangkap alunan suara merdu itu. Hatinya menjadi sejuk dan tenang mendengar bacaan ayat-ayat itu berkumandang.

Saturday, April 3, 2010

Kemilau Karya Kasih

Sebuah manuskrip yang masih dalam pembaikan dan sangat istimewa. Mengapa demikian? Manuskrip ini di bawah tunjuk ajar dan bimbingan melalui bengkel maya Puan Azmah Nordin. Siapa beliau? Seorang Novelis yang mendapat banyak anugerah dan memenangi sayembara SEA, DBP, GAPENA. Novelis yang menjadi idola saya sejak sekian lama (termasuk Nia Azalia & Ramlee Awg Mursyid)
Sebenarnya sejak saya berbengkel dengan beliau banyak yang telah saya pelajari tentang teknik dari pelbagai sudut terutama menggunakan bahasa-bahasa puitis untuk mengindahkan lagi manuskrip tersebut. Terus-terang saya sama sekali tidak pernah menyertai mana-mana bengkel atau kelas penulisan. Dari sekadar mencuba dan minat lalu saya mencuba menulis novel HIKMAH. Banyak perbezaannya penulisan yang pertama dan terkini. Banyak lompang di sana-sini.
Berbalik kepada KKK, masih dalam pemeriksaan bab demi bab oleh sifu saya. Kiranya dialah Editor peribadi saya secara khusus. Kemudian saya mencuba post ke wall facebook penulisan2u yang sebenarnya ingin tahu penerimaan ahli kelab tersebut. Alhamdulillah setakat ini memang ada yang sudi membacanya dan memberi komen baik. Sejujurnya saya masih kurang yakin dengan mutu manuskrip itu. Biasalah manusia tetap dengan satu sisi yang menggoyahkan keyakinannya. Malah pengasas Penulisan2U, Wan Muzri telah memberi kesempatan kepada saya untuk menghantar KKK menerusi Penulisan2u. Semoga ada juga penerbit yang berminat menerbitkan karya itu.

Bercakap mengenai KKK, sebenarnya ia mengisahkan tentang seorang gadis yang baru menghabiskan pengajian di University Of Birmingham yang bernama Sofea. Menjadi kakak kepada Sarah yang masih berada di pengajian UITM, Shah Alam. Kedua adik beradik ini mempunyai minat yang sama iaitu membaca novel tetapi Sarah peminat2 Novel Melayu dan Sofea adalah sebaliknya. Malah Sofea memandang rendah dan jijik dengan novel2 Melayu yang dianggap membosankan dan stereotaip.
Sekembalinya Sofea ke tanahair banyak konflik yang dihadapinya termasuk tentang sikap Sarah yang mementingkan diri sendiri dan suka berfoya-foya dengan mat-mat rempit. Keresahan orang tuanya membuat Sofea juga semakin berusaha membawa adiknya kembali berubah. Hingga satu hari Sofea tidak sengaja bertemu dalam waktu dan situasi yang amat menjengkelkan ditegur Novelis Cinta Nombor Satu~Faris Raiyan@Majnun yang menangkapnya sedang mengutuk novel2 Majnun di MPH. (haha imaginasi saya ni melebih-lebih). Bermula dari situ dan banyak lagi pertemuan demi pertemuan secara kebetulan seiring dengan konflik antara Sofea, Sarah, Faris Raiyan dan NAzeerah.
Nak tahu kisah selanjutnya kena baca kat Penulisan2u. Saya akan posting setiap minggu bab baru. Sebenarnya tema yang saya angkat ni agak ringan tetapi mengungkap banyak ttg dunia penulisan, pemikiran peminat2 novel Melayu dan sudah tentu mesej kemanusiaan, agama sbg sampingan. Semoga novel ini mendapat perhatian pembaca di luar sana.


 

Monday, February 1, 2010

Pelan 2010

Salam semua,
Tahun ini tahun yang saya anggap mencabar dan penuh debaran. Kenapa demikian? Ada tiga manuskrip masih berada di tangan Editor. Malah saya masih menanti reaksi pembaca & peminat novel dengan kelahiran novel ya fattah;cinta sakti. Saya akui tidak semua pembaca berpuas hati dengan novel yang saya lahirkan.
Berkenaan dengan tiga novel yang saya katakan. Ada dua novel di tangan Editor PTS yang sudah menerima secara emel kepada saya. PTS Litera bakal menerbitkan manuskrip saya yang diberi perubahan judulnya Kuseru Nur Kasih (mulanya saya judulkan Impianku, Realitiku). Masih belum ditentukan lagi bulan penerbitannya. Kemudian Editor dari PTS kanak-kanak juga baru saja mengemelkan saya akan penerimaan manuskrip kanak-kanak. Alhamdulillah saya berasa syukur.
Hanya satu manuskrip lagi yang masih belum ada balasan dari Buku Prima. Sebuah manuskrip berbentuk Thriller seram yang berjudul 'Jangan Sebut Namaku'.
Sekarang saya sedang siapkan sebuah manuskrip romantis akan bakal siap pada bulan depan. Kemungkinan besar saya akan mencuba nasib ke penerbit Alaf21. Saya hanya boleh ceritakan kisah romantis tentang seorang gadis berpendidikan tinggi yang anti novel-novel Melayu telah bertemu dengan Novelis cinta nombor satu negara. Saya ingin cuba yang terbaik.
Sebenarnya saya ingin menjadi seorang penulis serba boleh. Ingin menulis semua jenis genre. Mencuba sesuatu yang. Novel sejarah, Sains fiksyen, fantasi dan sebagainya. Selagi ada hayat dan kemampuan saya akan lakukan yang terbaik. Saya juga masih belajar. Banyak yang harus diperbaiki.